Sinopsis Telemovie Laila Sari

Friday, August 14, 2009

Sinopsis Laila Sari - Puteri Yang Terbuang

Telemovie komedi romantis dan fantasi ini lakonan Liyana Jasmay, Erry Putra, Tam Suhaimi dan Chomel Fana. Ia arahan Ghaz Abu Bakar yang diangkat dari skrip tulisan Nizam Zakaria. Kedua-dua mereka sebelum ini pernah menghasilkan telemovie Ponti Anak Remaja dan Anak Aku Artis.

Laila dan Sari adalah dua puteri bunian dari kerajaan Buni Tujuh yang mempunyai jurang perbezaan dan sering bercanggah pendapat di antara satu sama lain. Berbanding dengan Laila yang agresif dan sanggup melakukan apa saja untuk mencapai cita-citanya, Sari lebih rasional dan mengambil berat mengenai perasaan orang yang disayangi.

Sari mula dikejutkan dengan berita daripada ayahandanya yang memutuskan untuk mengahwinkan Laila dengan Maharaja Jati dari kerajaan Buni Tiga. Sari cuba menasihati Laila agar tidak terburu-buru dengan persetujuannya terhadap perkahwinan itu, apatah lagi Laila bakal dikahwinkan dengan lelaki yang tidak pernah dikenali. Laila langsung tidak mempedulikan nasihat Sari, jauh sekali memikirkan mengenai cinta kerana dia mempunyai agenda tersendiri iaitu untuk menjadi Maharani Buni Tujuh.

Kerana risaukan keputusan Laila, Sari bertemu dengan ahli nujum istana bagi mendapatkan tilikan. Tilikan ahli nujum mendapati Laila bakal dikaburi dengan sikap gila kuasa. Kelak dia akan bertukar menjadi seorang maharani yang kejam sehingga mengakibatkan kesengsaraan terhadap kedua-dua kerajaan Buni Tiga dan Tujuh. Demi kesejahteraan rakyat dan rasa sayangnya pada Laila, Sari bersetuju dengan cadangan ahli nujum untuk membuang Laila ke suatu tempat yang jauh dari kerajaan mereka.

Laila bersama dayangnya, Putih mendapati bahawa mereka telah berada di bumi. Mereka bertemu dan mendapat bantuan Izwan, seorang jejaka budiman yang mempunyai impian untuk menjadikan rumahnya sebagai pusat perlindungan bagi anak yatim. Namun Izwan sering dihimpit kesusahan kerana diganggu along yang ingin mengutip hutang arwah bapa saudaranya.

Bersama Izwan, Laila mengharungi pengembaraan baru di bumi. Laila perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran baru yang tanpa diketahui akan menemukannya dengan erti cinta yang belum pernah dialami.

Apakah yang berlaku seterusnya? Untuk mengetahuinya, anda harus menonton drama ini di Astro Ria.

Sementara itu, Tam Suhaimi berkata telemovie terbitan Mediahustler Sdn. Bhd. ini memang menarik kerana terselit babak lucu.

"Ia turut menggunakan CGI bagi menggambarkan istana bunian. Dialog rekaan dalam drama ini juga memang melucukan kerana ia gabungan Bahasa Inggeris, Tagalog, Latin dan Melayu Klasik. Semua pelakon cukup gembira ketika menjayakan pembikinan telemovie ini," kata Tam yang memegang watak ahli nujum.

Difahamkan, telemovie ini diilhamkan daripada filem Walt Disney, Enchanted yang mengisahkan puteri dongeng termasuk ke dalam dunia moden.

Lakonan Erry Putra, Liyana Jasmay.
Director:Ghaz
Penerbit/Skrip:Nizam Zakaria
Terbitan:The Media Hustler

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI