Kanser serviks barah ketiga banyak menyerang wanita

Thursday, April 17, 2014

Kanser serviks barah ketiga banyak menyerang wanita

Ramai wanita sanggup berhabis ribuan ringgit dan masa untuk membeli-belah serta kecantikan diri, namun tidak ramai sanggup membuat pemeriksaan kesihatan, terutama ujian pap smear atau ujian human papillomavirus (HPV) yang hanya mengambil masa kurang 10 minit untuk menjaga kesihatan paling penting itu.

Tahukah anda, barah pangkal rahim atau kanser serviks boleh menyerang seorang wanita seawal usia sembilan tahun? Ya, kanser serviks bukan hanya menyerang golongan berusia, malah golongan muda turut menghidapinya.

Kanser serviks adalah barah ketiga paling banyak menyerang wanita di negara ini.

Antara faktor risiko penyakit barah pangkal rahim disebabkan kehadiran antibodi kepada HPV, kumpulan virus sama yang menyebabkan ketuat kelamin (genital wart).

Meskipun tahap kesedaran terhadap kanser serviks meningkat, masih ramai enggan ambil peduli.

Justeru itu, bagi menimbulkan kesedaran mengenai bahaya penyakit ini, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dengan sokongan GlaxoSmithKline (GSK) Pharmaceutikal Sdn Bhd, mengambil inisiatif melalui Power Over Cervical Cancer (POCC) bagi menggalakkan semua wanita melindungi diri daripada kanser berbahaya ini.

Kempen diberi nama Mula Meluangkan Masa dan Berhenti Memberi Alasan (Start Making Time and Stop Making Excuses) itu memasuki tahun keenam sejak dilancarkan pada 2009.

Presiden dan Pengarah Perubatan NCSM, Dr Saunthari Somasundaram berkata, sehingga 80 peratus wanita akan dijangkiti sekurang- kurangnya sekali dalam seumur hidup mereka oleh HPV yang menyebabkan kanser serviks.

"Dengan angka yang membimbangkan, adalah penting bagi wanita untuk mengambil tindakan segera terhadap penyakit yang boleh dicegah ini. Perlu diingat, selepas menopaus juga ia masih boleh menyerang.

"Kanser serviks tidak pernah memilih siapa yang bakal menjadi mangsanya kerana setiap wanita berisiko.

Adakala bukan disebabka genetik tetapi perubahan gaya hidup yang terlalu sosial juga boleh menyumbang ke arah ini seperti memulakan aktiviti seks sebelum berusia 18 tahun," katanya ketika ditemui di sebuah pusat beli- belah di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Kempen Mula Meluangkan Masa dan Berhenti Memberi Alasan menumpu kepada sikap umum wanita yang sentiasa mengutamakan perkara lain melebihi kesihatan mereka dan ia disokong oleh penemuan diperoleh daripada kajian kanser serviks global.

Kajian bertajuk Apa Wanita Fikirkan (What Women Think) dijalankan di 19 negara, termasuk Malaysia. Ia menunjukkan kebanyakan wanita di negara ini lebih rela menjimatkan wang atau membelanjakannya untuk percutian daripada perkara berkaitan kesihatan seperti vaksinasi dan lebih mengutamakan temujanji kerja daripada temujanji perubatan.

Kempen ini juga mendapat sokongan rakan kerjasama seperti Artisan Coffee, Bangsar Shopping Centre, Fitness First Malaysia dan The Bee selain pusat beli-belah One Utama yang menaja tempat kempen ini berlangsung.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Pusat Pengesanan Kanser Malaysia NCSM, Dr Dalilah Kamaruddin berkata, kempen kesedaran dan pendidikan boleh melengkapkan orang ramai dengan maklumat dan pengetahuan mengenai kanser serviks.

"Golongan wanita harus peka dengan keadaan diri. Jika berasa sesuatu yang tidak kena, segera berjumpa doktor bagi mengelak perkara lebih buruk berlaku. Mereka yang berisiko antara usia 45 hingga 60 tahun.

"Selain itu, mereka yang gemar bertukar-tukar pasangan juga berisiko tinggi mendapat kanser ini, selain melakukan hubungan seks pada usia terlalu muda," katanya pada majlis itu di ibu negara, baru-baru ini.

Jelasnya, sebaik-baiknya seawal usia 10 tahun mereka diberi suntikan HPV bagi mengelak kanser serviks, manakala wanita dinasihatkan sekurang-kurangnya membuat pemeriksaan Pap smear setahun sekali atau dua tahun sekali.

Punca kanser serviks

Ia disebabkan virus HPA yang berjangkit melalui hubungan seks. Apabila wanita terdedah kepada HPV, sistem imun badan selalunya dapat menangkis serangan virus ini daripada menjangkiti wanita tetapi bagi sebilangan kecil wanita, virus berpeluang hidup bertahun-tahun sehingga ia menukar sel pada permukaan serviks kepada sel kanser. Separuh daripada kanser ini terjadi kepada mereka yang berusia 35 hingga 55 tahun.

Ujian Pap smear

Doktor akan mengambil sedikit tisu pada permukaan serviks dan menghantarnya ke makmal. Ujian bertujuan mengesan sebarang keganjilan pada serviks seperti sel prabarah. Ujian ini digalakkan dilakukan setiap tahun bagi mengesan kanser peringkat awal yang mungkin boleh menyelamatkan nyawa.

Ujian HPV

Ujian ini boleh mengesan kuman HPV yang spesifik terhadap kanser serviks seperti strain 16 dan 18, iaitu penyebab utama kanser pangkal rahim.

Colposcopy

Doktor akan menggunakan mikroskop khas untuk memeriksa pangkal rahim.

Jika ada, sedikit biopsi akan diambil dan dihantar ke makmal. Kadangkala, biopsi kon akan dibuat jika didapati sel barah merebak lebih jauh ke dalam.

Tanda dan Gejala

- Pendarahan ketika hubungan seks

- Pendarahan pada pertengahan bulan

- Pendarahan selepas menopaus

- Keluar lendir berdarah yang busuk daripada faraj

- Terasa pedih ketika hubungan seks

 Wanita berisiko

- Mempunyai lebih daripada seorang pasangan

- Aktif hubungan seks sebelum berusia 18 tahun

- Mengalami jangkitan seperti sifilis, gonorea, chlamydia atau HIV

- Kurang daya imuniti

- Merokok

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI