Produk ditawarkan Takaful Ikhlas makin dapat sambutan

Tuesday, April 22, 2014

Takaful Ikhlas makin dapat sambutan

Produk disediakan oleh Takaful Ikhlas Sdn Bhd semakin mendapat sambutan daripada pelanggan bukan Islam apabila seramai 180,000 daripada mereka kini memanfaatkan pelbagai produk yang ditawarkan.

Pengerusinya, Sharkawi Alis, berkata pemegang polisi bukan Islam menyifatkan 83 produk yang ditawarkan oleh Takaful Ikhlas amat baik dan sesuai untuk mereka, selain memberikan banyak manfaat dengan kebanyakan mereka tertumpu di sekitar Lembah Klang.

"Produk kami bukan saja untuk pengguna Islam, malah bukan Islam juga boleh memanfaatkannya dan pertambahan pemegang polisi bukan Islam membuktikan produk syarikat sesuai untuk mereka.

"Syarikat kini mempunyai seramai 180,000 pelanggan bukan Islam daripada keseluruhan dua juta pemegang polisi sejak kami beroperasi pada 2003," katanya pada majlis perasmian Bangunan Baharu Pejabat Wilayah Negeri Kelantan, di Kota Bharu.

Bangunan baharu bernilai lebih RM700,000 di Seksyen 17 itu menggantikan bangunan lama yang beroperasi di Jalan Sultan Yahya Petra sejak sembilan tahun lalu, bagi menyediakan persekitaran selesa kepada pelanggan.

Perolehan melonjak

Sharkawi berkata, dalam tempoh sembilan bulan pertama penubuhannya iaitu sehingga akhir tahun kewangan 31 Mac 2004, syarikat mencatatkan perolehan RM6.6 juta.

Bagaimanapun, katanya, bagi tahun kewangan berakhir Mac 2013, perolehan melonjak lebih 100 kali ganda kepada RM747 juta iaitu sejak beroperasi 10 tahun lalu.

"Dengan pasaran Takaful di Malaysia adalah yang kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi, pencapaian Takaful Ikhlas turut menggalakkan apabila menguasai 11 peratus bahagian pasaran Takaful di Malaysia," katanya.

Selain mencatat prestasi kukuh di Malaysia, beliau berkata, syarikat turut mendapat pengiktirafan luar negara, antaranya Anugerah Produk Takaful Terbaik pada Sidang Kemuncak Takaful Antarabangsa 2010 bagi produk Ikhlas Medic Assist Takaful serta Anugerah Produk Paling Inovatif oleh Forum Kewangan Islam 2008 (KLIFF).

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI