MH370: Ibu warga Iran dakwa disisih, MAS tak beri maklumat terkini

Friday, April 04, 2014

MH370: Ibu warga Iran dakwa tak diberi maklumat terkini
 
Kuala Lumpur: Ibu kepada warga Iran, Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, yang menggunakan pasport curi ketika mendaftar masuk untuk menaiki MH370, mendakwa beliau disisihkan dan tidak dimaklumkan mengenai perkembangan kes kehilangan pesawat yang dinaiki anaknya.

Menurut laporan Cable News Network (CNN), ibu Pouria, kesal kerana beliau kini ketinggalan dan tidak menerima sebarang maklumat atau diberikan kaunseling seperti ahli keluarga penumpang lain.

“Sebagai manusia, sebagai ibu, tiada sesiapa memikirkan tentang saya. Saya keseorangan tanpa sokongan kecuali Tuhan” katanya dipetik dalam laporan CNN.

Sebelum ini media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ibu pejabat Polis Antarabangsa (INTERPOL) mendedahkan dua penumpang MH370 yang menggunakan pasport curi adalah warga Iran.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, mendedahkan seorang daripada mereka ialah Pouria Nour Mohammad Mehrdad, menggunakan pasport Austria milik Cristian Kozel untuk berhijrah ke Frankfurt, Jerman.

Sementara itu, di Lyon, Perancis, Ketua Setiausaha INTERPOL, Ronald K Noble mendedahkan seorang lagi ialah Delavar Seyed Mohammad Erza, 29, menggunakan pasport Itali milik Luigi Mareldi.

Dalam pada itu, ibu Pouria mengakui anaknya melanggar undang-undang, tetapi dia mempunyai niat untuk memenuhi impiannya.

“Saya dedikasikan hidup untuk anak saya, apa yang saya mahukan ialah dia hidup gembira. Saya mahu mereka hidup bebas. Saya berdoa dapat jumpa dia lagi, tetapi itu tidak berlaku. Kami akan jumpa di dunia lain sekarang,” katanya.

CNN melaporkan, MAS tidak menghubungi kedua-dua ahli keluarga penumpang berkenaan dan kes mereka masih dikendalikan oleh pegawai penyiasat.

Pouria dan rakannya menimbulkan kekeliruan ketika siasatan awal kehilangan MH370 apabila mereka menggunakan pasport curi untuk menaiki MH370.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI