Presiden Russia, Vladimir Putin sah cerai isteri

Thursday, April 03, 2014

Presiden Russia, Vladimir Putin sah cerai isteri

Kremlin mengesahkan semalam bahawa Presiden Russia, Vladimir Putin mengesahkan perceraian dengan isterinya, Lyudmila yang dikahwini selama 30 tahun berikutan perpisahan secara tiba-tiba pasangan itu pada musim panas lalu.

Biografi rasmi Putin yang sehingga 27 Mac masih meletakkan status beliau sebagai ‘berkahwin’ manakala isterinya ialah Lyudmila Aleksandrovna Putina.

 Putin bagaimanapun kini mengatakan beliau mempunyai dua anak perempuan tetapi tidak menyebut nama wanita pertama republik itu.

Jurucakap presiden, Dmitry Peskov mengesahkan kepada agensi berita Itar-TASS bahawa ‘perceraian itu sudah disahkan.”

Putin pada Jun tahun lalu membuat satu pengumuman mengejut bahawa mereka berpisah selepas tiga dekad berkahwin, dalam satu kenyataan kepada seorang pemberita televisyen tempatan selepas menghadiri satu persembahan ballet di Moscow.


“Ia adalah satu keputusan bersama,” kata Putin ketika itu manakala isterinya berkata bahawa perkahwinan itu sudah berakhir kerana ‘kami sudah saling tidak bertemu,” sambil menyifatkan ia sebagai satu perceraian bertamadun.

Lyudmila Putina sejak sekian lama tidak kelihatan di khalayak ramai, manakala dua anak perempuannya juga tidak didedahkan kepada umum. Tidak ramai rakyat Russia yang tahu bagaimana rupa mereka.

Kehidupan peribadi Putin, 61, sejak sekian lama menjadi desas-desus apabila ada pihak mengaitkan beliau dengan ahli gimnastik Olimpik yang kini menjadi ahli parlimen, Alina Kabayeva.

Khabar angin terbabit bagaimanapun dinafikan dan sebuah syarikat penerbitan yang mengaitkan hubungan itu ditutup pada 2008. - AFP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI