Pemuas nafsu bapa saudara, gadis OKU hamil 8 bulan

Saturday, April 05, 2014

Pemuas nafsu bapa saudara, gadis OKU hamil 8 bulan

Seorang gadis yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) bukan sahaja menjadi tempat melampiaskan nafsu bapa saudaranya sendiri malah turut mengandung lapan bulan hasil hubungan terlarang itu.

Suspek yang merupakan seorang gelandangan itu melakukan perbuatan terkutuk terhadap gadis berusia 24 tahun itu di sebuah kebun kelapa di Kampung Tebuk Pangkor, Batu 23, Selekoh, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, pada 31 Mac lalu kira-kira 3 petang, ketua kampung dimaklumkan oleh adik mangsa yang kakaknya mengandung walaupun belum berkahwin.

Menurutnya, ketua kampung  kemudiannya bertanya mengenai dakwaan tersebut kepada mangsa dan gadis itu memberitahu telah melakukan hubungan seks dengan bapa saudaranya sebelum satu laporan polis dibuat berhubung kejadian tersebut.

“Mangsa tidak mengetahui bila kejadian itu hanya mengingati ia berlaku pada waktu tengah hari apabila suspek datang berjumpanya dan memberikan wang sebanyak RM2 sebelum mengajaknya melakukan hubungan seks di kebun.

“Mangsa yang terencat akal mengikut suspek masuk ke kebun dan melakukan hubungan seks,” katanya.

Kok Liang berkata, mangsa telah dirujuk ke Hospital Teluk Intan dan doktor mengesahkan gadis itu mengandung lapan bulan.

Jelasnya, suspek yang berusia 50 tahun berjaya ditahan anggota polis di Batu 23, Jalan Bagan Datoh, Selekoh.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan dan hasil ujian air kencing pula mendapati suspek negatif dadah,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, bapa mangsa yang merupakan pengadu ketika itu menarik semula laporan polis dibuat bagi kes berkenaan. ~ SH

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI