Mati pucuk (ED) dan pembesaran kelenjar prostat

Friday, October 09, 2015 0 Komen

Mati pucuk (ED) dan pembesaran kelenjar prostat  

Mati pucuk (ED) adalah penyakit kelamin yang sinonim dengan lelaki dan paling ditakuti. Namun sikap ego, malu serta salah anggap mengenai penyakit berkenaan membuatkan ramai golongan lelaki semakin mengabaikan dan mengelak daripada menjalani rawatan.

Keadaan ini ditakrifkan sebagai masalah perubatan serius yang memerlukan perhatian dan rawatan segera. Walaupun punca asas ED mula muncul seiring peningkatan usia, ED sebenarnya bukan disebabkan masalah penuaan semata-mata.

Sejak kebelakangan ini, ED dan pembesaran kelenjar prostat (BPH) sering menjadi tajuk utama dalam penyelidikan kesihatan sakit tuan.

Hasil penyelidikan dan kajian ini membuktikan hubung kait antara kedua-dua penyakit ini di mana ED sering muncul bersama BPH. Gabungan fenomena ini dengan mereka yang meningkat usia menimbulkan keperluan untuk mendapatkan rawatan yang lebih berkesan bagi meningkatkan kualiti hidup bagi lelaki berusia yang mengalami penyakit ini.

Presiden Persatuan Urologi Malaysia, Dr Teh Guan Chou berkata, hasil kajian dalam bidang sakit tuan dan ketidakupayaan seksual, mereka lebih memahami kesinambungan yang timbul antara ED dengan BPH.

“Apabila usia lelaki semakin meningkat, mereka akan lebih cenderung untuk mengalami simptom Saluran Kencing Bawah (LUTS). Dalam sesetengah pesakit, simptom LUTS ini disebabkan oleh BPH.

“Disebabkan itu, adalah amat penting untuk kita menitikberatkan simptom LUTS yang diakibatkan oleh BPH dalam kalangan pesakit yang muncul dengan penyakit ED serta BPH.

“Kini dengan adanya ubat baru sedia ada di pasaran Malaysia, penyakit ED dan BPH menjadi lebih mudah dan sesuai digunakan sebagai rawatan peringkat awal,” katanya ketika melancarkan ubat baru CIALIS (tadalafil) lima miligram (5mg) Tablet Bersalut Filem di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Penyakit ED menyerang 22.2 peratus lelaki di Malaysia yang berumur 50 tahun ke atas. Risiko untuk mendapat penyakit berkenaan akan naik sekali ganda bagi lelaki dalam lingkungan umur 60 tahun hingga 69 tahun.

Angka ini dijangka meningkat 79.5 peratus bagi lelaki berusia 70 tahun ke atas. Manakala seramai 50 peratus lelaki di negara ini yang berusia lebih 60 tahun akan menghidap BPH.

Peratusan ini dijangka meningkat seiring dengan usia pesakit. Kedua-dua penyakit ini juga mempengaruhi semua lelaki tanpa mengira kaum.

Perunding Urologi Hopital Gleneagles, Dr George Lee Eng Geap pula berkata, meskipun ED dan BPH adalah penyakit lazim, golongan lelaki masih ragu untuk mendapatkan rawatan awal.

“Ini mungkin disebabkan pelbagai faktor termasuk pengaruh budaya serta salah faham umum terhadap penyakit ini. Selain itu, ada juga golongan lelaki berpendapat bahawa keadaan ED serta BPH bukanlah satu penyakit.

“Oleh itu, kami sentiasa membantu pesakit serta menasihati mereka supaya mendapatkan rawatan lebih awal,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Lilly Malaysia, Dr Faiz Ansari, berkata kelulusan yang diperoleh pihaknya untuk memasarkan ubat berkenaan di negara ini membuktikan kesungguhan dalam menawarkan rawatan dan penyelesaian baharu bagi rawatan sakit tuan.

“CIALIS (tadalafil) 5mg ini adalah inovasi baharu bagi dunia rawatan sakit tuan terutama sekali bagi penghidap ED dan BPH. Kami gembira kerana berjaya membawa inovasi ini ke pasaran

Malaysia, di samping mengukuhkan usaha menyokong doktor dalam memberikan rawatan terbaik bagi pesakit mereka,” katanya pada sidang media pelancaran ubat berkenaan baru-baru ini.

Hasil ujian klinikal keberkesanan dan keselamatan CIALIS (tadalafil) 5mg membuktikan pengambilan ubat ini sekali sehari membawa kepada hasil yang positif bagi pesakit ED dan BPH.

CIALIS (tadalafil) 5mg berfungsi sebagai perencat enzim phosphodiesterase jenis-5 (PDE-5) bertindak mengembalikan daya tenang vaskular dan melancarkan peredaran darah di sekitar organ serta otot berkenaan.

Selain itu, ia juga membawa perubahan ketara dalam pembaikan markah Indeks Antarabangsa bagi Fungsi-Ereksi-Fungsi-Utama (IIEF-EF). Perubahan itu juga boleh dilihat pada catatan Markah Simptom Prostat Antarabangsa (IPSS) yang menilai fungsi seksual dan gejala BPH.

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad
HMetro

Tak larang balik kampung untuk jimat minyak - Syed Abdul Aziz Al Qubra

Monday, July 06, 2015 0 Komen

Tak larang balik kampung untuk jimat minyak - Syed Abdul Aziz Al Qubra

Tampil dengan penjelasan sebenar, Pengarah Eksekutif CCT, Creative Trainers (M) Sdn Bhd, Syed Abdul Aziz Al Qubra berkata, kupasannya terhadap isu kewangan telah dieksploitasikan dan disalah erti oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kalau orang tonton rancangan tersebut dari awal, mereka akan faham apa yang saya cuba sampaikan sebenarnya. Bila mereka potong video program itu dan viralkan, itu yang menyebabkan orang-orang awam marah.

“Tajuk segmen yang diberikan kepada saya adalah ‘Celik Kewangan: Gaji Oh Gaji!’ Saya hanya mengupas tajuk yang diberikan berdasarkan statistik yang diajukan kepada saya. Sebenarnya begini, apa yang saya jelaskan menerusi program tersebut adalah beban yang terpaksa ditanggung oleh sesetengah individu hanya untuk pulang beraya ke kampung,” jelasnya ketika dihubungi Sinar Online, semalam.

Katanya lagi, mengikut statistik yang diajukan pengacara rancangan program, Tazneem Faizal, Syed Abdul Aziz berkata, 53 peratus wanita ingin mendapatkan barang kemas baharu sempena Aidilfitri, 23 peratus rakyat Malaysia ingin berkahwin lagi sempena menyambut Syawal, 18 peratus individu atau pasangan akan membelanjakan wang untuk membeli kelengkapan dan perabot baharu manakala lapan peratus lagi berkeinginan untuk membeli kereta baharu di musim perayaan ini.

“Saya hanya menjawab soalan yang diberikan oleh pengacara program.  Saya cuma mahu bantu rakyat dari segi perancangan ekonomi. Kalaulah balik kampung itu dirancang dari awal, tidaklah ada masalah buat mereka,” katanya lagi.

Ditanya mengenai kenyataan ‘jangan balik kampung jika mahu jimatkan minyak dan tol’ yang kini viral di media sosial, beliau berkata, ia merupakan salah faham besar oleh majoriti rakyat negara ini.

 “Mengikut statistik trend balik kampung sekarang, hampir 53 peratus wanita akan membeli barang kemas hanya kerana tidak mahu ditegur oleh ibu mertua atau saudara-mara kerana memakai barang kemas tahun lepas. Maka dibelanjakan wang itu untuk membeli barang kemas. Sedangkan kita semua perlu beringat, keadaan sekarang sudah cukup mencabar buat semua pihak khusus golongan berekonomi sederhana dan rendah.

“… Sekarang minyak naik, kadar tol pun dikatakan akan meningkat, saya sarankan kita semua supaya beringat, ia mungkin menyusahkan bagi sesetengah individu, Jika balik kampung terasa terbeban dengan terdesak dan rasa dibebankan untuk tunjuk barang kemas baharu atau kereta baharu, saya sarankan lebih baik jangan balik kampung, tol dan minyak pun dapat dijimatkan. Itulah penjelasan sebenar saya,” jelasnya lagi.

Terdahulu, video Syed Abdul Aziz yang dirakam menyarankan rakyat Malaysia supaya tidak pulang ke kampung untuk menjimatkan tol dan minyak menjadi viral di media sosial

Rakaman video yang dipetik menerusi sebuah rancangan bual bicara tersebut mendapat perhatian dan kritikan rata-rata pengguna laman sosial.

Syed Abdul Aziz dalam pada itu tidak menolak peratusan individu yang terpaksa membuat hutang hanya untuk pulang ke kampung.

“Kita semua tahu pulang ke kampung memerlukan belanja yang besar. Kalau balik masa tengah tidak ada duit atau gaji belum masuk, itu lebih susah.

“Sekarang ini, setiap hari kira-kira 65 individu di negara ini diisytiharkan muflis. Saya tidak mahu anda salah seorang daripada individu yang diisytiharkan muflis,” ujarnya.

Lelaki jalin hubungan dengan isteri orang dibelasah sampai mati

Wednesday, July 01, 2015 0 Komen

Lelaki jalin hubungan dengan isteri orang dibelasah sampai mati

Dituduh menjalin hubungan sulit dengan isteri orang, seorang ahli perniagaan dibelasah dua lelaki sehingga mati di Taman Kota Aman, Yong Peng di sini, semalam.

Difahamkan, lelaki berusia 50-an dari Johor Bahru itu ditemui oleh orang ramai kira-kira jam 11 pagi dalam keadaan nazak di tepi jalan taman perumahan berkenaan sebelum mereka menghubungi talian kecemasan.

Sumber berkata, mangsa difahamkan memandu kereta Mercedes Benz berwarna cerah dari arah pekan Yong Peng masuk ke kawasan taman perumahan berkenaan sambil diekori sebuah kenderaan lain.

Katanya, kenderaan terbabit dinaiki dua lelaki berusia awal 50-an kemudian memintas kereta dipandu mangsa setibanya di tempat kejadian sebelum menghampiri dan menarik mangsa keluar dari keretanya.

“Difahamkan, mangsa cuba menjelaskan sesuatu kepada dua lelaki terbabit sebelum cuba melarikan diri, tetapi dihalang suspek yang membelasahnya sehingga rebah.

~ Metro

Nekad sita rumah saudara sendiri selepas hutang RM1.25 juta tak dibayar

Wednesday, July 01, 2015 0 Komen

Nekad sita rumah saudara sendiri selepas hutang RM1.25 juta tak dibayar

Seorang ahli perniagaan wanita nekad mengambil tindakan undang-undang termasuk menyita harta benda saudaranya sendiri selepas individu itu didakwa gagal menjelaskan hutang bernilai RM1.25 juta.

Difahamkan, individu berusia 42 tahun itu yang juga ahli perniagaan dikatakan meminjam wang berkenaan pada 2012 dan berjanji untuk menjelaskannya dalam tempoh tiga tahun.

Bagaimanapun, dia gagal berbuat demikian menyebabkan mangsa mengambil tindakan undang-undang termasuk mendapatkan perintah menyita kediaman individu itu di Kampung Huda di sini.

Mangsa, Siti Haniza Mohd Nasir, 48, kemudian bersama peguamnya dan pihak berkuasa ke kediaman individu itu, semalam untuk bersemuka.

Ketika kunjungan jam 10.55 pagi itu, hanya isteri saudaranya itu yang berusia 39 tahun dan anak berada di rumah, tetapi enggan membenarkan sesiapa masuk sehingga suaminya pulang.

116 mangsa korban nahas pesawat Hercules C130 Indonesia

Tuesday, June 30, 2015 0 Komen

116 mangsa korban nahas pesawat Hercules C130 Indonesia

Empat puluh sembilan mayat mangsa pesawat Hercules C130 milik Tentera Udara Indonesia yang terhempas ke kawasan penempatan di Medan tengah hari tadi, sudah ditemui namun jumlah kematian dipercayai sekurang-kurangnya 116 orang.

Pemerintah Tentera Udara Indonesia, Marshall Udara Agus Supriatna, berkata berdasarkan senarai penumpang, pesawat itu membawa 113 orang iaitu 12 anak kapal dan 101 penumpang dan setakat ini tiada tanda ada yang terselamat.

"Tidak, tidak. Tiada yang terselamat. Saya baru saja kembali dari tempat kejadian," katanya kepada AFP.

Menurutnya, sehingga jam 8 malam tadi, 49 mayat sudah ditemui dan dibawa ke hospital.

Ramai penumpang dalam pesawat itu ialah ahli keluarga anggota tentera dan pasukan penyelamat sudah menemui satu mayat kanak-kanak.


Pasukan penyelamat menyatakan tiga penduduk kawasan penempatan itu terbunuh apabila pesawat berusia 51 tahun berkenaan terhempas menghempap rumah sebelum terbakar, mengenai satu pusat urutan dan sebuah hotel kecil.

Menurut Agus, juruterbang memberitahu menara kawalan pesawat itu perlu berpatah balik kerana mengalami masalah enjin.“Pesawat terhempas ketika ia berpusing ke kanan untuk berpatah balik ke lapangan terbang,” katanya.

Pesawat itu berlepas pada jam 12:08 tengah hari waktu tempatan dari pangkalan tentera udara di Medan dan terhempas dan meletup dengan api menjulang kira-kira-kira dua minit kemudian, kira-kira lima kilometer dari pangkalan itu.

Ia adalah tragedi kedua dalam masa 10 tahun pesawat terhempas di Medan. Pada September 2005, pesawat Boeing 737 milik Mandala Airlines terhempas ke atas kawasan perumahan sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Polonia, Medan, membunuh 143 orang, termasuk 30 mangsa di darat.

Medan yang mempunyai 3.4 juta penduduk ialah bandar ketiga terbesar Indonesia selepas Jakarta dan Surabaya. - Agensi

Tatu Sempena Pertabalan DYMM Paduka Seri Sultan Perak XXXV

Tuesday, May 12, 2015 0 Komen

Tatu Sempena Pertabalan DYMM Paduka Seri Sultan Perak XXXV

Tarikh: 16 Mei 2015
Masa: 7.45malam
Tempat: Stadium Perak


Orang ramai dijemput hadir
Masuk percuma

Amah Indonesia Mengaku Terima IC dan BR1M

Tuesday, May 12, 2015 0 Komen

Amah Indonesia dapat IC, BR1M?

Sebuah video viral di laman sosial Facebook tersebar apabila seorang amah warganegara Indonesia mendakwa mendapat IC dan sejumlah wang yang didakwa sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Rakaman berdurasi 2 minit dan 41 saat tersebut mengandungi dialog di antara perakam video, dipercayai majikannya bersama amah tersebut.

Amah tersebut mendedahkan beliau menerima RM500, didakwa bayaran BR1M.

Beliau juga mendakwa sudah tinggal di Malaysia selama 15 tahun tanpa pasport dan dokumen perjalanan, dan menerima kad pengenalan Februari lepas.

"Siapa yang bagi IC?," tanya perakam video.



"Itulah saya tak tahu. Mereka tak cakap," balas amah terbabit.

Tinjauan mendapati video tersebut sudah ditonton lebih 30,000 pelayar semenjak dimuatnaik pada 9 Mei lepas dan rata-rata terkejut dengan pendedahan berkenaan.

"Senang dapat IC...dapat BR1M pula," kata Salma.

"Pihak berwajib sila siasat," kata Hafiz.

"Ini baru orang Indonesia. Belum Bangladesh lagi," luah Nazira.

Sultan Nazrin Shah, Tuanku Zara ziarah 7 makam Sultan Perak terdahulu

Tuesday, May 12, 2015 0 Komen

Sultan Nazrin Shah, Tuanku Zara ziarah 7 makam
 
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim hari ini berangkat menziarah tujuh makam Sultan terdahulu di sini bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV.
   
Dalam keadaan cuaca mendung dan hujan agak lebat, pasangan diraja yang memakai baju Melayu dan kurung hijau lumut itu tiba di Kampung Air Mati, Lambor Kanan yang menempatkan makam Almarhum Sultan Mudzaffar Shah II, iaitu Sultan Perak ke-10, pada kira-kira 9.30 pagi.

Majlis tahlil dan bacaan doa selamat diadakan dengan dipimpin oleh Imam Masjid Daerah Seri Iskandar Badrul Husaini Baharudin.
   
Baginda berdua kemudian menyiram air mawar serta menabur bunga ke atas makam berkenaan.



Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Mengikut sejarah Perak, Sultan Mudzaffar Shah II diangkat menjadi Sultan Perak ke-10 selepas kemangkatan Sultan Sallehuddin di Kampar pada tahun 1636.
   
Sultan Mudzaffar Shah II bersemayam di Air Mati, Padang Changkat, Lambor Kanan serta memerintah selama 17 tahun dan selepas mangkat pada 1653, makam baginda digelar 'Marhum Jalilullah'.
   
Pasangan diraja itu kemudian menziarah makam Sultan Mudzaffar Shah I, yang merupakan Sultan Perak pertama, di Kampung Telok Bakong serta makam Sultan Mahmud Shah (Sultan ke-8) dan makam Sultan Muhammad Shah iaitu Sultan ke-14 di Kampung Melayu Pulau Tiga.
   
Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara turut berangkat menziarah makam-makam Sultan Mahmud Iskandar Shah (Sultan ke-11), Sultan Alaudin Mughayat (Riayat) Shah (Sultan ke-12) dan Sultan Ahmad Tajuddin Shah (Sultan ke-3).
   
Kesemua makam itu terletak di Kampung Jawa, Mukim Pulau Tiga.
   
Baginda berdua menyiram air mawar serta menabur bunga ke atas makam-makam berkenaan selepas majlis tahlil dan bacaan doa selamat. - Bernama

Lukisan Picasso "The Women of Algiers" catat rekod lelongan termahal AS$179 juta

Tuesday, May 12, 2015 0 Komen

Lukisan Picasso "The Women of Algiers" catat rekod lelongan termahal AS$179 juta

Satu lukisan agung Picasso dilelong lebih AS$179 juta di New York hari ini, mengatasi rekod karya termahal yang dijual dalam lelongan yang disifatkan sebagai 'jualan abad ini'.


Lukisan minyak bertajuk "The Women of Algiers (Version 0)," dijual dengan harga AS$179,365,000 selepas lebih 11 minit mendapat bidaan oleh pembeli menerusi telefon dalam satu lelongan yang pebuh sesak di Christie. Tepukan bergemuruh apabila jualan berkenaan dimuktamadkan disusuli suasana ceria serta gelak ketawa peminat karya dari serata dunia dalam jualan lelong yang dianggarkan mencecah lebih AS$140 juta.

Rekod lukisan termahal sebelum ini ialah AS$142.4 juta karya pelukis British, Francis Bacon bertajuk s "Three Studies of Lucian Freud," yang juga di jual di firma lelongan Christie di New York pada tahun 2013. Lukisan tahun 1955 adalah satu-satunya satu lukisan utama yang terakhir oleh Pablo Picasso yang masih dimiliki individu. Picasso yang berasal dari Sepanyol melukis beberapa versi lukisan sehinggalah menyudahkan satu lukisan kanvas gergasi yang berukuran hampir 121x152 sentimeter.

Satu lagi saingan karya yang dilelong ialah arca tembaga oleh Alberto Giacometti yang dinamakan "Man Pointing," yang dianggarkan nilainya mencecah AS$130 juta yang juga dianggap bakal memecah rekod jualan termahal. "Dua karya ini boleh mencatatkan rekod dunia," kata naib presiden kanan Christie, Loic Gouzer sebelum lelongan bermula. - AFP

Christiano Ronaldo Pemurah, RM27 Juta Didermankan Kepada Mangsa Gempa Bumi Nepal

Saturday, May 09, 2015 0 Komen

Christiano Ronaldo Pemurah, RM27 Juta Didermankan Kepada Mangsa Gempa Bumi Nepal

Christiano Ronaldo yang merupakan seorang dermawan dilaporkan menghulurkan bantuan sebanyak £5 juta (RM27 juta) kepada mangsa gempa bumi Nepal.

Menurut syarikat penerbitan Perancis, So Foot, Ronaldo menghulurkan sejumlah besar wang kepada sebuah organisasi kemanusiaan sedunia, 'Save The Children'.


'Save the Children' merupakan salah satu pertubuhan amal utama yang terlibat dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi Nepal yang berlaku bulan lalu sehingga mengorbankan seramai 7,000 mangsa.

Tambahnya lagi, Ronaldo, 30, turut menggunakan laman sosial Facebook dan Twitter pada bulan lalu untuk mendorong peminat menghulurkan bantuan bagi mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh mangsa bencana.

Ronaldo, yang juga merupakan seorang bintang kelab ternama Sepanyol, Real Madrid mencipta sejarah sebagai seorang dermawan, disamping prestasinya yang kurang melakukan kesalahan semasa di padang.

Pada tahun lalu, Ronaldo dilaporkan menghulurkan sumbangan berjumlah €60,000 (RM241 ribu) untuk membiayai pembedahan otak kanak-kanak lelaki berusia 10 bulan.

Aturcara Istiadat Pertabalan Sultan Perak Ke-35, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

Wednesday, April 29, 2015 0 Komen

Upacara Istiadat Pertabalan Sultan Perak Ke-35, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

Tarikh: 3 Mei 2015 - 17 Mei 2015

3 Mei 2015 : Istiadat Meletak Kerja Pertabalan.

6 Mei 2015 : Istiadat Tabal Adat di bawah Istana Iskandariah. Istiadat dimulakan dengan kawalan kehormat, Istiadat Pertabalan di Balairong Seri Istana Iskandariah, dan tembakan meriam sebanyak 21 das.

7 Mei 2015 : Sultan Nazrin akan menyempurnakan Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal di Tujuh Kuala Sungai Perak yang bermula di Kuala Kangsar.

Pada sebelah malam, Istiadat Tabal Pusaka akan dijalankan di Balairong Seri Istana Iskandariah dan Istiadat Bersiram Tabal akan dilakukan di Panca Persada.

8 Mei 2015 : Sultan Nazrin berangkat menziarahi Makam Tok Temong di Kati, Kuala Kangsar dan Makam Alang Iskandar atau Marhum Teja di Kota Bharu, Gopeng.

10 Mei 2015 : Sultan Nazrin dijadual melawat makam-makam Sultan Perak sekitar Kuala Kangsar disusuli di sepanjang pesisir Sungai Perak antaranya di Manong, Belanja, Parit, Bota, Lambor Kanan, Pulau Tiga dan Kampung Gajah sehingga 12 Mei.

13 Mei 2015 : Sultan Nazrin dijadualkan mula menziarahi makam-makam Sultan Perak menggunakan jalan air dengan menaiki bot khas yang dinamakan Balai Gambang dari Jeti Pasir Salak.

Antara makam-makam yang akan diziarahi termasuk di Kampung Pasir Pulai, Kampung Bandar Baru, Kampung Teluk Memali, Tanjung Penangguh, Pasir Panjang Ulu dan makam terakhir di Kampung Durian Sebatang, Teluk Intan.

14 Mei 2015 : Menziarahi Beting Beras Basah di Bagan Datoh.

17 Mei 2015 : Majlis Menutup Kerja Pertabalan.

Istiadat Pertabalan Sultan Perak Ke-35, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

Istiadat Pertabalan Sultan Perak Ke-35, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

Tarikh: 3 Mei 2015 - 17 Mei 2015

Istiadat pertabalan Sultan Perak dimulakan dengan Istiadat Meletak Kerja Pertabalan yang akan diadakan di kawasan Panca Persada, Istana Iskandariah Kuala Kangsar. Serentak dengan acara itu, sebanyak 17 das tembakan meriam dan paluan nobat akan diadakan.

Istiadat tabal adat iaitu istiadat pertabalan sebenar akan dijalankan pada Rabu 6 Mei 2015 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar dengan dimulakan dengan Istiadat Kawalan Kehormatan.
Serentak dengan istiadat pertabalan di Balairong Seri Istana Iskandariah Kuala Kangsar, tembakan meriam 21 das akan dilakukan.

Istiadat pertabalan itu kemudiannya diikuti dengan lstiadat Tabal Pusaka dan lstiadat Bersiram Tabal yang bakal berlangsung pada malam 7 Mei.

Bermula hari Jumaat 8 Mei 2015, Sultan Nazrin akan mula menziarahi makam-makam Sultan-Sultan Perak terdahulu yang terletak di Kuala Kangsar, Ipoh, Gopeng, Sayong, Manong, Parit, Bota, Lambor Kanan, Pulau Tiga, Kampung Gajah, Kampung Pulau Juar, Pasir Salak, Kampung Bandar Baru, Kampung Teluk Memali, Teluk Intan.

Majlis tahlil, doa selamat dan kenduri arwah akan turut dijalankan.

Kemuncak istiadat pertabalan Sultan Perak ke-35 ialah Istiadat Menziarahi Beting Beras Basah bermula dari Jeti Bagan Datoh.

Istiadat ini dilakukan sebagai simbolik adat signifikan tempat pertama Sultan Muzaffar Shah I (Marhum Tanah Abang 1528-1549), Sultan Perak yang pertama, menjejakkan kaki ketika mula sampai di bumi Perak.

Istiadat pertabalan Sultan Perak ini diadakan selepas kali terakhir diadakan 30 tahun lepas pada 4 Disember 1985.



Top-up kad prabayar dikenakan GST 6%

Thursday, April 02, 2015 0 Komen

Top-up kad prabayar dikenakan GST 6%

Semua syarikat telekomunikasi akan mengenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kad tambah nilai prabayar tetapi bersetuju menambah masa berbual dan khidmat pesanan ringkas (SMS) pada kadar melebihi enam peratus.

Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk T. Subromaniam berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Kementerian Kewangan bersama syarikat telko hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu berkuatkuasa serta-merta untuk tempoh tiga bulan bermula hari ini dan selepas tamat tempoh tersebut semua pihak yang terlibat akan mencari satu jalan penyelesaian jangka masa panjang.

“Sekarang semua kad prabayar akan dikenakan cukai enam peratus. Tetapi syarikat Telko bersetuju memberi nilai masa berbual dan SMS lebih daripada enam peratus atau 60 sen iaitu sehingga pada kadar RM1,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE.
- See more at: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/semua-telko-kenakan-gst-1.76369#sthash.m5KsnYs8.dpuf

Tempoh rayuan BR1M dilanjut sehingga 15 April 2015

Thursday, April 02, 2015 0 Komen

Tempoh rayuan BR1M dilanjut sehingga 15 April 2015

Tempoh rayuan bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2015 yang sepatutnya berakhir 31 Mac lalu, dilanjutkan sehingga 15 April, kata Kementerian Kewangan.

Kementerian itu menyatakan rayuan boleh dibuat di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang terdekat.

"Dengan pelanjutan tempoh rayuan, ia akan memberi peluang kepada pemohon-pemohon yang gagal mendapat bantuan itu untuk mengemukakan rayuan," menurut kementerian dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu juga menyebut kerajaan bersetuju pembayaran peringkat kedua BR1M 2015 dilaksanakan mulai 28 Mei ini.

Secara keseluruhan hampir 7.28 juta penerima telah mendapat manfaat daripada pemberian BR1M 2015 dan daripada jumlah itu 4.17 juta merupakan penerima bagi kategori isirumah di bawah pendapatan RM3,000. - BERNAMA

Nahas Germanwings:Pembantu juruterbang alami putus cinta?

Saturday, March 28, 2015 0 Komen

Nahas Germanwings:Pembantu juruterbang alami putus cinta?

Pembantu juruterbang pesawat Germanwings 4U 9525, Andreas Lubitz yang dipercayai sengaja menyebabkan pesawat itu terhempas di Perancis Selasa lalu didakwa mengalami ‘masalah peribadi’ dan masih menjalani rawatan ketika masa nahas itu berlaku.

Laporan dari Jerman meng­andaikan, lelaki berusia 28 tahun itu bergelut untuk mengatasi masalah putus cinta yang dialami­nya dengan sengaja menjunamkan pesawat Airbus A320 itu ke Banjaran Alps mengakibatkan 149 penumpang dan anak kapal terbunuh.

Teori itu muncul hanya beberapa jam selepas polis yang menyiasat nahas itu mengumumkan bahawa mereka membuat ‘pe­nemuan penting’ semasa mengeledah apartmen Lubitz selama empat jam, dan dia dikatakan berkongsi kediaman itu dengan teman wanitanya.

Pegawai penyiasat, bagaima­napun enggan mendedahkan butiran tentang kemungkinan itu, namun menegaskan bahawa penemuan itu bukanlah satu nota bunuh diri, lapor Mail Online.

Malam tadi, polis menggeledah kediaman keluarga Lubitz di sebuah bandar kecil di utara Frankfurt dan sebuah apartment di Dusseldorf dan merampas sebuah komputer, komputer riba dan beberapa keping fail yang difahamkan menjadi tempat Lubitz menghabiskan kebanyakan masanya.

“Kami menemukan sesuatu yang akan diambil untuk diperiksa. Kami tidak boleh menyatakan perkara itu buat masa ini, namun penemuan itu mungkin menjadi petunjuk penting tentang apa yang berlaku. Kami berharap penemuan itu dapat memberikan beberapa penjelasan,’’ kata seorang jurucakap polis yang enggan dikenali.

Serbuan ke atas rumah Lubitz dipercayai dibuat selepas Pendakwa Raya Marseille, Brice Robin dalam sidang medianya mendedahkan maklumat daripada Perakam Suara Kokpit (CVR) bahawa Lubitz memang mahu memusnahkan pesawat Germanwings 4U 9525 itu.

Seorang sumber keselamatan berkata, sejurus menyedari pesawat itu sedang menjuman, kapten kapal menggunakan sebilah kapak untuk masuk ke kokpit selepas pintu kokpit itu dikunci dari dalam oleh Lubitz.

Semalam, majikan Lubitz me­ngaku bahawa pembantu juruterbang itu berjaya melepasi ‘jaringan keselamatan’ dan dia tidak sepatutnya terbang.

Selain itu, Lubitz yang gemarkan kecergasan itu dipercayai mengalami kemurungan dan ‘keletihan’ yang boleh menjejaskan kariernya dalam bidang itu.

Bagaimanapun, tidak disangka dia berjaya melepasi semua penilai­an psikologi dan dianggap layak untuk terbang.
- Utusan

Senarai barang dikecualikan GST

Saturday, March 28, 2015 0 Komen

Senarai barang dikecualikan GST

Menjelang pelaksanaan cukai barangan dan perkhid­matan (GST) 1 April ini, Kementerian Kewangan hari ini memperluaskan lagi senarai barang dan perkhidmatan yang dikecuali­kan daripada cukai tersebut bagi memanfaatkan rakyat dan industri.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, senarai tersebut meliputi empat perkara iaitu bahan bacaan, ubat, yuran penyelenggaraan termasuk sinking fund kediaman dan perkhid­matan pendidikan.

Menurut Kementerian Kewa­ngan, pengecualian GST kini diperluaskan kepada semua jenis bahan bacaan termasuk surat khabar manakala majalah dan buku-buku lain yang bukan merupakan bahan bacaan dikenakan GST.

Kata kenyataan itu, langkah ini diharap dapat memastikan bahan bacaan yang dikecualikan GST tidak akan mengalami sebarang kenaikan dan seterusnya dapat me­ningkatkan budaya membaca dalam kalangan rakyat.

Selain itu, bilangan ubat yang dikecualikan GST di bawah Senarai Ubat-Ubatan Penting Nasional diperluaskan daripada 2,900 kepada 4,215 jenama ubat untuk memastikan ubat-ubatan di bawah senarai ini dapat meliputi semua dos dan kaedah pengambilan.

“Malah Kementerian Kewangan juga akan mengkaji cadangan Kementerian Kesihatan untuk memperluaskan lagi jenis ubat bagi penyakit tertentu untuk dikecualikan GST,” kata kenyataan itu.

Di samping itu, Kementerian Kewangan memaklumkan, yuran penyelenggaraan dan sinking fund yang sebelum ini hanya dikecuali­kan GST ke atas rumah kos rendah dan kos sederhana rendah kini turut diperluaskan meliputi semua jenis bangunan kediaman yang dipegang di bawah hak milik strata.

Perkhidmatan pendidikan yang dikecualikan daripada GST turut diperluaskan meliputi pendidikan kemahiran yang disediakan oleh penyedia latihan kemahiran yang menjalankan program yang diluluskan dan ditauliahkan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652).

Selain itu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan itu turut memberi penjelasan berhubung empat perkara iaitu GST ke atas perkhidmatan kesihatan, pertubuh­an bukan kerajaan (NGO) terma­suk institusi keagamaan, GST di zon perdagangan bebas dan gudang, serta barang yang dikecualikan cukai tersebut.

Menurut Kementerian Kewangan, perkhidmatan jagaan kesihatan oleh hospital, klinik, pusat rawatan dialisis dan seumpanya tidak dikenakan GST namun GST akan dikenakan ke atas caj rawatan atau perkhidmatan rundingan yang diberikan oleh doktor bebas (independent doctor) yang tidak berdaftar sebagai kemudahan jagaan kesihatan.

“Di dalam membantu kemudah­an jagaan kesihatan swasta untuk mengurangkan kos untuk menyediakan perkhidmatan jagaan kesihatan, sebanyak 120 jenis peralatan perubatan yang dibeli oleh hospital, klinik atau mana-mana kemudahaan jagaan kesihatan swasta diberi pelepasan GST,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Kementerian Kewangan turut menjelaskan barang yang dikecualikan GST termasuk susu formula bayi di bawah umur 36 bulan, semua jenis beras dan gula.

Sementara itu, tambah Kementerian Kewangan, bagi aktiviti NGO dan institusi keagamaan yang terlibat sepenuhnya di dalam aktiviti kebajikan atau keagamaan juga tidak dikenakan GST.

“Mengenai layanan GST di zon perdagangan bebas dan gudang, secara prinsipnya, pengenaan GST ke atas perkhidmatan yang dibekalkan tidak akan menambahkan kos perniagaan kerana apa-apa GST yang dibayar boleh dituntut semula sebagai kredit oleh syarikat yang berdaftar.

“Penelitian semula sedang dijalankan dan secara prinsipnya beberapa jenis perkhidmatan yang digunakan di dalam kawasan berikut akan diberi layanan khas. Langkah ini bagi memastikan aktiviti perniagaan yang dijalankan di dalam kawasan tersebut adalah kompetetif dan selaras dengan amalan di pe­ringkat antarabangsa.
“Keputusan mengenai jenis perkhidmatan yang akan diberi pelepasan GST akan dimaklumkan kepada pihak industri,” ujar kenyataan itu.~ Utusan

Tragedi Germanwings: Penyelamat cari mayat mangsa di celah-celah serpihan pesawat

Thursday, March 26, 2015 0 Komen

Tragedi Germanwings: Penyelamat cari mayat mangsa di celah-celah serpihan pesawat 

SEYNE, Perancis: Penyiasat mencari mayat mangsa di celah-celah serpihan pesawat Jerman yang berkecai dan petunjuk mengapa kapal berkenaan kehilangan altitud selama lapan minit dan kemudiannya terhempas di pergunungan Alps menyebabkan 150 orang terkorban.

Beratus-ratus anggota bomba dan polis di Le Vernet melancarkan operasi besar-besaran di kawasan nahas yang bercerun, dan hanya boleh sampai dengan menggunakan helikopter atau mendaki.

Sementara itu, pakar di Paris menganalisis salah satu kotak hitam bagi mencari petunjuk mengapa pesawat Germanwings Airbus A320 terbabit terhempas dalam cuaca baik.


Presiden Perancis, Francois Hollande dan rakan sejawatan dari Jerman serta Sepanyol dijangka melawat lokasi nahas pada kira-kira jam 2 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia) bagi memberi penghormatan kepada mangsa kebanyakannya rakyat Jerman dan Sepanyol - nahas terburuk di negara itu selepas empat dekad.

Menteri Dalam Negeri Perancis, Bernard Cazeneuve berkata, pemeriksaan terhadap kotak hitam yang rosak itu, terkandung rakaman perbuatan dan bunyi dalam kokpit, akan dimulakan "dalam beberapa jam lagi".

Sehubungan itu, Menteri Pengangkutan, Alain Vidalies berkata, jika rakaman perbuatan dirakam, penyiasatan berkenaan akan berjalan "agak pantas".

"Selepas itu, jika kami perlu menganalisis bunyi, kerja itu akan mengambil masa beberapa minggu tetapi kerja itu boleh memberikan beberapa penjelasan," kata Vidalies.

Selain itu, kotak hitam kedua pesawat malang terbabit yang merakam data penerbangan masih belum ditemui.

Pegawai penyiasat sedang mencari petunjuk mengapa pesawat yang dikendalikan Germanwings, iaitu syarikat penerbangan tambang murah milik Lufthansa, dikatakan kehilangan altitud selama lapan minit ketika dalam penerbangan di antara Barcelona dan

Duesseldorf. - AFP

Tiada kenaikan tarif elektrik tahun 2015

Thursday, March 26, 2015 0 Komen

Tiada kenaikan tarif elektrik tahun 2015

Kerajaan mengulangi jaminan tarif elektrik tidak akan dinaikkan sepanjang tahun ini, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Katanya, kerajaan sedang melakukan semampu mungkin untuk mengelak kenaikan itu dan memantau perubahan kos bahan bakar yang digunakan untuk menghasilkan tenaga  elektrik seperti gas asli berpaip, arang batu dan gas asli cecair (LNG).

"Tertakluk kepada kedudukan kos input ataupun bahan api. Pada masa ini, kerajaan memberikan subsidi kepada bahan bakar utama untuk elektrik seperti gas asli berpaip.  

"Kos bahan api arang batu pula ia begitu stabil dan kami ramalkan tidak banyak penurunan harga pasaran bagi arang batu," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.   

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) yang ingin tahu sama ada kerajaan dapat memberi jaminan bahawa tarif elektrik tidak akan dinaikkan sepanjang tahun ini sekiranya harga bahan bakar untuk elektrik kekal seperti sekarang.   

Terdahulu, menjawab soalan asal Ahmad Fauzi yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk menurunkan tarif elektrik Ongkili berkata, walaupun berlaku penurunan harga minyak dunia sejak pertengahan tahun lepas, ia tidak memberi kesan ketara kepada tarif elektrik.   

Katanya, ini kerana bahan bakar minyak hanya menyumbangkan satu peratus sahaja kepada keseluruhan campuran bahan bakar untuk menghasilkan tenaga elektrik yang campuran utamanya ialah gas asli berpaip, LNG dan arang batu.   

"Pada masa sama kos penjanaan elektrik berjaya dikurangkan kerana prestasi loji-loji jana kuasa arang batu telah meningkat sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bahan bakar lain yang tinggi harganya," katanya.    

Menjelas lanjut, Ongkili berkata, susulan senario itu, terdapat penjimatan melalui mekanisme Pelepasan Kos Ketidakseimbangan (ICPT) sebanyak RM726.99 juta dan kerajaan  memutuskan memberi penjimatan itu kepada pengguna di Semenanjung Malaysia dengan rebat RM2.25/kWj bagi tempoh 1 Mac hingga 30 Jun depan.    

Katanya, keputusan ini akan melibatkan semua pengguna domestik dalam lingkungan pengguna melebihi 300kWj sebulan dan semua pengguna komersial dan industri.   

Mekanisme ICPT masih belum diimplementasikan di negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, namun selaras dengan penurunan harga minyak mentah dunia, terdapat  penjimatan dalam pelbagai bahan api.   

"Untuk mengurangkan beban rakyat, kerajaan bersetuju agar purata kadar tarif 34.52 sen/kWj diturunkan sebanyak 1.20 sen/kWj bagi Sabah dan Labuan bagi tempoh 1 Mac hingga  30 Jun 2015," katanya. - Bernama

Dubai International Airport World's Busiest A380 Hub

Wednesday, March 25, 2015 0 Komen

Dubai International Airport World's Busiest A380 Hub

Dubai International Airport has been named the world's leading hub for Airbus A380 operations in 2014, Emirates News Agency (WAM) reports citing Dubai Airports 2014 Yearbook.

The airport had 15,098 flights served by the aircraft to 39 destinations around the world last year, a rise from 10,608 services to 26 cities in the previous year.

The figures are based on published flight schedule data in the airline industry.

Growth in A380 movements was driven by expansion of the Emirates A380 fleet, with more than 50 of the Airbus planes currently in operation.

The next busiest A380 airport last year was London's Heathrow with 5,434 flights to 11 cities followed by Singapore's Changi Airport with 5,398 flights to 18 destinations.

The Dubai Airports 2014 Yearbook provides an in-depth update of the organisation's expansion plans at Dubai International Airport and Al Maktoum International Airport.


PKNP Umum Bonus 3 Bulan Berdasarkan Prestasi Untuk Kakitangan

Wednesday, March 25, 2015 0 Komen

PKNP Umum Bonus 3 Bulan Berdasarkan Prestasi Untuk Kakitangan

Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), entiti yang mewakili kerajaan dalam urus niaga dan hal yang berkaitan kepentingan negeri, hari ini mengumumkan pemberian bonus tiga bulan secara purata, iaitu berpandukan penilaian prestasi dan perkhidmatan bagi 2014, kepada kakitangannya.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata ini merupakan kali pertama PKNP memberi bonus selepas 20 tahun tidak berbuat demikian.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu, beberapa langkah penstrukturan dilakukan bagi memastikan PKNP mampu berfungsi dengan baik dan menyediakan ganjaran yang setimpal kepada kakitangannya.

"Ini bermakna bukan semua dapat bonus selama tiga bulan tapi akan berpandukan kepada 'performances based bonus' iaitu secara purata.

"Mungkin ada kakitangan yang dapat bonus selama sebulan, dua bulan dan ada juga yang tiga bulan," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini.

Zambry juga berharap PKNP akan terus maju dengan melihat sektor baharu yang lebih strategik selain fokus dalam penglibatan mereka, khususnya yang membabitkan sektor ekonomi, pembinaan dan sebagainya.

"Sejak saya memegang (jawatan pengerusi lembaga pengarah) lagi, saya berusaha untuk memastikan supaya dimensi PKNP ini dapat dilihat dan ditinjau semula bagi memastikan PKNP dapat berfungsi dalam penglibatan mereka khususnya melibatkan hal ehwal pembangunan dan juga sumber ekonomi di negeri Perak ini.

"Lantaran itu, saya gembira dengan pencapaian setakat ini iaitu mereka telahpun dapat menyediakan bonus kepada kakitangan.

"...ia adalah hasil daripada kerja yang dilakukan oleh semua pihak, maka wajar untuk diberikan ganjaran dengan kerja yang telah mereka lakukan," katanya.

Dalam pada itu, Zambry berkata isu pentadbiran air tidak sepatutnya membabitkan politik sebaliknya perlu diurus dengan baik untuk memberikan manfaat kepada rakyat dan negeri.

- BERNAMA

Amalan Tradisi Memindahkan Rumah (Usung Rumah) Bakal Lenyap

Wednesday, March 25, 2015 0 Komen

Amalan Tradisi Memindahkan Rumah (Usung Rumah) Bakal Lenyap

Amalan memindahkan rumah menggunakan kudrat manusia atau lebih dikenali sebagai "usung rumah" pernah mewarnai budaya masyarakat Melayu negara ini terutama di kawasan kampung.

Sejak zaman penjajah, hampir saban minggu kegiatan yang memperlihatkan semangat bergotong-royong masyarakat itu berlangsung namun amalan tradisi itu kini hampir lenyap akibat arus modenisasi.

Kewujudan perumahan moden dan pembinaan rumah-rumah konkrit di kawasan kampung menjadi faktor kegiatan usung rumah semakin lenyap meskipun semangat gotong-royong masih segar.

Lagipun kegiatan usung rumah hanya membabitkan rumah papan yang bertiang dan tidak boleh dilakukan bagi rumah batu dan konkrit.

PINDAH BERSAMA RUMAH

Seorang budayawan, Mokhtar Abdul Karim, 74, berkata, kegiatan usung rumah lazimnya membabitkan perpindahan penduduk dalam jarak dekat.

Apa pula yang mendorong mereka untuk turut membawa bersama rumah mereka ke lokasi baru?

"Ada penduduk yang teramat sayang rumahnya. Bila dia pindah, dia mahu bawa rumah sekali," katanya kepada Bernama.

Mokhtar, seorang novelis veteran yang mengguna nama pena Mokhtar AK, berkata faktor lain ialah struktur rumah itu dibeli oleh pihak lain menyebabkan ia diusung keluar ke lokasi baru yang ditetapkan pembeli.

Sebahagian besar generasi muda bukan sahaja tidak pernah mendengar perkataan usung rumah apatah lagi menyaksikan kegiatan itu.

Bagi warga emas, Sum Sanapi, 81, rumahnya juga pernah diusung sejauh lebih 500 meter dari tapak asalnya di Kampung Belanga Pudak, Perlis lebih 40 tahun lepas.

Rumahnya yang tersorok di pinggir hutan buluh dan tanah perkuburan dipindahkan ke tapak baharu yang lebih strategik.

"Rumah diusung menyeberangi tali air ke tapak baharu dan selepas itu diusung pula 'jelapang padi' (tempat menyimpan padi) ke tempat sama," kata wanita yang kini menetap di Telok Kachang.

BINA JAMBATAN BATANG KELAPA

Baginya tapak baharu lebih strategik kerana berhampiran tali air yang mempunyai banyak ikan selain terdapat hutan nipah yang memberi sumber rezeki.

Persiapan bermula dengan bergotong-royong membina jambatan menggunakan batang kelapa bagi membolehkan rumah itu diusung menyeberangi tali air.

"Masa itu tak ada jentera moden dan semua dilakukan dengan kudrat gotong- royong termasuk menebang dan mengusung batang nyoq (kelapa) satu demi satu," katanya mengimbau kisah silam.

Berdasarkan penelitian penulis, biasanya jarak usungan rumah tidak melebihi dua kilometer kerana untuk jarak yang lebih jauh, rumah berkenaan perlu diceraikan bahagian-bahagiannya dan dipindahkan dengan lori dan dipasang semula di tapak yang baharu.

Proses usung rumah bermula dengan hebahan kepada masyarakat termasuk melalui imam masjid selepas solat Jumaat mengenai gotong-royong itu.

Penganjur kegiatan usung rumah akan berdiri di sisi imam ketika pengumuman itu dibuat bagi membolehkan jemaah masjid mengenalinya.

Lazimnya kegiatan usung rumah dilakukan kira-kira seminggu selepas pengumuman dibuat dan ada yang dilangsungkan lebih awal.

Selain pengumuman di masjid, penganjur juga akan mendapatkan kerjasama ketua kampung atau pemimpin komuniti serta jiran-jiran bagi menjayakan kegiatan itu.

BULUH USUNGAN

Antara persiapan penting sebelum rumah diusung adalah penyediaan pengalas usungan daripada buluh bagi memudahkan kerja-kerja mengusung rumah.

Buluh-buluh yang ditebang secara bergotong-royong itu diikat ke rasuk rumah dan jumlah buluh yang digunakan bergantung kepada saiz rumah.

Rumah yang bakal diusung perlu dikosongkan daripada segala perabot dan barangan supaya mengurangkan berat kepada pengusungnya.

Penulis yang pernah melihat dan menyertai kegiatan usung rumah mendapati rumah yang berat pun dapat diusung secara mudah tetapi perlu diusung dengan berhati-hati.

Ini kerana jika pengusung terjatuh semasa bergerak beliau mungkin dipijak oleh pengusung lain memandangkan pergerakan rumah tidak boleh dihentikan secara mengejut.

Jika kegiatan itu dilihat dari lokasi tinggi, ia persis sekumpulan semut yang mengusung cebisan makanan dan pergerakannya perlahan serta dilakukan secara berhati-hati.

Biasanya sekurang-kurangnya 50 orang diperlukan bagi mengusung sebuah rumah bersaiz kecil dan angka itu lebih tinggi bagi rumah bersaiz besar.

PERANAN TEKONG

Selain pengusung rumah, turut berperanan penting dalam kegiatan itu ialah tekong atau penunjuk arah yang akan bertanggungjawab memastikan rumah yang diusung tidak melanggar pokok atau halangan lain.

Beliau akan memaklumkan jika terdapat halangan di hadapan termasuk bonggol, tunggul pokok atau kubang dan parit supaya para pengusung lebih berhati-hati.

Tempik sorak para pengusung adalah perkara biasa semasa kerja-kerja mengusung rumah namun suara tekong biasanya lebih lantang supaya boleh didengari mereka yang menyertai gotong-royong itu.

Tekong juga akan memaklumkan apabila rumah yang diusung tiba di tapak baharu dan beberapa orang telah bersedia menyelaraskan pelapik tiang sebelum rumah diletakkan secara tepat di lokasi.

Tradisi Usung Rumah

MENIKMATI JAMUAN SANTAI

Selepas berakhir kegiatan usung rumah, para peserta gotong-royong biasanya akan dijamu dengan bubur kacang atau bihun goreng selain minuman kopi.

Kepuasan dapat dirasakan oleh para pengusung dan tuan rumah selepas melihat rumah yang diusung dengan penyatuan kudrat, kerjasama dan toleransi itu tiba di tapak baharu dengan sempurna.

Sementara itu, beberapa kegiatan usung rumah dikesan di Perlis sejak 2010 termasuk di kampung Wang Belimbing, Kampung Sena, Kampung Jarak dan Kampung Katong.

Selain kegiatan usung rumah, para penduduk pernah bergotong-royong mengusung "jelapang padi" dan yang terbaru berlangsung di Gial, Perlis pada awal Mac.

Pastinya kegiatan ini akan tinggal sejarah tidak lama lagi jika rumah-rumah papan yang bertiang telah berganti dengan rumah batu dan konkrit.

Oleh Adnan Jahaya

- BERNAMA

SKMM Keluar 23 Kompaun RM1.01 Juta Kepada Telco

Wednesday, March 25, 2015 0 Komen

SKMM Keluar 23 Kompaun RM1.01 Juta Kepada Telco

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan 23 kompaun berjumlah RM1.01 juta kepada syarikat telekomunikasi (Telco) utama berhubung isu panggilan terputus dan pendaftaran bagi pengguna prabayar.

Menurut kenyataan SKMM pada Rabu, bagi isu panggilan terputus, jumlah kompaun yang dikenakan kepada DiGi Telecommunications Sdn Bhd adalah RM180,000, Maxis Mobile Services Sdn Bhd RM170,000 sementara Celcom Axiata Bhd RM130,000.

Bagi isu pendaftaran pengguna prabayar pula, Celcom Axiata dikenakan kompaun RM200,000, Maxis Mobile Services RM150,000, U Mobile Sdn Bhd RM100,000, Tune Talk Sdn Bhd RM70,000 dan XOX Com Sdn Bhd pula RM10,000.

"SKMM sentiasa tegas dalam isu pendaftaran pengguna prabayar kerana terdapat insiden yang mana maklumat peribadi orang lain telah digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu juga, SKMM telah mengeluarkan dua kompaun kepada Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd (Astro) dan Maestra Broadcast Sdn Bhd (Maestra) bagi kesalahan melanggar peruntukan di bawah Kod Kandungan dan syarat lesen.

Astro dikenakan kompaun RM10,000 kerana melanggar Peruntukan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Bahagian 3: Iklan di sub perenggan 5.1, 5.2 dan 8.1 serta Syarat Standard 6 Lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (Individu) CASP(I).

Menurut kenyataan itu, Astro didapati menyiarkan rancangan bual bicara mengenai produk kesihatan untuk penyakit-penyakit yang dilarang daripada diiklankan di bawah peruntukan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.

Maestra pula dikenakan kompaun RM20,000 kerana melanggar Syarat Khas Lesen No. 10.2 CASP (i) dan Seksyen 206 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara, Radio Era FM yang beroperasi di bawah Maestra telah melakukan kesalahan dengan menyiarkan kandungan yang menyinggung perasaan umat Islam pada Ramadan tahun lepas, menurut kenyataan itu.

SKMM mengawal selia dan menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia yang merangkumi bidang telekomunikasi, penyiaran, aktiviti dalam talian, perkhidmatan pos dan pensijilan digital.

SKMM mengeluarkan sebanyak 70 kompaun berjumlah RM2.84 juta atas pelbagai kesalahan pada 2014.

-- BERNAMA

Semua seks luar tabii dalam kesalahan liwat

Friday, March 20, 2015 0 Komen

Semua seks luar tabii dalam kesalahan liwat

Perlakuan seks luar tabii seperti lesbian serta bersetubuh dengan mayat dan haiwan tidak digugurkan sebagaimana dihebohkan di laman sosial, sebaliknya masih terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) yang diluluskan pindaannya hari ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menjelaskan, hukuman untuk kesalahan perlakuan seks songsang tersebut dima­sukkan dalam senarai kesalahan liwat iaitu kategori sama untuk perlakuan gay.

Katanya, pengguguran Seksyen 19 hingga 21, iaitu perkara berkaitan perlakuan seks luar tabii dalam enakmen yang dipinda tidak bermaksud bahawa kesalahan seperti lesbian, bersetubuh dengan mayat atau haiwan tidak dikenakan hukuman.

“Kita tidak boleh sebut semua (lesbian, seks dengan mayat dan haiwan), benda itu semua masuk dalam liwat. Gugur perkataan bukan bermaksud tak apa, jangan faham seperti itu.

“Soalnya, hukuman liwat itu kekal (dalam enakmen), bila kekal, hukuman itu meliputi semua (perlakuan seks luar tabii). Gay, lesbian semua itu masuk dalam kesalahan liwat, itu sudah cukup,” katanya kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Pengguguran Seksyen 19 hingga 21, iaitu lesbian, seks dengan mayat dan haiwan daripada Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 menyebabkan timbul salah faham di laman sosial apabila orang ramai berpendapat perlakuan songsang tersebut bukan satu ke­salahan dalam hukum hudud.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah II berkata, meskipun hudud belum boleh dilaksanakan, pihaknya sudah membuat persiapan rapi berkaitan prosedur pelaksanaan hukuman di bawah undang-undang Islam itu.

“Dalam bengkel anjuran bersama pihak Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), kita telah kumpulkan para mufti, hakim syarie, pakar perubatan, perundangan, pihak penjara dan polis untuk kita bincang kaedah bagaimana nak laksanakan hukuman.

“Bagaimana merotan, nak potong tangan dan sebagainya, semua sudah sedia namun akan didedahkan kemudian,” katanya.

Beliau turut memberitahu, Kerajaan Pas Kelantan bercadang untuk mewujudkan sebuah galeri di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) bagi memberikan kefahaman kepada orang ramai bagaimana hukuman hudud dijalankan.

Mengenai isu hudud yang dibawa ke mahkamah oleh Gerakan semalam, Mohd. Amar membe­ritahu, pihaknya sedang menunggu arahan lanjut daripada mahkamah sebelum melakukan tindakan susulan.

“Kalau ada kes, kita lawan, kita pun ada peguam juga. Saya rasa perkara ini tidak jejaskan usaha Pas Kelantan sebab kita bukan hendak buat hudud besok. Banyak lagi proses perlu kita lalui,” katanya.~ Utusan

Ustaz Kazim Elias Umum Tarik Diri Ceramah Di Televisyen

Friday, March 20, 2015 0 Komen

Ustaz Kazim Elias Umum Tarik Diri Ceramah Di Televisyen

Pendakwah Datuk Mohamad Kazim Elias (Ustaz Kazim) mengumumkan menarik diri daripada menyertai sebarang program ceramah agama di televisyen.

Beliau bagaimanapun berkata bagi siaran yang telah dirakam dan yang telah ditandatangani kontraknya, ia tetap akan diteruskan.

"Saya juga menarik diri sebagai ahli panel Forum Perdana tetapi ceramah-ceramah biasa berjalan seperti biasa, cuma saya tidak lagi muncul dalam kaca televisyen melainkan dalam program 'Kalau Dah Jodoh' sebab saya masih ada kontrak dengan Astro.

Ustaz Kazim Elias

"Saya rasa ini adalah penampilan terakhir saya dalam forum ini (Forum Perdana), saya ucapkan terima kasih kepada RTM, kepada para sahabat dan penyokong saya," katanya dalam Forum Perdana Hal Ehwal Islam secara langsung di TV1 di Padang Astaka Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Kamaruddin .

Ditemui pemberita kemudiannya, beliau berkata punca beliau menarik diri kerana beliau merasa kecewa berikutan terdapat pihak yang mengatakan beliau berdakwah untuk mencari duit sedangkan tujuannya adalah untuk membiayai Pusat Pendidikan Al-Barakah di Ipoh, Perak.

"Sebab kedua saya tidak pernah meletakkan bayaran terpulang kepada orang yang nak bagi dan duit bayaran ceramah itu dimasukkan ke sekolah tersebut.

"Saya merasa 'down' ada yang mengatakan saya (penceramah) penglipur lara sedangkan saya berceramah meninggalkan keluarga, isteri dan anak-anak untuk berdakwah, tiba-tiba dituduh sebagai penglipur lara.

"Saya mungkin terlalu keterlaluan berceramah dalam setiap saluran TV. Saya rasa saya kena beri peluang kepada penceramah lain untuk mengambil tempat saya. Jadi saya rasa saya akan berceramah di luar kaca televisyen, saya tidak menonjol seperti dulu," katanya.

Beliau berkata keputusannya itu lebih baik kerana Forum Perdana akan menjadi lebih ceria tanpa nyanyian dan "saya rasa itu yang terbaik bagi sesetengah pihak dan saya terima jika itu yang mereka mahukan."

Mengenai terdapat pihak yang mengatakan beliau berjenaka dalam menyampaikan ceramahnya, Mohd Kazim berkata itu adalah caranya untuk menarik hati pendengar.

"Kalau nak serius dengar hujah saya, pergi ke pondok pengajian saya dan saya tegas. Saya adalah pendakwah dan itu adalah cara saya untuk menarik hati golongan muda. Apabila saya menyanyi, saya ketawa nanti ada orang marah saya. Orang mempertikaikan saya rasa sangat tak kena.

"Kalau yang pertikai orang tak pandai saya tak kisah, tapi yang mempertikai adalah orang alim dan saya menghormati orang alim. Jadi lebih baik saya mengundur diri.

"Saya kena hormat, lebih baik saya berceramah biasa di padang sekolah, masjid, surau tetapi tidak disiarkan dalam TV," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang selama ini menyokongnya dan menyifatkan Zambry sebagai seorang yang sangat terbuka. ~ Mstar

Kanak-kanak terdedah bahan pornografi di internet

Monday, March 09, 2015 0 Komen

Pornografi di internet racuni jiwa kanak-kanak

Anak-anak di peringkat sekolah rendah mudah meniru apa yang mereka lihat. Jika dulu televisyen menjadi sumber utama, diikuti lambakan cakera padat (CD) lucah, kini akses melalui talian internet dan telefon pintar menjadi sumber sukar dikawal.

Klip video pendek melalui laman perkongsian video hiburan seperti Youtube menjadi rujukan. Tambahan pula, dengan teknologi terkini melalui perisian android di telefon pintar, tablet atau iPad, memudahkan aplikasi ini dicapai dengan segera.

Zina mata

Ibu bapa harus mengetahui terdapat apa yang dikatakan sebagai zina mata atau melihat kepada sesuatu yang berunsurkan maksiat. Zina mata atau ‘lahadhat’ bukan hanya sekadar memandang, malah diikuti dengan pandangan selanjutnya.

Rasulullah SAW bersabda kepada Saidina Ali: “Wahai Ali, janganlah kamu mengikuti pandangan yang pertama (terhadap wanita yang bukan mahram) dengan pandangan yang seterusnya, kerana sesungguhnya pandangan pertama itu bagi kamu (diharuskan), tetapi kamu dilarang daripada pandangan yang kedua (iaitu terus memandang kepada wanita yang bukan mahram sehingga boleh menimbulkan syahwat).” (Riwayat al-Tirmidhi dan Ahmad)

Ibu bapa perlu maklum sebarang bentuk pornografi yang ditakrifkan sebagai bahan yang memaparkan secara jelas alat kelamin atau perlakuan seksual, bagi membangkitkan nafsu syahwat adalah haram.

Budaya Barat mengkategorikan pornografi kepada pornografi berat dan ringan. Filem, klip video atau majalah (juga komik) yang secara terang-terangan menggambarkan aksi seksual atau alat kelamin secara nyata dikategorikan pornografi berat.

Sementara aksi memberahikan yang boleh membangkitkan syahwat termasuk dalam kategori pornografi ringan melalui iklan oleh model yang berpakaian separuh bogel dan video klip hiburan yang memaparkan aksi tarian mengghairahkan.

Sebahagian filem tempatan kita dan sesetengah rancangan drama tempatan sudah pun memasuki kategori pornografi ringan dan jika tidak dibendung, ia menjadi sesuatu yang diterima norma masyarakat.

Oleh itu, ibu bapa perlu mengawal anak daripada menonton bahan itu dengan menjadikan rumah kawasan larangan bahan pornografi selain mendisiplinkan anak rancangan yang boleh ditonton.

Sekurang-kurangnya anak tidak terdedah kepada bahaya itu dari dalam rumah sendiri.

Kajian membuktikan akses kepada bahan pornografi membentuk jiwa anak-anak ke arah ketagihan menonton seterusnya melakukan perlakuan seksual itu sendiri. Dari sudut perubatan, ketagihan seks mengganggu fungsi otak yang membentuk kemahiran menghujah secara rasional.

Dari segi kejiwaan, anak-anak ini dibelenggu rasa bersalah dan jiwa merasa kacau, tetapi mereka tetap ketagihan. Mereka belum kuat untuk menepis imej yang sentiasa menghantui mereka. Maka kasihanilah anak dan bentuk disiplin diri yang tinggi untuk menjauhi dosa mata yang berupaya menghancurkan masa depan mereka.

Ibu bapa perlu terkehadapan dalam perkembangan teknologi atau sekurang-kurangnya mempunyai tahap pengetahuan yang sama dengan anak-anak. Jangan terlalu ketinggalan kerana memandang negatif kemajuan teknologi. Seperti pisau, kemajuan teknologi ada sisi baik dan buruknya.

Kanak-kanak terdedah bahan pornografi

Kajian di Indonesia pada 2008 menyiarkan fakta bahawa 67 peratus daripada responden kanak-kanak terdedah kepada bahan pornografi melalui internet, permainan komputer dan komik. Sebahagian besar dapat mengakses bahan itu daripada gajet pintar yang dihadiahkan ibu bapa.

Justeru, ibu bapa mungkin mengambil langkah pengawasan antaranya meletakkan komputer di ruang keluarga yang memudahkan mereka mengawasi aktiviti anak mereka, mengadakan akaun untuk setiap anak dan mengehadkan penggunaan selama dua atau tiga jam bergantung umur mereka.

Akhirnya, banyakkan berdoa supaya Allah SWT memelihara anak kita dalam keadaan di mana kita tidak berupaya mengawasi mereka seperti di luar rumah.

Ibn Abbas meriwayatkan, “Aku bermalam di rumah bibiku, Maimunah dan melihat Rasulullah SAW bangun. Setelah berada pada sebahagian malam, beliau bangun dan berwuduk ringan dengan air dari dalam kantung kulit yang di gantung di dinding kamarnya. Setelah itu, beliau pun mengerjakan solat malam. Aku pun ikut bangun dan berwuduk dari tempat air yang digunakan oleh beliau. Kemudian aku berdiri solat di samping kiri beliau, lalu beliau memindahkanku ke samping kanannya.” (Riwayat Bukhari) ~ BH

Laporan interim MH370: Tiada 'bendera merah' mengaitkan kru, pesawat

Sunday, March 08, 2015 0 Komen

Laporan interim MH370: Tiada 'bendera merah' mengaitkan kru, pesawat

Siasatan ke atas pesawat MH370 tidak menemui sebarang petunjuk luar biasa yang melibatkan isu mekanikal atau mengaitkan penglibatan kru penerbangan.

Menurut laporan interim yang dikeluarkan pada Ahad, tiada penjelasan baharu dikeluarkan mengenai punca kehilangan pesawat Boeing 777-200ER itu.

Satu pasukan penyelidik antarabangsa telah menyiasat profil peribadi, psikologi, dan kewangan kapten serta pembantu juruterbang, selain mengkaji latar belakang 10 kru kabin pesawat berkenaan.

Laporan terperinci yang dikeluarkan pada ulang tahun pertama kehilangan pesawat MH370 itu tidak menyebut sebarang dapatan yang meletakkan syak wasangka atau 'bendera merah' ke atas mereka.

"Tiada sebarang tanda tingkah laku pengasingan sosial, perubahan dalam tabiat atau minat, kecuaian diri, penyalahgunaan dadah atau alkohol melibatkan Kapten, Pembantu Juruterbang dan kru kabin," menurut laporan itu.

Laporan itu menambah bahawa radar awam telah mengesan pesawat itu untuk jangka masa yang singkat selepas ia mengubah haluan pada 8 Mac tahun lalu.

Penganalisis berkata laporan itu kebanyakannya menyatakan apa yang sudah diketahui.

Sementara itu, laporan interim itu juga mendapati bahawa bateri yang menjanakan mata arah dasar laut pada perakam data penerbangan pesawat (FDR) tamat tempoh pada Disember 2012.

Walau bagaimanapun, bateri pada perakam suara kokpit (CVR) pesawat telah digantikan dan berfungsi dengan baik.

Ia turut menyebut yang walaupun wujud kelalaian menggantikan bateri mata arah tersebut, ia masih boleh beroperasi selepas tamat tempoh, namun keberkesanannya boleh diragui.

Kehilangan MH370 beri kesan kepada penduduk Perth

Sunday, March 08, 2015 0 Komen

Kehilangan MH370 beri kesan kepada penduduk Perth

Setahun sudah berlalu dan kehilangan pesawat MH370 jelas memberi impak yang ketara kepada orang ramai dan tidak terkecuali, penduduk tempatan di Perth, Australia lokasi tumpuan wartawan dan pasukan pencari pada awal operasi mencari dan menyelamat.

Rata-rata berpendapat, tugas mencari dan menyelamat mangsa adalah tugas yang sukar ditambah dengan keadaan Lautan Hindi yang luas.

Pada 8 Mac tahun lalu, pesawat MH370 Boeing 777-200ER yang membawa 239 penumpang, kebanyakannya daripada China, dan anak kapal, dijadualkan mendarat di Beijing pada pukul 6:30 pagi.

Ia dipercayai telah berakhir di Lautan Hindi.

Jabatan Penerbangan Awam pada 29 Jan mengumumkan penerbangan MH370 secara rasmi diisytiharkan sebagai satu kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa, dan bahawa semua 239 penumpang dan anak kapal telah dianggap telah kehilangan nyawa mereka.

Calon Pas Dun Chempaka ialah Ahmad Fathan

Sunday, March 08, 2015 0 Komen

Calon Pas Dun Chempaka ialah Ahmad Fathan

Ahmad Fathan Mahmod, 43, dinamakan calon Pas di Dun Chempaka bagi meneruskan legasi bekas Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau merupakan Bendahari Pas Pengkalan Chepa.

Pengumuman itu dibuat Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di hadapan kira-kira 1,000 penyokong di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik)  semalam.

Terdahulu, Tuan Ibrahim dan beberapa barisan kepimpinan Pas negeri dan Pusat memberi ucapan aluan.

Turut bersama Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah; Pengarah Pilihanraya Pas Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Dalam ucapannya, Ahmad berkata, pemilihan Fathan dibuat berdasarkan kajian pusat strategik parti selain sumber sumber yang menunjukkan Fathan calon yang paling layak.

Malah katanya, Fathan memiliki perwatakan yang baik untuk meneruskan kerja-kerja yang ditinggalkan Nik Abdul Aziz.

"Kita yakin ia calon terbaik dan kehendak pengundi bagi meneruskan kerja-kerja Islam dan khidmat kepada masyarakat sekurang kurangnya program yang disusun Tok Guru diteruskan," katanya.

Sebelum ini, aktivis Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Sharif Mahmood mengumumkan hasratnya  untuk  bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya itu.

Ia menjadikan individu  kedua mengumumkan hasrat bertanding sebagai calon Bebas di Dun Chempaka selepas Yang Dipertua Kelab Bumi Rahmat Kelantan, Fadzillah Hussin menyatakan hasrat sama.

Dalam masa yang sama, seorang ahli perniagaan dari Pasir Puteh, Aslah Mamat juga dikatakan mahu bertan­ding sekali gus menjadikan PRK ini berkemungkinan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Pas dengan tiga calon Bebas.

BN sebelum ini mengesahkan tidak akan meletakkan calon dalam PRK ini malah menyatakan tidak terlibat termasuk menaja mana-mana calon Bebas.

PRK Chempaka diadakan berikutan kematian Nik Aziz pada 12 Februari lalu akibat  kanser prostat.

Pada PRU13, Nik Aziz  menang dengan majoriti 6,500 undi.

Beliau mendapat 12,310 undi, manakala calon BN, Wan Razman Wan Abd. Razak memperolehi 5,810 undi.

Pendapatan £16,000 sebagai penguji pelet paintball

Saturday, March 07, 2015 0 Komen

Pendapatan £16,000 sebagai penguji pelet paintball

Seorang pelajar aliran komputer grafik di Universiti Kingston di sini, meraih pendapatan sebanyak £16,000 (RM88,949) setahun apabila menjadikan dirinya sebagai sasaran peluru dalam sukan paintball.

Pelajar tersebut, Jordan Wills, 19, berkata, dia ditembak di bahagian badan dengan pelet pada jarak antara tujuh hingga sembilan meter dengan kelajuan 64km/sejam selama dua hari seminggu.

Wills bekerja sebagai penguji impak peluru paintball berkata, tugasnya hanya perlu berdiri di satu tempat dan menjadi sasaran manakala penembak akan menyasarkan pelet tersebut di bahagian badannya.


“Saya menggemari sukan paintball dan sudah biasa ditembak dengan pelet. Walaupun kelihatan lebam di badan, kesakitan yang dialami tidaklah seteruk seperti disangkakan orang ramai.

Sementara itu, pemilik sebuah tapak paintball di sini yang juga majikan Wills, Justin Toohig mengakui, ia adalah satu pekerjaan ekstrem, namun, beliau menegaskan langkah-langkah keselamatan telah diambil pihaknya.

“Selepas ditembak, Wills akan memberi maklum balas kepada syarikat pengeluar pelet paintball untuk menentukan tahap keselamatan dan kualiti palet untuk sukan ini,” katanya. – AGENSI

Lesen khas umrah dikuatkuasakan 2016 elak penipuan

Saturday, March 07, 2015 0 Komen

Lesen khas umrah dikuatkuasakan 2016 elak penipuan

Pelaksanaan lesen khas umrah bagi mengekang kes penipuan pakej ibadah umat Islam itu akan dikuatkuasakan bermula tahun depan.

Melalui penguatkuasaan lesen khas di bawah lesen outbound (pengembaraan luar negara) dikeluarkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu, hanya syarikat mempunyai kontrak sah dengan muasasah (agensi pengendali umrah di Arab Saudi) serta syarikat milik orang Islam, boleh mengendalikan pakej umrah.

Perkara itu diputuskan pada mesyuarat pertama Majlis Kawal Selia Umrah yang dianggotai 12 agensi dan badan berkaitan, bulan lalu.

Sumber berkata, berikutan keputusan itu hanya syarikat dengan kewangan yang kukuh dan rekod baik dibenarkan mengendalikan umrah, sekali gus menangani kes penipuan umrah di negara ini.

Ketika ini, hanya 59 daripada 1,400 syarikat tempatan yang mengendalikan pakej umrah mempunyai kontrak dengan muasasah yang perlu diperbaharui setiap tahun.

"Inti pati mesyuarat sulung majlis itu ialah memberi masa sehingga 2016 sebelum menguatkuasakan lesen khas umrah itu.

"Ketetapan syarikat yang ada kontrak dengan muasasah sahaja boleh memohon lesen khas umrah itu bertujuan melindungi bakal jemaah dan mengekang kes penipuan umrah," kata sumber itu kepada BH.

Majlis Kawal Selia Umrah ditubuhkan September tahun lalu susulan pembongkaran BH mengenai kes penipuan umrah yang semakin kritikal sejak 5 Mei 2014 sehingga isu itu dibangkitkan di Dewan Rakyat.

Penubuhan majlis itu juga membabitkan pindaan Akta Industri Pelancongan 1992, dengan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) diberi kuasa penguatkuasaan bagi membantu Bahagian Pelesenan Pelancongan.

Majlis itu turut menetapkan harga minimum RM4,900 bagi pakej standard umrah 12 hari 10 malam sebagai rujukan orang ramai pada hujung tahun lalu.

Sumber berkata, penguatkuasaan lesen khas dilaksanakan tahun depan bagi memberi masa kepada syarikat tempatan memenuhi syarat ditetapkan, khususnya memiliki kontrak dengan muasasah.

"Namun syarikat-syarikat kecil yang tidak mempunyai kontrak muasasah itu masih boleh menyediakan pakej umrah dengan menjadi agen kepada syarikat yang mempunyai lesen khas itu," katanya.

Antara syarat untuk mengikat kontrak dengan muasasah ialah agensi pelancongan terbabit perlulah berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, mempunyai lesen outbound, perlu mendapat jaminan bank antara RM100,000 hingga RM200,000 dan mempunyai sijil akreditasi Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Tip Kerjaya: Mencari saluran maklumat pekerjaan

Saturday, March 07, 2015 0 Komen

Tip Kerjaya: Mencari saluran maklumat pekerjaan
 
Terdapat banyak saluran untuk memperoleh maklumat mengenai pekerjaan di negara ini seperti di bawah.

Media massa

- Iklan jawatan kosong di akhbar arus perdana.

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia

- Mendaftar menerusi laman web di www.spa.gov.my

- Mengisi borang permohonan menerusi pejabat SPA, Putrajaya dan negeri atau Jabatan Tenaga Kerja negeri dan daerah.

Jabatan Tenaga Kerja

- Mengunjungi Jabatan Tenaga Kerja berhampiran untuk berdaftar dengan mengisi maklumat peribadi, kelayakan dan pekerjaan yang diminati.

- Menggunakan laman web www.jobMalaysia.gov.my
Tip Kerjaya

Temu duga terbuka

- Temu duga secara terbuka ialah satu cara untuk mendapatkan pekerjaan. Cara itu memerlukan usaha yang lebih. Anda terpaksa pergi dari satu syarikat ke satu syarikat bertanyakan kerja yang sesuai.

Agensi pekerjaan

- Agensi pekerjaan berfungsi membantu majikan untuk mendapatkan tenaga kerja dalam kalangan pencari kerja termasuk lulusan universiti.

- Agensi itu boleh dicapai dengan melayari laman sesawang mereka. Contohnya, www.jenjobs.com, www.careerbuilders.com.my dan www.employmentagencies.com.my.

Temu duga di kampus

- Terdapat majikan mengadakan sesi temu duga secara tetap dari semasa ke semasa khususnya pada akhir sesi pengajian bagi mencari calon yang layak dan sesuai diambil bekerja.

Rakan bekerja

- Maklumat pekerjaan juga boleh diperoleh melalui rakan anda yang bekerja dengan bertanyakan mengenai jawatan yang diperlukan di syarikat mereka.

~ BH

Perak ikat Kelantan, lonjak pendahulu baharu Liga Super (6 MAC 2015)

Saturday, March 07, 2015 0 Komen

Perak ikat Kelantan; lonjak pendahulu baharu Liga Super

Perak gagal mengaut peluang di laman sendiri apabila sekadar mampu seri 0-0 ketika menentang Kelantan dalam saingan bola sepak Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, 6 MAC 2015

Namun, sesuatu yang menceriakan kira-kira 30,000 penyokong tuan rumah adalah keputusan dalam perlawanan keempat ini melonjakkan skuad The Bos Gaurus itu selaku pendahulu baharu liga - sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam.

Skuad bimbingan Datuk M Karathu itu juga berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan liga setakat ini.

Ini adalah perlawanan tunggal Liga Super, hari ini dan posisi itu mungkin berubah esok andai pendahulu sebelum ini, FELDA United yang bakal menentang kelab Singapura, Lions XII di tempat sendiri.

Kelantan pimpinan George Boateng juga melonjak ke tempat ketiga dan ia juga mungkin bersifat sementara. ~ BH

Menantu & Mertua: Toleransi Asas Kedamaian

Friday, March 06, 2015 0 Komen

Menantu & Mertua: Toleransi Asas Kedamaian

Benarlah kata pepatah, perkahwinan bukan sahaja menyatukan dua hati, tetapi juga menyatukan dua keluarga menjadi sebuah unit yang lebih besar. Perhubungan yang baik antara menantu dan mertua amatlah penting untuk membentuk sebuah keluarga yang harmoni berlandaskan sikap saling hormat-menghormati.

Namun begitu bagi sesetengah pasangan, permasalahan hubungan antara menantu dengan mertua wujud mungkin kerana tiada persefahaman antara kedua-dua individu atau menantu tersebut bukan menantu pilihan keluarga.

Seringkali hal ini menjadi faktor timbulnya konflik antara suami dengan isteri atau sebaliknya. Hal ini mengingatkan kita tentang perihal hidup di dalam kelompok keluarga yang besar dan menantu pasti akan sering bertemu dan berinteraksi dengan mertua.

Antara perkara yang boleh menimbulkan konflik antara mertua dan menantu termasuk tiada persefahaman, sering bertengkar, ‘tidak sebulu’ dan berlaku ‘perang dingin’.

Menantu & Mertua

Namun di sebalik pemasalahan yang berlaku ada cara yang boleh dilakukan untuk meredakan kembali ketegangan yang berlaku. Berusahalah untuk menjadi menantu pilihan mertua. Berikut disenaraikan beberapa panduan berguna untuk menjadi menantu yang disayangi oleh mertua.

1.Bersifat Tenang

Menghadapi Konflik Menenangkan diri sendiri sebenarnya antara tindakan bijak yang mampu membuatkan anda berada dalam keadaan yang ceria dan tenang setiap kali berhadapan dengan keluarga besar pasangan hidup anda.

Sebagai seorang menantu mahu pun mertua anda harus bijak mengawal situasi agar tidak begitu ketara yang anda dan mertua sedang bertengkar. Berdamai dengan diri sendiri ertinya anda mampu mencipta suasana tenang dalam diri sendiri dan membuang berbagai fikiran negatif yang muncul.

2.Rasional Dalam Mengambil Keputusan

Setelah hati anda menjadi lebih tenang dan dapat berfikir dengan lebih rasional, tibalah masa untuk anda muhasabah diri masingmasing. Tanyakan pada diri anda sendiri adakah selama ini anda selalu menyalahkan orang lain tentang apa yang terjadi dalam hubungan.? Seharusnya anda melihat sesuatu masalah itu dengan cara yang lebih positif.

3.Wujudkan Komunikasi Yang Mesra

Kuncinya ialah usaha. Anda bertanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian bersama. Pokok pangkalnya, mertua anda ialah orang yang selama ini membesarkan pasangan anda dan bagi mertua pula, terimalah kenyataan yang anak anda sudah memilih menantu anda itu untuk menjadi pasangan hidup mereka.

Kalaupun anda tidak dapat menyukai mereka, tunjukkanlah rasa hormat dan kewarasan anda. Jika kedua-dua pihak bercanggah pendapat, tunjukkan persetujuan atau bangkangan anda dengan cara yang betul dan jangan pula mengkritik atau memberi komen negatif di belakang mereka.

4.Mengutamakan Keluarga

Memandangkan anda sudah berumah tangga dan mempunyai anak, keutamaan seharusnya diberikan kepada keluarga anda kini.Mungkin kedengarannya tidak patut, namun jika anda terus meletakkan ibu bapa lebih dulu daripada pasangan anda serta anak-anak, mereka akan mula berasa semakin jauh dengan anda. Jangan biarkan ibu atau bapa anda campur tangan dalam membuat keputusan untuk keluarga anda.

Apabila timbul apa-apa masalah, anda haruslah tampil untuk mempertahankannya. Rungutan yang selalu didengari mengenai mertua selalunya membabitkan campur tangan mereka yang keterlaluan dalam kehidupan anak-anak yang sudah berkahwin. Mereka seharusnya sedar bahawa anak mereka kini sudah mempunyai kehidupan sendiri dan cukup dewasa untuk membuat keputusan sendiri.

Bagi anda yang merasakan mertua terlalu masuk campur dalam urusan rumah tangga anda, cuba beritahu mereka secara baik dan pada masa sama melayan mereka dengan baik.

Bingung fikir bil hospital mahal di Singapura

Friday, March 06, 2015 0 Komen

Bingung fikir bil hospital mahal di Singapura

Kerana tak mampu menanggung bil rawatan sebuah hospital di Singapura yang terlalu tinggi, sebuah keluarga mangsa kemalangan di republik berkenaan meminta bantuan daripada kerajaan negeri untuk dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Jumlah bil yang ditanggung keluarga Hamidun Yahya, 47 meningkat kepada  SGD45,000 (RM120,138.58) hanya 15 hari selepas mangsa dimasukkan ke hospital separa kerajaan di republik itu dan mereka meminta bantuan daripada Adun Bukit Permai, Ali Mazat Salleh untuk perpindahan berkenaan.

Dalam kejadian 13 Februari lepas, Hamidun  yang bekerja sebagai pemandu bas di sebuah syarikat pengangkutan negara itu mengalami pendarahan serius di kepala selepas terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya dengan menunggang motosikal.


Adik Hamidun, Hamidah Yahya, 43, berkata, keluarga mereka tidak mampu membayar kos rawatan di hospital itu yang terlalu tinggi dan syarikat tempat kerja abangnya bekerja selama empat bulan itu turut tidak dapat menampung sepenuhnya kos rawatan berkenaan.

“Kita terpaksa meminta bantuan daripada kerajaan kerana syarikat abang bekerja itu hanya bersedia membayar SGD10,000,” katanya kepada media selepas lawatan Pengerusi Jawatan Kesihatan dan Alam Sekitar negeri,  Datuk Ayub Rahmat di HSA, di sini, semalam.

Hamidah berkata, keluarganya masih mencari sumbangan termasuk melalui media sosial untuk mengumpul dana bagi menjelaskan bil hospital Hamidun di Singapura.

“Tetapi, kami benar-benar bersyukur kerana kerajaan negeri turut campur tangan dengan membantu kami dan membawa abang berpindah ke HSA dalam masa dua hari.

“Agak sukar untuk kami datang melawat dan menjaganya di hospital negara itu dan kami masih mencari cara untuk menyelesaikan baki bil berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ayub berkata, Hamidun berada dalam keadaan stabil serta ditempatkan di HSA sejak 1 Mac lalu dan pihak HSA masih membuat rawatan susulan termasuk fisioterapi berikutan kecederaan yang dialaminya.

“Keluarga tidak perlu bimbang tentang bil-bil perubatan yang tinggi di sini kerana kita menganggarkan kos rawatannya di HSA tidak akan melebihi RM500.

“Oleh itu, rakyat sepatutnya bersyukur kerana hospital kerajaan di negara kita menyediakan rawatan perubatan yang cekap dan kualiti pada kadar yang berpatutan berbanding di negara lain termasuk Singapura.

“Dianggarkan antara 90 hingga 95 peratus rakyat Malaysia yang menerima subsidi daripada kos keseluruhan perkhidmatan perubatan yang dilakukan di hospital awam.

Justeru, beliau menasihatkan agar  mereka yang mempunyai masalah yang sama supaya segera menghubungi pihak Kedutaan Malaysia di Singapura, jabatan kesihatan negeri atau wakil rakyat masing-masing untuk mendapatkan bantuan. ~ SH

Kilang memproses cecair pencuci tiruan Dynamo diserbu

Friday, March 06, 2015 0 Komen

Kilang memproses cecair pencuci tiruan Dynamo diserbu

Kegiatan memproses dan mengeluarkan cecair pencuci pakaian jenama dipercayai palsu di kawasan perindustrian Desa Plentong Masai, di sini, terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, jam 1 tengahari, semalam.

Timbalan Pengarah KPDNKK negeri, Mohamad Mokhtar Yeop berkata, pihaknya menyerbu kilang itu hasil aduan pemegang cap dagang itu dari Singapura yang mempunyai maklumat mengenai kewujudan produk tiruan tersebut.

Menurutnya, dua individu yang mendakwa sebagai pekerja kilang berusia lingkungan 30an ditahan di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan untuk membantu siasatan.

“Kami turut merampas pelbagai barangan dan peralatan memproses cecair pencuci itu termasuk mesin pencetak label dan pembancuh dengan nilai keseluruhan mencecah RM250,000.

“Jika individu disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau keduanya sekali.
“Manakala jika syarikat yang didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan,” katanya.

Mohamad Mokhtar berkata, pihaknya sedang menyiasat pelbagai aspek termasuk kemungkinan produk berkenaan dijual kepada orang ramai dengan harga lebih murah, selain bimbang terdapat ancaman kesihatan kerana penggunaan bahan kimia berbahaya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kilang haram berkenaan sudah beroperasi lebih enam bulan dan mempunyai kepakaran menghasilkan produk tiruan saling tidak tumpah seperti produk asli dari segi kandungan cecair dan kaedah pembungkusannya.

“Kami sedang menyiasat siapa terbabit dalam kegiatan ini termasuk pihak bertanggungjawab membekalkan kotak dan botol, selain lokasi jualan.

“Pakar P&G mengesahkan produk di kilang ini palsu dan kami menasihati orang ramai berhati-hati kerana jika mendapati botol Dynamo itu memiliki nombor siri sama pada setiap botol, ia adalah tiruan,” katanya.

Syor ganti hukuman penjara dengan program sosial utk pesalah dadah wanita

Friday, March 06, 2015 0 Komen

Syor ganti hukuman penjara dengan program sosial utk pesalah dadah wanita

Hukuman penjara untuk pengguna dadah wanita di Malaysia perlu digantikan dengan pelbagai program sosial dan kesihatan, demikian dasar yang disyorkan oleh Majlis AIDS Malaysia (MAM).

Pengurus Dasar MAM, Fifa Rahman berkata, pengguna dadah wanita memerlukan sokongan padu tanpa syarat daripada keluarga dan masyarakat dan menyisihkan mereka hanya memburukkan keadaan golongan itu.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan laporan berjudul: 'Segalanya Saya Tanggung Sendiri: Taklimat Ringkas Dasar Mengenai Wanita Yang Menggunakan Dadah di Malaysia', hasil tulisan beliau dan Sarah Iqbal sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa, Ahad ini.

Laporan itu berdasarkan kajian melibatkan 38 pengguna dadah wanita di Lembah Klang, Kelantan, Johor dan Pulau Pinang yang dijalankan dari September 2013 hingga Februari 2015.

Kajian di bawah Projek Tindakan Asia (2013-2015) dibiayai oleh Kesatuan Eropah dengan bantuan teknikal daripada Pakatan HIV/AIDS Antarabangsa.

Fifa berkata, terdapat keperluan segera untuk kajian khusus gender berikutan pengguna dadah wanita memerlukan rawatan berbeza dan kebanyakan perkhidmatan pemulihan dadah di negara ini tertumpu kepada golongan lelaki.

"Wanita yang menggunakan dadah mengalami risiko berbeza dan keperluan unik serta memerlukan khidmat khusus berbanding rakan lelaki mereka," katanya.

Laporan itu menyebut wanita memerlukan rawatan yang mengintegrasikan aspek berkaitan kanak-kanak, seksual dan kesihatan reproduktif, kaunseling dan keganasan domestik di samping menghadapi peningkatan stigma daripada masyarakat.

Laporan itu menyatakan wanita yang ditemu bual dalam kajian itu adalah dari latar belakang kemiskinan atau kurang sumber dengan kebanyakan daripada mereka gagal menamatkan pendidikan sekolah menengah dan berkahwin muda pada usia bawah 20 tahun.

Kanak-kanak daripada beberapa wanita itu dipisahkan daripada mereka sama ada oleh agensi khidmat sosial atau ahli keluarga jauh dan beberapa daripada mereka juga mengalami keganasan seksual oleh pasangan mereka.

Justeru, laporan itu mengesyorkan antara lain keperluan kaunseling khusus bersepadu dalam program rawatan di pusat pemulihan, bantuan mengenai keganasan rumah tangga dan bengkel pemikiran positif.

Laporan itu turut menyarankan supaya program wanita di pusat tahanan juvana dinilai semula untuk keberkesanan dan menangani masalah peminggiran dan mengurangkan risiko bahaya serta dinilai keserasian dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanank-Kanak.

Ia juga mengesyorkan pengukuhan kerjasama antara agensi berhubung dengan golongan wanita yang terbabit dalam gelaja dadah seperti Kementerian Pendidikan dalam masalah keciciran pelajar.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam soal memperkenalkan khidmat rawatan khusus kepada pengguna dadah wanita dan Kementerian Dalam Negeri berhubung soal penguat kuasaan undang-undang berkaitan dadah dan pengurusan pusat tahanan untuk penagih dadah.

Laporan itu boleh diperoleh atas talian dan boleh dimuat turun di http://bit.ly/1GQVvff. - Bernama

Pengalaman membesarkan anak autisme

Friday, March 06, 2015 0 Komen

Pengalaman membesarkan anak autisme

Anak ialah anugerah terindah kurniaan Tuhan. Tidak semua orang berpeluang untuk mendapat nikmat itu seperti yang diinginkan.

Mungkin ada yang bernasib baik mendapat anak sejurus selepas berkahwin namun, ada juga yang terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk memperoleh seorang zuriat.

Bagi Christine Chay, 39, dia bersyukur kerana tidak perlu menunggu terlalu lama untuk dikurniakan anak, Chiew Jia Yit kira-kita 12 tahun lalu.

Anaknya yang dilahirkan secara normal itu dianggap sebagai penyeri dalam rumah tangga yang dibina bersama suami, Chiew Sang Dick, 39.

“Tiada cacat celanya pada fizikal Jia Yit. Dia seorang bayi yang comel. Kelahirannya memberikan sinar dan harapan buat saya dan suami.Dia akan jadi pewaris kami,” ujar Christine bagi memulakan bicara.

Dia yang ditemui di Pusat Pendidikan LetzHop (LetzHop) di Selayang, Batu Caves, Selangor baru-baru ini berkata, Jia Yit membesar seperti bayi-bayi yang lain dan tidak menimbulkan sebarang kemusykilan dalam hatinya.

Namun, jelas penjual produk kecantikan itu, ketika berusia setahun, Jia Yit kelihatan tidak suka berada dalam kelompok yang ramai dan sentiasa mahu menyendiri.

“Jika dihantar ke taska atau berada bersama bayi-bayi lain, Jia Yit pasti akan merangkak dan bergerak ke sudut yang tidak ada orang.

“Jia Yit tidak suka bergaul dengan orang lain. Dia mahu menyendiri,” cerita wanita itu.

Jika dilihat secara logiknya Christine berkata, mungkin Jia Yit dianggap sebagai bayi yang pemalu atau mengalami masalah komunikasi.

Ternyata telahan itu salah apabila Jia Yit didiagnosis sebagai kanak-kanak autisme ketika berusia tiga tahun setelah dibawa berjumpa dengan doktor.

Pada ketika itu, Christine sangat terkejut dan sukar untuk menerima kenyataan tentang nasib anak tunggalnya itu.

“Saya mengambil masa beberapa tahun untuk menerima kenyataan itu. Saya sentiasa tertanya-tanya mengapa anak saya yang dipilih untuk ujian ini.

“Jia Yit diadiagnos sebagai penghidap autism kritikal. Dia sangat aktif, tidak boleh duduk diam dan mengalami masalah komunikasi,” katanya lagi.

Bagai jatuh ditimpa tangga, dugaan yang menimpa Christine semakin besar apabila dia disahkan menghidap kanser hidung pada tahun 2011.

Dalam menghadapi kerenah Jia Yit yang terlalu aktif dan langsung tidak boleh berkomunikasi, ibu itu juga terpaksa mendapatkan rawatan untuk kanser yang dihadapinya.

“Saya pernah menjalani kaunseling dan berjumpa ahli psikiatri untuk mendapatkan perkhidmatan bagi menangani stres.

“Saya sangat tertekan. Namun, selepas menjalani sesi tersebut, saya mula tenang dan memberi sepenuh perhatian kepada Jia Yit untuk memastikan dia dapat membesar dengan baik,” terangnya.

Lebih penting, sokongan daripada keluarga dan kenalan terutama suaminya membuatkan Christine menjadi lebih kuat dan tabah untuk membesarkan Jia Yit.

Tegasnya, sokongan moral yang diberikan oleh insan tersayang membuatkan dia begitu tersentuh. Dia tidak berseorangan dalam menghadapi kesukaran itu.

Bercerita tentang anaknya, Christine memberitahu, Jia Yit merupakan seorang kanak-kanak yang hiperaktif dan mengalami masalah komunikasi.

Jia Yit langsung tidak boleh bercakap tetapi memahami arahan yang diberikan. Di sebalik semua itu, Jia Yit seorang yang sangat bijak dan penyayang.

“Jika di meja makan, dia akan menghulurkan pinggan atau nasi kepada saya atau suami jika kami belum makan. Dia mahu kami makan bersama,” ujarnya.

Tambahnya, Jia Yit juga akan mengamuk dan memberontak sekiranya ada sesuatu yang tidak kena atau menimbulkan kemarahan padanya.

Jadi, tatkala amukan tersebut berlaku, Christine akan menenangkan anaknya dengan melakukan usapan atau urutan pada badan Jia Yit.

“Penghidap autisme tidak mempunyai deria sentuhan yang normal berbanding orang lain. Deria mereka tidak begitu sensitif.

“Jadi, dengan melakukan urutan, deria rasa mereka lebih terangsang selain dapat menenangkan amukan,” jelasnya yang mempelajari teknik-teknik urutan untuk kanak-kanak autisme bagi menjaga Jia Yit.

Selain itu, Christine memberitahu, dia turut menyediakan jadual buat Jia Yit dalam menjalani rutin hariannya. Anak lelakinya itu akan menjalani aktiviti seharian berdasarkan jadual yang telah dibuat seperti waktu makan, waktu ke kelas dan waktu tidur.

Kemahiran vokasional

Wanita itu turut memastikan anaknya diberi makanan yang sesuai kerana Jia Yit mengalami masalah kulit iaitu ekzema di samping memastikan anaknya mempunyai fokus dalam melakukan sesuatu aktiviti.

“Untuk memberikan pendidikan normal seperti orang lain buat masa ini agak susah. Jadi, saya lebih memfokuskan kepada kemahiran vokasional kepada Jia Yit seperti menguruskan diri.

“Saya juga menghantarnya ke pusat didikan bagi memastikan dia mempelajari sesuatu dan meningkatkan kemahiran. Kanak-kanak autisme perlu diberikan pendidikan secara berterusan untuk memastikan keberkesanannya. Ia juga dapat mengelak kemahiran kendirinya merudum,” ujar Christine yang menghantar Jia Yit ke LetzHop pada pertengahan tahun lalu.

Katanya, Jia Yit sudah boleh duduk diam dengan lebih lama berbanding dulu yang hanya mampu bertahan selama dua minit.

“Kini, dia boleh duduk dengan diam sehingga 10 minit. Dia juga sudah tahu beberapa perkara terutama yang boleh buat dan tidak boleh dilakukan.

“Suaranya juga sudah mula kedengaran walaupun tidak boleh menyebut perkataan. Saya teringin untuk mendengar dia memanggil nama mama dan papa,” luah Christine penuh mengharap.

Dalam pada itu, Nik Nadia Nik Mohd. Yusoff, 34, turut dikurniakan anak-anak istimewa yang didiagnos sebagai autisme.

Ibu kepada dua anak itu memberitahu, kedua-dua anaknya, Helena Aufiya Saiful, 5 tahun dan Emilia Firzana Saiful, 4, disahkan menghidap autisme seawal usia tiga tahun.

Cerita ibu itu, anak sulungnya, Helena Aufiya pada peringkat awal kelahiran merupakan bayi yang sangat baik.

“Dia kurang menangis dan tidak banyak ragam. Helena Aufiya sangat senang dijaga.

“Namun, siapa sangka itu adalah tanda-tanda awal bahawa dia sebenarnya menghidap autisme,” jelasnya memberitahu Emilia Firzana juga seperti kakaknya yang tidak banyak meragam.

Mempunyai anak autisme menyebabkan ibu itu gigih untuk mempelajari teknik keibubapaan yang terbaik buat anak-anaknya.

Persekitaran rumahnya juga kelihatan seperti di pusat pendidikan yang dipenuhi peralatan dan permainan khusus untuk kedua-dua puterinya.

“Anak sulung saya seorang kanak-kanak yang pintar. Dia boleh membaca seawal umur tiga tahun. Namun, dia tidak pandai untuk memanggil nama saya atau suami malah tidak tahu untuk meminta susu.

“Dia senang dijaga namun, apabila menangis, boleh sampai satu jam atau lebih sebelum berjaya ditenangkan,” kongsi isteri kepada Saiful Zaid Abdul Halim, 34, itu.

Nasihatnya, ibu bapa perlu peka dengan perubahan atau simptom-simptom awal yang ditunjukkan oleh anak-anak untuk memastikan penyakit atau ketidaknormalan pada mereka boleh dikesan lebih awal.
~ Kosmo

MAS harap misteri MH370 dirungkai menjelang ulang tahun pertama kehilangan

Friday, March 06, 2015 0 Komen

MAS harap misteri MH370 dirungkai menjelang ulang tahun pertama kehilangan

Beberapa hari menjelang genap setahun kehilangan pesawat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370, syarikat penerbangan itu terus menaruh harapan bahawa misi pencarian dan penyiasatan dapat merungkai misteri kehilangannya dan mencari jawapan yang ditunggu-tunggu selama ini.

MAS akan memperingati ulang tahun pertama dengan program khas tertutup di pinggir Kuala Lumpur yang hanya dihadiri oleh ahli keluarga anak kapal MH370 dan kakitangan MAS.

“Kami mengambil kesempatan ini untuk memperingati rakan-rakan dan sahabat dalam pesawat malang itu. Keluarga anggota anak kapal telah melahirkan hasrat bahawa program untuk mengenang pemergian orang tersayang yang mereka sertai adalah secara tertutup.

“Kami akan menggunakan peluang ini untuk mengingatkan diri kami dan pihak berkuasa berkaitan mengenai obligasi, tugas dan kewajipan moral untuk meneruskan usaha mencari jawapan dan merumuskan kesimpulan yang muktamad,” kata MAS dalam satu kenyataan.

Pesawat Boeing 777 MAS itu membawa 239 orang apabila hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014. MAS kehilangan 12 anak kapal serta seorang kakitangan MASkargo. - Bernama

Poko Sena: Kanak-kanak berusia 8 tahun maut terkena renjatan elektrik

Friday, March 06, 2015 0 Komen

Kanak-kanak berusia 8 tahun maut terkena renjatan elektrik

Hasrat seorang kanak-kanak untuk menerima hadiah pada majlis anugerah pelajar cemerlang sekolahnya minggu depan tidak kesampaian selepas maut terkena renjatan elektrik di rumahnya di Taman Puteri, Pokok Sena hari ini.

Mangsa, Mohd. Azmar Tahkim Mohd. Asri, 8, yang merupakan murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Bukit Tembaga, Pokok Sena ditemui terbaring di bilik tidurnya oleh ibunya, Sarinah Akob, 40-an kira-kira pukul 4.50 petang.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa dipercayai cuba mengecaj bateri motosikal mainan miliknya dengan menggunakan pelompat (jumper) yang disambung pada soket elektrik.

Ekoran itu, berlaku litar pintas sehingga menyebabkan mangsa terpelanting.

Ibu dan abang mangsa yang ketika itu sedang tidur di dalam rumah telah mendengar jeritan mangsa sebelum segera mendapatkannya.

Bagaimanapun, mangsa yang merupakan anak keempat daripada lima beradik telah meninggal dunia.

Seorang guru mangsa yang enggan dikenali berkata, Allahyarham Mohd. Azmar Tahkim merupakan antara penerima hadiah pada majlis anugerah pelajar cemerlang di sekolah tersebut yang bakal diadakan pada minggu hadapan kerana kecemerlangannya pada sesi persekolahan lalu.

"Arwah berjaya mendapat nombor ketiga ketika peperiksaan akhir tahun di tahun satu selain turut cemerlang dalam Bahasa Arab.

"Sepatutnya majlis itu diadakan hari ini namun ditangguhkan kepada minggu depan.

"Nampaknya arwah tidak berpeluang meraikan kejayaanya itu bersama keluarga dan rakan-rakan sekolahnya yang lain," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supritendan Rohana Omar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Kata beliau lagi, kes itu disiasat di bawah mati mengejut.

Jenazah mangsa telah dituntut oleh ahli keluarganya dan difahamkan telah dikebumikan malam tadi di Tanah Perkuburan Kampung Padang Serai, Pokok Sena. - KOSMO!

 

ZONFINITI