Kilang memproses cecair pencuci tiruan Dynamo diserbu

Friday, March 06, 2015

Kilang memproses cecair pencuci tiruan Dynamo diserbu

Kegiatan memproses dan mengeluarkan cecair pencuci pakaian jenama dipercayai palsu di kawasan perindustrian Desa Plentong Masai, di sini, terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, jam 1 tengahari, semalam.

Timbalan Pengarah KPDNKK negeri, Mohamad Mokhtar Yeop berkata, pihaknya menyerbu kilang itu hasil aduan pemegang cap dagang itu dari Singapura yang mempunyai maklumat mengenai kewujudan produk tiruan tersebut.

Menurutnya, dua individu yang mendakwa sebagai pekerja kilang berusia lingkungan 30an ditahan di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan untuk membantu siasatan.

“Kami turut merampas pelbagai barangan dan peralatan memproses cecair pencuci itu termasuk mesin pencetak label dan pembancuh dengan nilai keseluruhan mencecah RM250,000.

“Jika individu disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau keduanya sekali.
“Manakala jika syarikat yang didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan,” katanya.

Mohamad Mokhtar berkata, pihaknya sedang menyiasat pelbagai aspek termasuk kemungkinan produk berkenaan dijual kepada orang ramai dengan harga lebih murah, selain bimbang terdapat ancaman kesihatan kerana penggunaan bahan kimia berbahaya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kilang haram berkenaan sudah beroperasi lebih enam bulan dan mempunyai kepakaran menghasilkan produk tiruan saling tidak tumpah seperti produk asli dari segi kandungan cecair dan kaedah pembungkusannya.

“Kami sedang menyiasat siapa terbabit dalam kegiatan ini termasuk pihak bertanggungjawab membekalkan kotak dan botol, selain lokasi jualan.

“Pakar P&G mengesahkan produk di kilang ini palsu dan kami menasihati orang ramai berhati-hati kerana jika mendapati botol Dynamo itu memiliki nombor siri sama pada setiap botol, ia adalah tiruan,” katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI