Malaysia Tuan Rumah Perhimpunan Agung ICAPP 2016

Monday, March 02, 2015

Malaysia Tuan Rumah Perhimpunan Agung ICAPP 2016

Malaysia akan menjadi tuan rumah Perhimpunan Agung Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia (ICAPP) kali ke-9 pada Oktober tahun hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata perkara tersebut telah dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa ICAPP yang bermula semalam dan berakhir esok.

Perhimpunan agung tersebut diadakan bagi melantik ahli jawatankuasa baharu ICAPP untuk kali kesembilan bagi menerajui ICAPP, kata Shahidan yang juga pengerusi sayap Pemuda ICAPP selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa ICAPP di Bandar Utama di sini, Isnin.

"Perhimpunan itu melibatkan semua negara Asia yang akan diwakili semua parti-parti politik. Ia diadakan setiap dua tahun sekali, dan kita sasarkan untuk jemput 350 parti politik termasuk pemerhati bagi menghadiri perhimpunan itu," katanya.

Shahidan berkata keputusan itu merupakan suatu penghormatan kepada negara dan dijangka menjadi suatu perhimpunan agung yang bersejarah.

Perhimpunan Agung ICAPP kali kelapan diadakan pada September tahun lepas di Sri Lanka yang berlangsung selama empat hari.

ICAPP merupakan persidangan melibatkan parti-parti pemerintah, pembangkang dan Bebas di Asia yang dibentuk pada tahun 2000 bertujuan antaranya meningkatkan kerjasama serta persefahaman.

Mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Forum Perubatan Kecemasan Antarabangsa ke-3 (IMEF), Shahidan berkata berdasarkan mesyuarat hari ini, IMEF akan dijenamakan semula sebagai 'ICAPP Programme Disaster Assistance (IPDA)'.

Bagaimanapun, beliau berkata jawatankuasa IPDA yang akan didaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) itu akan mengekalkan pejabat pengurusannya di Malaysia bagi menyelia segala agenda dan program IPDA.

Katanya IPDA berperanan mengukuh perhubungan antara negara Asia bagi mengumpul dana untuk menjayakan segala program bantuan menangani pelbagai isu antaranya bencana alam, penyeludupan manusia, dadah, kemiskinan dan rasuah.

~BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI