Lesen khas umrah dikuatkuasakan 2016 elak penipuan

Saturday, March 07, 2015

Lesen khas umrah dikuatkuasakan 2016 elak penipuan

Pelaksanaan lesen khas umrah bagi mengekang kes penipuan pakej ibadah umat Islam itu akan dikuatkuasakan bermula tahun depan.

Melalui penguatkuasaan lesen khas di bawah lesen outbound (pengembaraan luar negara) dikeluarkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu, hanya syarikat mempunyai kontrak sah dengan muasasah (agensi pengendali umrah di Arab Saudi) serta syarikat milik orang Islam, boleh mengendalikan pakej umrah.

Perkara itu diputuskan pada mesyuarat pertama Majlis Kawal Selia Umrah yang dianggotai 12 agensi dan badan berkaitan, bulan lalu.

Sumber berkata, berikutan keputusan itu hanya syarikat dengan kewangan yang kukuh dan rekod baik dibenarkan mengendalikan umrah, sekali gus menangani kes penipuan umrah di negara ini.

Ketika ini, hanya 59 daripada 1,400 syarikat tempatan yang mengendalikan pakej umrah mempunyai kontrak dengan muasasah yang perlu diperbaharui setiap tahun.

"Inti pati mesyuarat sulung majlis itu ialah memberi masa sehingga 2016 sebelum menguatkuasakan lesen khas umrah itu.

"Ketetapan syarikat yang ada kontrak dengan muasasah sahaja boleh memohon lesen khas umrah itu bertujuan melindungi bakal jemaah dan mengekang kes penipuan umrah," kata sumber itu kepada BH.

Majlis Kawal Selia Umrah ditubuhkan September tahun lalu susulan pembongkaran BH mengenai kes penipuan umrah yang semakin kritikal sejak 5 Mei 2014 sehingga isu itu dibangkitkan di Dewan Rakyat.

Penubuhan majlis itu juga membabitkan pindaan Akta Industri Pelancongan 1992, dengan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) diberi kuasa penguatkuasaan bagi membantu Bahagian Pelesenan Pelancongan.

Majlis itu turut menetapkan harga minimum RM4,900 bagi pakej standard umrah 12 hari 10 malam sebagai rujukan orang ramai pada hujung tahun lalu.

Sumber berkata, penguatkuasaan lesen khas dilaksanakan tahun depan bagi memberi masa kepada syarikat tempatan memenuhi syarat ditetapkan, khususnya memiliki kontrak dengan muasasah.

"Namun syarikat-syarikat kecil yang tidak mempunyai kontrak muasasah itu masih boleh menyediakan pakej umrah dengan menjadi agen kepada syarikat yang mempunyai lesen khas itu," katanya.

Antara syarat untuk mengikat kontrak dengan muasasah ialah agensi pelancongan terbabit perlulah berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, mempunyai lesen outbound, perlu mendapat jaminan bank antara RM100,000 hingga RM200,000 dan mempunyai sijil akreditasi Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI