Menantu & Mertua: Toleransi Asas Kedamaian

Friday, March 06, 2015

Menantu & Mertua: Toleransi Asas Kedamaian

Benarlah kata pepatah, perkahwinan bukan sahaja menyatukan dua hati, tetapi juga menyatukan dua keluarga menjadi sebuah unit yang lebih besar. Perhubungan yang baik antara menantu dan mertua amatlah penting untuk membentuk sebuah keluarga yang harmoni berlandaskan sikap saling hormat-menghormati.

Namun begitu bagi sesetengah pasangan, permasalahan hubungan antara menantu dengan mertua wujud mungkin kerana tiada persefahaman antara kedua-dua individu atau menantu tersebut bukan menantu pilihan keluarga.

Seringkali hal ini menjadi faktor timbulnya konflik antara suami dengan isteri atau sebaliknya. Hal ini mengingatkan kita tentang perihal hidup di dalam kelompok keluarga yang besar dan menantu pasti akan sering bertemu dan berinteraksi dengan mertua.

Antara perkara yang boleh menimbulkan konflik antara mertua dan menantu termasuk tiada persefahaman, sering bertengkar, ‘tidak sebulu’ dan berlaku ‘perang dingin’.

Menantu & Mertua

Namun di sebalik pemasalahan yang berlaku ada cara yang boleh dilakukan untuk meredakan kembali ketegangan yang berlaku. Berusahalah untuk menjadi menantu pilihan mertua. Berikut disenaraikan beberapa panduan berguna untuk menjadi menantu yang disayangi oleh mertua.

1.Bersifat Tenang

Menghadapi Konflik Menenangkan diri sendiri sebenarnya antara tindakan bijak yang mampu membuatkan anda berada dalam keadaan yang ceria dan tenang setiap kali berhadapan dengan keluarga besar pasangan hidup anda.

Sebagai seorang menantu mahu pun mertua anda harus bijak mengawal situasi agar tidak begitu ketara yang anda dan mertua sedang bertengkar. Berdamai dengan diri sendiri ertinya anda mampu mencipta suasana tenang dalam diri sendiri dan membuang berbagai fikiran negatif yang muncul.

2.Rasional Dalam Mengambil Keputusan

Setelah hati anda menjadi lebih tenang dan dapat berfikir dengan lebih rasional, tibalah masa untuk anda muhasabah diri masingmasing. Tanyakan pada diri anda sendiri adakah selama ini anda selalu menyalahkan orang lain tentang apa yang terjadi dalam hubungan.? Seharusnya anda melihat sesuatu masalah itu dengan cara yang lebih positif.

3.Wujudkan Komunikasi Yang Mesra

Kuncinya ialah usaha. Anda bertanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian bersama. Pokok pangkalnya, mertua anda ialah orang yang selama ini membesarkan pasangan anda dan bagi mertua pula, terimalah kenyataan yang anak anda sudah memilih menantu anda itu untuk menjadi pasangan hidup mereka.

Kalaupun anda tidak dapat menyukai mereka, tunjukkanlah rasa hormat dan kewarasan anda. Jika kedua-dua pihak bercanggah pendapat, tunjukkan persetujuan atau bangkangan anda dengan cara yang betul dan jangan pula mengkritik atau memberi komen negatif di belakang mereka.

4.Mengutamakan Keluarga

Memandangkan anda sudah berumah tangga dan mempunyai anak, keutamaan seharusnya diberikan kepada keluarga anda kini.Mungkin kedengarannya tidak patut, namun jika anda terus meletakkan ibu bapa lebih dulu daripada pasangan anda serta anak-anak, mereka akan mula berasa semakin jauh dengan anda. Jangan biarkan ibu atau bapa anda campur tangan dalam membuat keputusan untuk keluarga anda.

Apabila timbul apa-apa masalah, anda haruslah tampil untuk mempertahankannya. Rungutan yang selalu didengari mengenai mertua selalunya membabitkan campur tangan mereka yang keterlaluan dalam kehidupan anak-anak yang sudah berkahwin. Mereka seharusnya sedar bahawa anak mereka kini sudah mempunyai kehidupan sendiri dan cukup dewasa untuk membuat keputusan sendiri.

Bagi anda yang merasakan mertua terlalu masuk campur dalam urusan rumah tangga anda, cuba beritahu mereka secara baik dan pada masa sama melayan mereka dengan baik.

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI