STPM 2014: 390 calon dapat PNGK 4.00

Monday, March 02, 2015

STPM: Peratusan Lulus Penuh Kebanyakan Negeri Melebihi 90 Peratus

Peratusan pencapaian calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2014 yang mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 meningkat kepada 0.91 peratus atau 390 orang berbanding 0.89 peratus tahun lalu.

Kebanyakan negeri mencatatkan keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2014 yang diumumkan Isnin dengan ada di antaranya mencatatkan peratusan lulus penuh satu hingga lima mata pelajaran melebihi 90 peratus.

Di KUANTAN, sejumlah 2,363 atau 99.08 peratus calon lulus penuh dalam peperiksaan STPM 2014 bagi negeri Pahang berbanding 98.07 peratus pada tahun sebelumnya.

Pengarah Pendidikan Pahang Rosdi Ismail berkata daripada jumlah itu, sebanyak 0.55 peratus calon lulus penuh lima mata pelajaran (5P) dan 72.29 peratus lulus penuh dalam empat mata pelajaran (4P).


Katanya, prestasi calon yang memperoleh keputusan yang baik iaitu Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.00 turut meningkat iaitu 844 calon atau 35.99 peratus berbanding 30.82 pada 2013.

Di SEREMBAN, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan Datuk Kalsom Khalid berkata sebanyak 1,242 daripada 1,263 calon atau 98.3 peratus lulus dengan mendapat sekurang-kurangnya satu mata pelajaran peringkat prinsipal.

Beliau berkata sebanyak 14 pelajar pula memperoleh PNGK 4.00.

Di PULAU PINANG, Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Osman Hussain berkata sejumlah 2,372 atau 97.05 peratus daripada 2,444 calon STPM 2014 lulus penuh, menurun 0.23 peratus berbanding 2013.

Beliau berkata sebanyak 50 calon memperoleh keputusan cemerlang PNGK 4.00 sementara 30 calon lulus lima prinsipal serta 1,619 lulus empat prinsipal.

Di SELANGOR, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Mohd Salleh Mohd Kassim berkata sebanyak 97.05 peratus daripada 4,409 calon memperoleh kelulusan penuh bagi semua mata pelajaran yang diambil.

"Dua calon memperoleh keputusan cemerlang semua A bagi lima mata pelajaran manakala 51 calon pula mendapat semua A bagi empat mata pelajaran," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datin Nawal Salleh berkata sebanyak 1,044 daripada 1,074 calon atau 97.21 peratus calon lulus penuh peringkat prinsipal, menurun 0.57 peratus berbanding tahun 2013.

Beliau berkata seramai 27 calon lulus Gred A dalam lima dan empat mata pelajaran dengan memperoleh PNGK 4.00 pada STPM 2014 berbanding 38 calon yang mendapat gred yang sama pada tahun sebelumnya.

Di ALOR SETAR, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Datin Azuyah Hassan dalam satu kenyataan berkata pencapaian lulus penuh 100 peratus meningkat sebanyak 0.53 peratus pada tahun 2014 iaitu 98.88 peratus berbanding 98.35 peratus pada 2013.

Beliau berkata seramai 28 calon memperoleh PNGK 4.00 berbanding tahun 2013 iaitu 33 orang.

Di SABAH, Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Jame Alip berkata seramai 5,903 daripada 6,069 calon atau 97.28 peratus lulus penuh.

Beliau berkata sebanyak 16 calon STPM 2014 di negeri itu memperoleh PNGK 4.00, berbanding 15 calon pada tahun sebelumnya.

Di PERAK, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Zulkurnaini Hussin berkata seramai 3,892 daripada 3,971 calon memperoleh kelulusan penuh.

"Daripada jumlah itu, seramai 48 calon lulus lima prinsipal serta 2,689 lulus empat prinsipal," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata seramai 53 pelajar memperoleh PNGK 4.00 pada 2014, menurun 1.33 peratus berbanding 2013.

Di MELAKA, Pengarah Pendidikan negeri Datuk Md Rashid Hussin berkata sejumlah 1,215 daripada 1,228 calon mendapat keputusan lulus penuh, meningkat 0.38 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata seramai 813 pelajar memperoleh keputusan empat prinsipal pada tahun lepas berbanding 957 pada 2013.

Di JOHOR BAHARU, seramai 43 calon di negeri ini memperoleh PNGK 4.00 pada peperiksaan STPM 2014 berbanding 77 calon pada peperiksaan tahun sebelumnya.

Pengarah Pendidikan Johor Aminudin Adam berkata jumlah calon yang lulus penuh satu hingga lima mata pelajaran pada STPM 2014 meningkat 0.18 peratus kepada 4,790 pelajar berbanding 6,009 pada 2013.

Beliau berkata 55 sekolah daripada 90 sekolah mencapai kelulusan penuh 100 peratus manakala PNGK negeri kekal 2.70 mata.

Di KUALA TERENGGANU, calon luar bandar negeri Terengganu menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan seramai 737 orang mendapat 5P dan 4P berbanding 716 calon bandar.

Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Zakaria Hussin berkata jumlah peratusan calon yang lulus penuh 5P dan 4P di negeri itu meningkat kepada 73.31 peratus pada tahun 2014 berbanding 64.23 peratus pada 2013.

Di KOTA BAHARU, sejumlah 2,649 atau 70.96 peratus calon sekolah bantuan kerajaan memperoleh keputusan 5P dan 4P berbanding 3,422 calon pada 2013.

Di KANGAR, Pengarah Pendidikan Perlis Roslee Ismail berkata seramai 477 daripada 485 calon lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran peringkat prinsipal.

Di SARAWAK, sejumlah 4,834 orang (atau 97.34 peratus) daripada 4,973 calon sekolah lulus dalam STPM pada tahun 2014 berbanding dengan 5,897 calon (96 peratus) pada tahun sebelumnya.

Menurut kenyataan Jabatan Pendidikan Sarawak, seramai 40 calon sekolah (atau 0.81 peratus) mencapai PNGK 4.00 berbanding 39 pada tahun sebelumnya.

-- BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI