Calon Pas Dun Chempaka ialah Ahmad Fathan

Sunday, March 08, 2015

Calon Pas Dun Chempaka ialah Ahmad Fathan

Ahmad Fathan Mahmod, 43, dinamakan calon Pas di Dun Chempaka bagi meneruskan legasi bekas Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau merupakan Bendahari Pas Pengkalan Chepa.

Pengumuman itu dibuat Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di hadapan kira-kira 1,000 penyokong di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik)  semalam.

Terdahulu, Tuan Ibrahim dan beberapa barisan kepimpinan Pas negeri dan Pusat memberi ucapan aluan.

Turut bersama Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah; Pengarah Pilihanraya Pas Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Dalam ucapannya, Ahmad berkata, pemilihan Fathan dibuat berdasarkan kajian pusat strategik parti selain sumber sumber yang menunjukkan Fathan calon yang paling layak.

Malah katanya, Fathan memiliki perwatakan yang baik untuk meneruskan kerja-kerja yang ditinggalkan Nik Abdul Aziz.

"Kita yakin ia calon terbaik dan kehendak pengundi bagi meneruskan kerja-kerja Islam dan khidmat kepada masyarakat sekurang kurangnya program yang disusun Tok Guru diteruskan," katanya.

Sebelum ini, aktivis Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Sharif Mahmood mengumumkan hasratnya  untuk  bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya itu.

Ia menjadikan individu  kedua mengumumkan hasrat bertanding sebagai calon Bebas di Dun Chempaka selepas Yang Dipertua Kelab Bumi Rahmat Kelantan, Fadzillah Hussin menyatakan hasrat sama.

Dalam masa yang sama, seorang ahli perniagaan dari Pasir Puteh, Aslah Mamat juga dikatakan mahu bertan­ding sekali gus menjadikan PRK ini berkemungkinan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Pas dengan tiga calon Bebas.

BN sebelum ini mengesahkan tidak akan meletakkan calon dalam PRK ini malah menyatakan tidak terlibat termasuk menaja mana-mana calon Bebas.

PRK Chempaka diadakan berikutan kematian Nik Aziz pada 12 Februari lalu akibat  kanser prostat.

Pada PRU13, Nik Aziz  menang dengan majoriti 6,500 undi.

Beliau mendapat 12,310 undi, manakala calon BN, Wan Razman Wan Abd. Razak memperolehi 5,810 undi.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI