Pembedahan kembar siam berjaya, dapat dipisahkan

Wednesday, March 04, 2015

Pembedahan kembar siam berjaya, dapat dipisahkan

Sepasang kembar siam dari Yemen berjaya dipisahkan selepas menjalani pembedahan selama sembilan jam di sebuah hospital di Riyadh, Arab Saudi, kelmarin dan dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

Menurut laporan portal Mail Online, pasukan bedah yang diketuai bekas Menteri Kesihatan, Dr. Abdullah Al-Rabeeah berjaya melaksanakan pembedahan paling sukar itu bagi memisahkan pasangan kembar lelaki yang berkongsi beberapa organ penting termasuk usus.

Kembar yang diberi nama sebagai Abdullah dan Abdulrahman itu kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami sebarang komplikasi sepanjang pembedahan.


Seorang jurucakap hospital yang enggan dikenali berkata, pelbagai unit perubatan terlibat dalam proses memisahkan pasangan kembar itu yang didapati turut berkongsi sistem perkumuhan dan tulang pelvis.

“Sebaik-baik sahaja dipisahkan, kembar itu dirawat oleh dua kumpulan perubatan yang menjalankan pemantauan khusus terhadap kesihatan mereka,” jelas jurucakap terbabit.

Antara pasukan perubatan yang terlibat dalam pembedahan itu ialah unit anestesiologi, pediatrik, ortopedik, pakar pembedahan plastik, dan pakar pembedahan saluran kencing, jururawat serta kakitangan teknikal.

Pada asalnya, bayi kembar berkenaan hanya mempunyai peluang hidup antara 60 dan 70 peratus, tetapi kejayaan pasukan perubatan dari Arab Saudi itu sangat menakjubkan selepas tahap kesihatan kembar terbabit semakin baik.

Kes pemisahan pasangan kembar itu merupakan yang ke-35 dilaksanakan di Arab Saudi sejak 1990 melibatkan bayi daripada lebih 18 negara termasuk Sudan, Yemen, Mesir, Malaysia, Filipina, Poland, Maghribi, dan Iraq.

Negara ini juga mempunyai pasukan pakar bedah yang pakar memisahkan kes pasangan kembar siam dengan mencatat 30 kejayaan bagi 30 kes dalam tempoh 20 tahun lalu.

Pada 2002, sepasang kembar siam dari Malaysia, Ahmad dan Muhammad berjaya dipisahkan menerusi pembedahan selama 22 jam 45 minit yang dilakukan oleh sepasukan 17 pakar bedah, sembilan jururawat dan 15 pasukan sokongan di Hospital Raja Fahad, Riyadh, Arab Saudi. ~ Utusan

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI