7 R&R, hentian sebelah Plus ditutup mulai Isnin

Thursday, March 05, 2015

7 R&R, hentian sebelah Plus ditutup mulai Isnin

Sebanyak tujuh kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta hentian sebelah di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) akan ditutup untuk sementara secara berperingkat mulai Isnin hingga Khamis depan bagi kerja-kerja penyelenggaraan.
  
Projek Lebuhraya Utara Selatan Berhad (Plus), dalam kenyataan hari ini, berkata kawasan R&R Tapah (Arah Utara) di KM332.3 dan Hentian Sebelah Juru (Arah Selatan) di KM141.8 akan ditutup Isnin ini manakala pada hari berikutnya melibatkan R&R Tapah (Arah Selatan) di KKM331.2.
  
Pada 11 Mac (Rabu), R&R Gunung Semanggol (Arah Selatan) di KM194.6 dan Hentian Sebelah Simpang Pulai (Arah Utara) di KM290.4 pula ditutup.
  
R&R Gunung Semanggol (Arah Utara) di KM196 dan Hentian Sebelah Simpang Pulai (Arah Selatan) di KM290.4 ditutup pada 12 Mac (Rabu), menurut kenyataan itu.
  
PLUS akan menutup kawasan-kawasan itu dari 8 pagi hingga 5 petang.  
  
Kenyataan itu turut memaklumkan gerai, restoran, kiosk dan beberapa kemudahan lain kecuali tandas, surau dan stesen minyak akan ditutup kepada orang ramai ketika kerja-kerja penyelenggaraan itu dijalankan.
  
Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi Plusline di talian  1800-88-0000.
  
Sementara itu, sebahagian kawasan R&R Elmina (Arah Utara) di Lebuh raya Koridor Guthrie akan ditutup bagi pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf mulai 9 Mac hingga 30 April.
  
Pengurus Besar Prolintas Expressway Sdn Bhd (PESB), Ir Rostam Shahrif Tami berkata kerja-kerja itu hanya melibatkan penutupan sebahagian gerai makanan dan minuman sahaja manakala kemudahan lain seperti tandas dan surau boleh digunakan seperti biasa.
  
"Usaha menaik taraf ini merupakan inisiatif syarikat dalam usaha berterusan untuk memberikan keselesaan kepada pengguna lebuh raya dan kerja-kerja dijangka siap sepenuhnya dalam jangka masa yang ditetapkan,"  katanya.
  
Orang ramai boleh melayari laman web www.prolintas.com.my bagi maklumat berkenaan lebuhraya Prolintas. - Bernama
 

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI