Pengalaman membesarkan anak autisme

Friday, March 06, 2015

Pengalaman membesarkan anak autisme

Anak ialah anugerah terindah kurniaan Tuhan. Tidak semua orang berpeluang untuk mendapat nikmat itu seperti yang diinginkan.

Mungkin ada yang bernasib baik mendapat anak sejurus selepas berkahwin namun, ada juga yang terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk memperoleh seorang zuriat.

Bagi Christine Chay, 39, dia bersyukur kerana tidak perlu menunggu terlalu lama untuk dikurniakan anak, Chiew Jia Yit kira-kita 12 tahun lalu.

Anaknya yang dilahirkan secara normal itu dianggap sebagai penyeri dalam rumah tangga yang dibina bersama suami, Chiew Sang Dick, 39.

“Tiada cacat celanya pada fizikal Jia Yit. Dia seorang bayi yang comel. Kelahirannya memberikan sinar dan harapan buat saya dan suami.Dia akan jadi pewaris kami,” ujar Christine bagi memulakan bicara.

Dia yang ditemui di Pusat Pendidikan LetzHop (LetzHop) di Selayang, Batu Caves, Selangor baru-baru ini berkata, Jia Yit membesar seperti bayi-bayi yang lain dan tidak menimbulkan sebarang kemusykilan dalam hatinya.

Namun, jelas penjual produk kecantikan itu, ketika berusia setahun, Jia Yit kelihatan tidak suka berada dalam kelompok yang ramai dan sentiasa mahu menyendiri.

“Jika dihantar ke taska atau berada bersama bayi-bayi lain, Jia Yit pasti akan merangkak dan bergerak ke sudut yang tidak ada orang.

“Jia Yit tidak suka bergaul dengan orang lain. Dia mahu menyendiri,” cerita wanita itu.

Jika dilihat secara logiknya Christine berkata, mungkin Jia Yit dianggap sebagai bayi yang pemalu atau mengalami masalah komunikasi.

Ternyata telahan itu salah apabila Jia Yit didiagnosis sebagai kanak-kanak autisme ketika berusia tiga tahun setelah dibawa berjumpa dengan doktor.

Pada ketika itu, Christine sangat terkejut dan sukar untuk menerima kenyataan tentang nasib anak tunggalnya itu.

“Saya mengambil masa beberapa tahun untuk menerima kenyataan itu. Saya sentiasa tertanya-tanya mengapa anak saya yang dipilih untuk ujian ini.

“Jia Yit diadiagnos sebagai penghidap autism kritikal. Dia sangat aktif, tidak boleh duduk diam dan mengalami masalah komunikasi,” katanya lagi.

Bagai jatuh ditimpa tangga, dugaan yang menimpa Christine semakin besar apabila dia disahkan menghidap kanser hidung pada tahun 2011.

Dalam menghadapi kerenah Jia Yit yang terlalu aktif dan langsung tidak boleh berkomunikasi, ibu itu juga terpaksa mendapatkan rawatan untuk kanser yang dihadapinya.

“Saya pernah menjalani kaunseling dan berjumpa ahli psikiatri untuk mendapatkan perkhidmatan bagi menangani stres.

“Saya sangat tertekan. Namun, selepas menjalani sesi tersebut, saya mula tenang dan memberi sepenuh perhatian kepada Jia Yit untuk memastikan dia dapat membesar dengan baik,” terangnya.

Lebih penting, sokongan daripada keluarga dan kenalan terutama suaminya membuatkan Christine menjadi lebih kuat dan tabah untuk membesarkan Jia Yit.

Tegasnya, sokongan moral yang diberikan oleh insan tersayang membuatkan dia begitu tersentuh. Dia tidak berseorangan dalam menghadapi kesukaran itu.

Bercerita tentang anaknya, Christine memberitahu, Jia Yit merupakan seorang kanak-kanak yang hiperaktif dan mengalami masalah komunikasi.

Jia Yit langsung tidak boleh bercakap tetapi memahami arahan yang diberikan. Di sebalik semua itu, Jia Yit seorang yang sangat bijak dan penyayang.

“Jika di meja makan, dia akan menghulurkan pinggan atau nasi kepada saya atau suami jika kami belum makan. Dia mahu kami makan bersama,” ujarnya.

Tambahnya, Jia Yit juga akan mengamuk dan memberontak sekiranya ada sesuatu yang tidak kena atau menimbulkan kemarahan padanya.

Jadi, tatkala amukan tersebut berlaku, Christine akan menenangkan anaknya dengan melakukan usapan atau urutan pada badan Jia Yit.

“Penghidap autisme tidak mempunyai deria sentuhan yang normal berbanding orang lain. Deria mereka tidak begitu sensitif.

“Jadi, dengan melakukan urutan, deria rasa mereka lebih terangsang selain dapat menenangkan amukan,” jelasnya yang mempelajari teknik-teknik urutan untuk kanak-kanak autisme bagi menjaga Jia Yit.

Selain itu, Christine memberitahu, dia turut menyediakan jadual buat Jia Yit dalam menjalani rutin hariannya. Anak lelakinya itu akan menjalani aktiviti seharian berdasarkan jadual yang telah dibuat seperti waktu makan, waktu ke kelas dan waktu tidur.

Kemahiran vokasional

Wanita itu turut memastikan anaknya diberi makanan yang sesuai kerana Jia Yit mengalami masalah kulit iaitu ekzema di samping memastikan anaknya mempunyai fokus dalam melakukan sesuatu aktiviti.

“Untuk memberikan pendidikan normal seperti orang lain buat masa ini agak susah. Jadi, saya lebih memfokuskan kepada kemahiran vokasional kepada Jia Yit seperti menguruskan diri.

“Saya juga menghantarnya ke pusat didikan bagi memastikan dia mempelajari sesuatu dan meningkatkan kemahiran. Kanak-kanak autisme perlu diberikan pendidikan secara berterusan untuk memastikan keberkesanannya. Ia juga dapat mengelak kemahiran kendirinya merudum,” ujar Christine yang menghantar Jia Yit ke LetzHop pada pertengahan tahun lalu.

Katanya, Jia Yit sudah boleh duduk diam dengan lebih lama berbanding dulu yang hanya mampu bertahan selama dua minit.

“Kini, dia boleh duduk dengan diam sehingga 10 minit. Dia juga sudah tahu beberapa perkara terutama yang boleh buat dan tidak boleh dilakukan.

“Suaranya juga sudah mula kedengaran walaupun tidak boleh menyebut perkataan. Saya teringin untuk mendengar dia memanggil nama mama dan papa,” luah Christine penuh mengharap.

Dalam pada itu, Nik Nadia Nik Mohd. Yusoff, 34, turut dikurniakan anak-anak istimewa yang didiagnos sebagai autisme.

Ibu kepada dua anak itu memberitahu, kedua-dua anaknya, Helena Aufiya Saiful, 5 tahun dan Emilia Firzana Saiful, 4, disahkan menghidap autisme seawal usia tiga tahun.

Cerita ibu itu, anak sulungnya, Helena Aufiya pada peringkat awal kelahiran merupakan bayi yang sangat baik.

“Dia kurang menangis dan tidak banyak ragam. Helena Aufiya sangat senang dijaga.

“Namun, siapa sangka itu adalah tanda-tanda awal bahawa dia sebenarnya menghidap autisme,” jelasnya memberitahu Emilia Firzana juga seperti kakaknya yang tidak banyak meragam.

Mempunyai anak autisme menyebabkan ibu itu gigih untuk mempelajari teknik keibubapaan yang terbaik buat anak-anaknya.

Persekitaran rumahnya juga kelihatan seperti di pusat pendidikan yang dipenuhi peralatan dan permainan khusus untuk kedua-dua puterinya.

“Anak sulung saya seorang kanak-kanak yang pintar. Dia boleh membaca seawal umur tiga tahun. Namun, dia tidak pandai untuk memanggil nama saya atau suami malah tidak tahu untuk meminta susu.

“Dia senang dijaga namun, apabila menangis, boleh sampai satu jam atau lebih sebelum berjaya ditenangkan,” kongsi isteri kepada Saiful Zaid Abdul Halim, 34, itu.

Nasihatnya, ibu bapa perlu peka dengan perubahan atau simptom-simptom awal yang ditunjukkan oleh anak-anak untuk memastikan penyakit atau ketidaknormalan pada mereka boleh dikesan lebih awal.
~ Kosmo

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI