SKMM Keluar 23 Kompaun RM1.01 Juta Kepada Telco

Wednesday, March 25, 2015

SKMM Keluar 23 Kompaun RM1.01 Juta Kepada Telco

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan 23 kompaun berjumlah RM1.01 juta kepada syarikat telekomunikasi (Telco) utama berhubung isu panggilan terputus dan pendaftaran bagi pengguna prabayar.

Menurut kenyataan SKMM pada Rabu, bagi isu panggilan terputus, jumlah kompaun yang dikenakan kepada DiGi Telecommunications Sdn Bhd adalah RM180,000, Maxis Mobile Services Sdn Bhd RM170,000 sementara Celcom Axiata Bhd RM130,000.

Bagi isu pendaftaran pengguna prabayar pula, Celcom Axiata dikenakan kompaun RM200,000, Maxis Mobile Services RM150,000, U Mobile Sdn Bhd RM100,000, Tune Talk Sdn Bhd RM70,000 dan XOX Com Sdn Bhd pula RM10,000.

"SKMM sentiasa tegas dalam isu pendaftaran pengguna prabayar kerana terdapat insiden yang mana maklumat peribadi orang lain telah digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu juga, SKMM telah mengeluarkan dua kompaun kepada Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd (Astro) dan Maestra Broadcast Sdn Bhd (Maestra) bagi kesalahan melanggar peruntukan di bawah Kod Kandungan dan syarat lesen.

Astro dikenakan kompaun RM10,000 kerana melanggar Peruntukan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Bahagian 3: Iklan di sub perenggan 5.1, 5.2 dan 8.1 serta Syarat Standard 6 Lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (Individu) CASP(I).

Menurut kenyataan itu, Astro didapati menyiarkan rancangan bual bicara mengenai produk kesihatan untuk penyakit-penyakit yang dilarang daripada diiklankan di bawah peruntukan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.

Maestra pula dikenakan kompaun RM20,000 kerana melanggar Syarat Khas Lesen No. 10.2 CASP (i) dan Seksyen 206 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara, Radio Era FM yang beroperasi di bawah Maestra telah melakukan kesalahan dengan menyiarkan kandungan yang menyinggung perasaan umat Islam pada Ramadan tahun lepas, menurut kenyataan itu.

SKMM mengawal selia dan menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia yang merangkumi bidang telekomunikasi, penyiaran, aktiviti dalam talian, perkhidmatan pos dan pensijilan digital.

SKMM mengeluarkan sebanyak 70 kompaun berjumlah RM2.84 juta atas pelbagai kesalahan pada 2014.

-- BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI