Mati pucuk (ED) dan pembesaran kelenjar prostat

Friday, October 09, 2015 0 Komen

Mati pucuk (ED) dan pembesaran kelenjar prostat  

Mati pucuk (ED) adalah penyakit kelamin yang sinonim dengan lelaki dan paling ditakuti. Namun sikap ego, malu serta salah anggap mengenai penyakit berkenaan membuatkan ramai golongan lelaki semakin mengabaikan dan mengelak daripada menjalani rawatan.

Keadaan ini ditakrifkan sebagai masalah perubatan serius yang memerlukan perhatian dan rawatan segera. Walaupun punca asas ED mula muncul seiring peningkatan usia, ED sebenarnya bukan disebabkan masalah penuaan semata-mata.

Sejak kebelakangan ini, ED dan pembesaran kelenjar prostat (BPH) sering menjadi tajuk utama dalam penyelidikan kesihatan sakit tuan.

Hasil penyelidikan dan kajian ini membuktikan hubung kait antara kedua-dua penyakit ini di mana ED sering muncul bersama BPH. Gabungan fenomena ini dengan mereka yang meningkat usia menimbulkan keperluan untuk mendapatkan rawatan yang lebih berkesan bagi meningkatkan kualiti hidup bagi lelaki berusia yang mengalami penyakit ini.

Presiden Persatuan Urologi Malaysia, Dr Teh Guan Chou berkata, hasil kajian dalam bidang sakit tuan dan ketidakupayaan seksual, mereka lebih memahami kesinambungan yang timbul antara ED dengan BPH.

“Apabila usia lelaki semakin meningkat, mereka akan lebih cenderung untuk mengalami simptom Saluran Kencing Bawah (LUTS). Dalam sesetengah pesakit, simptom LUTS ini disebabkan oleh BPH.

“Disebabkan itu, adalah amat penting untuk kita menitikberatkan simptom LUTS yang diakibatkan oleh BPH dalam kalangan pesakit yang muncul dengan penyakit ED serta BPH.

“Kini dengan adanya ubat baru sedia ada di pasaran Malaysia, penyakit ED dan BPH menjadi lebih mudah dan sesuai digunakan sebagai rawatan peringkat awal,” katanya ketika melancarkan ubat baru CIALIS (tadalafil) lima miligram (5mg) Tablet Bersalut Filem di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Penyakit ED menyerang 22.2 peratus lelaki di Malaysia yang berumur 50 tahun ke atas. Risiko untuk mendapat penyakit berkenaan akan naik sekali ganda bagi lelaki dalam lingkungan umur 60 tahun hingga 69 tahun.

Angka ini dijangka meningkat 79.5 peratus bagi lelaki berusia 70 tahun ke atas. Manakala seramai 50 peratus lelaki di negara ini yang berusia lebih 60 tahun akan menghidap BPH.

Peratusan ini dijangka meningkat seiring dengan usia pesakit. Kedua-dua penyakit ini juga mempengaruhi semua lelaki tanpa mengira kaum.

Perunding Urologi Hopital Gleneagles, Dr George Lee Eng Geap pula berkata, meskipun ED dan BPH adalah penyakit lazim, golongan lelaki masih ragu untuk mendapatkan rawatan awal.

“Ini mungkin disebabkan pelbagai faktor termasuk pengaruh budaya serta salah faham umum terhadap penyakit ini. Selain itu, ada juga golongan lelaki berpendapat bahawa keadaan ED serta BPH bukanlah satu penyakit.

“Oleh itu, kami sentiasa membantu pesakit serta menasihati mereka supaya mendapatkan rawatan lebih awal,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Lilly Malaysia, Dr Faiz Ansari, berkata kelulusan yang diperoleh pihaknya untuk memasarkan ubat berkenaan di negara ini membuktikan kesungguhan dalam menawarkan rawatan dan penyelesaian baharu bagi rawatan sakit tuan.

“CIALIS (tadalafil) 5mg ini adalah inovasi baharu bagi dunia rawatan sakit tuan terutama sekali bagi penghidap ED dan BPH. Kami gembira kerana berjaya membawa inovasi ini ke pasaran

Malaysia, di samping mengukuhkan usaha menyokong doktor dalam memberikan rawatan terbaik bagi pesakit mereka,” katanya pada sidang media pelancaran ubat berkenaan baru-baru ini.

Hasil ujian klinikal keberkesanan dan keselamatan CIALIS (tadalafil) 5mg membuktikan pengambilan ubat ini sekali sehari membawa kepada hasil yang positif bagi pesakit ED dan BPH.

CIALIS (tadalafil) 5mg berfungsi sebagai perencat enzim phosphodiesterase jenis-5 (PDE-5) bertindak mengembalikan daya tenang vaskular dan melancarkan peredaran darah di sekitar organ serta otot berkenaan.

Selain itu, ia juga membawa perubahan ketara dalam pembaikan markah Indeks Antarabangsa bagi Fungsi-Ereksi-Fungsi-Utama (IIEF-EF). Perubahan itu juga boleh dilihat pada catatan Markah Simptom Prostat Antarabangsa (IPSS) yang menilai fungsi seksual dan gejala BPH.

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad
HMetro

 

ZONFINITI