Pengalaman diculik kumpulan bersenjata

Friday, August 30, 2013

 “Sepanjang ditawan kumpulan bersenjata itu, saya hanya ingat mati selain memikirkan nasib anak yang masih kecil di rumah,” kata Muhammad Asri Lemma, 27, menceritakan kejadian diculik sekumpulan lelaki bersenjata di perairan Silapak, 10 kilometer dari Pulau Bum-Bum, Selasa lalu.

Menurutnya, dia hanya menyedari diculik apabila kumpulan terbabit terkejut melihat dua anggota pasukan keselamatan bersenjata di Pulau Kapalai sebelum bergegas mengundurkan bot mereka.

“Kumpulan berkenaan pada awalnya memberi alasan mahu ke Pulau Mabul untuk menghadiri majlis perkahwinan ahli saudara mereka di sana, tetapi laluan mereka tersasar.

“Kira-kira 10 lelaki berada di dalam bot itu dan hanya seorang fasih berbahasa Melayu manakala yang lain hanya mampu bertutur dalam bahasa Suluk,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Katanya, ketika dalam perjalanan menuju ke Pulau Mabul, tiba-tiba seorang daripada mereka yang fasih berbahasa Melayu bertanya mengenai sebuah pulau di hadapan yang diterangi lampu merah.

“Saya memberitahu mereka itu adalah sebuah pulau tanpa memberitahu terdapat pos kawalan tentera kerana tidak mengesyaki apa-apa sebelum juragan mengubah haluan menuju ke pulau terbabit,” katanya.

Menurutnya, bot berkenaan terus menuju ke arah sebuah rumah dan cuba menghampirinya.


“Tiba-tiba bot terbabit berhenti dan berundur dengan tergesa-gesa kerana mengesan di bahagian luar rumah berkenaan dijaga dua anggota keselamatan lengkap bersenjata,” katanya.

Muhammad Asri berkata, ketika itu dia melihat beberapa anggota kumpulan terbabit berdiri dan mengeluarkan senjata serta mengacukannya kepada anggota keselamatan manakala juragan mengundurkan bot dengan tergesa-gesa.


“Mujur tiada sebarang tembakan dilepaskan dan serentak dengan itu, saya mula menyedari sudah menjadi tawanan mereka.


“Ketika itu, saya mula menitiskan air mata kerana terlalu takut selain terbayang wajah isteri dan anak di rumah apabila mengetahui saya diculik pengganas,” katanya.


Menurutnya, mereka kemudian meneruskan perjalanan dan terserempak sebuah kapal nelayan laut dalam sebelum bertindak menahannya.


“Mereka kemudian mengarahkan lapan individu di dalam kapal itu masuk ke dalam bot.


“Bot berkenaan meneruskan perjalanan menuju ke negara jiran sebelum seorang daripada mereka bertanyakan kepada lapan nelayan terbabit dengan bahasa Suluk mengenai agama anutan masing-masing sebelum dimaklumkan mereka beragama Islam dan meminta dilepaskan.

“Pada awalnya, mereka membenarkan semua lapan individu dilepaskan dengan terjun ke laut, tetapi enggan melepaskan saya .

“Mereka mahu saya mengikuti mereka, tetapi saya merayu supaya dilepaskan sebelum seorang lelaki yang dipercayai ketua kumpulan terbabit bersetuju dan mengarahkan kami terjun ke laut,” katanya.

Menurutnya, mereka berenang hampir 50 meter ke arah sebuah kapal nelayan yang kebetulan berada berhampiran sebelum dibawa pulang ke jeti Semporna.

Terdahulu, dalam kejadian 27 Ogos lalu, sembilan lelaki mendakwa diculik sekumpulan lelaki bersenjata dalam dua kejadian berasingan di Pulau Bum-Bum dan Pulau Omadol di Semporna.

Namun, mereka bernasib baik apabila dilepaskan dengan diarahkan supaya terjun ke laut sebelum diselamatkan sebuah kapal nelayan yang kebetulan melintasi kawasan itu.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI