Elak mercun ragut nikmat Ramadan

Wednesday, July 09, 2014

Saban tahun kita disajikan dengan berita kecederaan angkara bermain mercun dengan pelbagai berita kecederaan dan musibah angkara bermain mercun seperti jari tangan hancur dan hampir putus, malah ada yang hilang jari serta nyaris buta, namun anak kita tetap tidak serik dan masih gagal untuk mengambil iktibar seolah-olah Ramadan dan Aidilfitri tidak lengkap jika tidak dihiasi dengan dentuman bunga api dan mercun.

Hakikatnya mereka lupa bahawa saban tahun pesta mercun dan bunga api ini pasti membawa khabar pilu dan derita kepada anak kita. Lebih malang anak kita memperagakan daya kreativiti mereka pada tempat yang salah dan merugikan dengan mengubahsuai mahu pun membuat sendiri mercun mengikut kehendak masing-masing.

Antara punca berlaku insiden sebegini ialah kerana ada pihak tidak bertanggungjawab menjual bahan terlarang itu walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa untuk membendung dan menghalangnya.

Hakikatnya kerancakan Ramadan dan Aidilfitri juga sekali gus mencetuskan kerancakan dalam aktiviti penyeludupan dan penjualan mercun dan bunga api yang tidak dibenarkan.

Walaupun serbuan dan tangkapan demi tangkapan dibuat pihak berkuasa tetapi sindiket penyeludupan masih bergerak aktif, terutama menjelang musim perayaan utama seperti ini.

Misalnya baru-baru ini, kastam Perak melalui Kastam Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Hulu merampas mercun dan bunga api di sebuah premis tidak berpenghuni di Taiping dan hasil pemeriksaan terhadap 10 kontena mendapati tiga daripadanya mengandungi 327 karton mercun dan bunga api bernilai RM88,935.

Di samping itu, serbuan juga dilakukan di sebuah stor tidak berpenghuni di kawasan perindustrian Taiping dan pemeriksaan menemui 1,623 karton mercun dan bunga api pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM1,260,600. Ini baru di Perak dan belum lagi kita teliti tangkapan di negeri lain yang juga pastinya tidak kurang hebatnya.

Kita percaya ini hanya permulaan kerana kebiasaannya menjelang Aidilfitri pasti lebih banyak usaha dilakukan pihak tidak bertanggungjawab untuk menyeludup demi meraih keuntungan berlipat ganda dalam jangka pendek.

Ini membuktikan betapa kumpulan ini tidak pernah berputus asa, malah sentiasa menunggu peluang untuk menangguk di air yang keruh. Walaupun pihak Kastam dan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) sentiasa menggiatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan, terutama menjelang musim perayaan, namun aktiviti penyeludupan dan penjualan mercun ini tetap tidak dapat dibendung sepenuhnya sehingga ke hari ini.

Pihak tidak bertanggungjawab masih memperhebatkan kegiatan penyeludupan mereka kerana perniagaan itu menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

Persoalannya, apakah mereka bahagia dengan rezeki yang diperoleh hasil penjualan mercun yang kemudian memudaratkan anak kita? Di mana rasa simpati, keprihatinan dan tanggungjawab peniaga yang tidak berhati perut seperti ini? Hanya peniaga yang mampu menjawab persoalan itu.

Apapun perkara yang lebih membimbangkan kita ialah pesta mercun dan bunga api ini saban tahun meningkatkan jumlah kemalangan dan kecacatan fizikal dalam kalangan kanak-kanak di negara kita. Bilangan anak yang kudung, buta dan cacat anggota badan lain secara kekal akibat penggunaan mercun dan bunga api dilihat semakin bertambah dan merisaukan semua pihak.

Justeru, semua pihak perlu berganding bahu dan melakukan sesuatu agar kita dapat perangi mercun habis-habisan. Ia tidak mustahil kerana kita perlu ingat bahawa tidak akan ada penawaran andai tiada permintaan. Jualan mercun berleluasa kerana anak kita mahukannya.

Walaupun pihak berkuasa berusaha keras untuk membanteras penyeludupan dan penjualan mercun, namun tanpa kerjasama dan komitmen ibu bapa dan masyarakat masalah ini semakin sukar untuk ditangani.

Di samping pihak berkuasa, peranan ibu bapa dan masyarakat juga ditagih dalam mengatasi kemelut ini. Ibu bapa dan masyarakat perlu lebih agresif dan aktif dalam mengawal anak daripada terjebak pesta mercun.

Kita perlu memastikan anak kita tidak membazir dengan membeli mercun yang boleh mengancam nyawa mereka. Tiada salahnya dalam hal sebegini kita berkeras dan tegas demi kebaikan dan masa depan mereka sendiri.

Biar kita sambut Ramadan dan Aidilfitri dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Jangan biarkan mercun dan bunga api meragut kegembiraan itu.

Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed
Penulis Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI