Sultan Nazrin Shah, Tuanku Zara ziarah 7 makam Sultan Perak terdahulu

Tuesday, May 12, 2015

Sultan Nazrin Shah, Tuanku Zara ziarah 7 makam
 
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim hari ini berangkat menziarah tujuh makam Sultan terdahulu di sini bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV.
   
Dalam keadaan cuaca mendung dan hujan agak lebat, pasangan diraja yang memakai baju Melayu dan kurung hijau lumut itu tiba di Kampung Air Mati, Lambor Kanan yang menempatkan makam Almarhum Sultan Mudzaffar Shah II, iaitu Sultan Perak ke-10, pada kira-kira 9.30 pagi.

Majlis tahlil dan bacaan doa selamat diadakan dengan dipimpin oleh Imam Masjid Daerah Seri Iskandar Badrul Husaini Baharudin.
   
Baginda berdua kemudian menyiram air mawar serta menabur bunga ke atas makam berkenaan.



Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Mengikut sejarah Perak, Sultan Mudzaffar Shah II diangkat menjadi Sultan Perak ke-10 selepas kemangkatan Sultan Sallehuddin di Kampar pada tahun 1636.
   
Sultan Mudzaffar Shah II bersemayam di Air Mati, Padang Changkat, Lambor Kanan serta memerintah selama 17 tahun dan selepas mangkat pada 1653, makam baginda digelar 'Marhum Jalilullah'.
   
Pasangan diraja itu kemudian menziarah makam Sultan Mudzaffar Shah I, yang merupakan Sultan Perak pertama, di Kampung Telok Bakong serta makam Sultan Mahmud Shah (Sultan ke-8) dan makam Sultan Muhammad Shah iaitu Sultan ke-14 di Kampung Melayu Pulau Tiga.
   
Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara turut berangkat menziarah makam-makam Sultan Mahmud Iskandar Shah (Sultan ke-11), Sultan Alaudin Mughayat (Riayat) Shah (Sultan ke-12) dan Sultan Ahmad Tajuddin Shah (Sultan ke-3).
   
Kesemua makam itu terletak di Kampung Jawa, Mukim Pulau Tiga.
   
Baginda berdua menyiram air mawar serta menabur bunga ke atas makam-makam berkenaan selepas majlis tahlil dan bacaan doa selamat. - Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI