116 mangsa korban nahas pesawat Hercules C130 Indonesia

Tuesday, June 30, 2015

116 mangsa korban nahas pesawat Hercules C130 Indonesia

Empat puluh sembilan mayat mangsa pesawat Hercules C130 milik Tentera Udara Indonesia yang terhempas ke kawasan penempatan di Medan tengah hari tadi, sudah ditemui namun jumlah kematian dipercayai sekurang-kurangnya 116 orang.

Pemerintah Tentera Udara Indonesia, Marshall Udara Agus Supriatna, berkata berdasarkan senarai penumpang, pesawat itu membawa 113 orang iaitu 12 anak kapal dan 101 penumpang dan setakat ini tiada tanda ada yang terselamat.

"Tidak, tidak. Tiada yang terselamat. Saya baru saja kembali dari tempat kejadian," katanya kepada AFP.

Menurutnya, sehingga jam 8 malam tadi, 49 mayat sudah ditemui dan dibawa ke hospital.

Ramai penumpang dalam pesawat itu ialah ahli keluarga anggota tentera dan pasukan penyelamat sudah menemui satu mayat kanak-kanak.


Pasukan penyelamat menyatakan tiga penduduk kawasan penempatan itu terbunuh apabila pesawat berusia 51 tahun berkenaan terhempas menghempap rumah sebelum terbakar, mengenai satu pusat urutan dan sebuah hotel kecil.

Menurut Agus, juruterbang memberitahu menara kawalan pesawat itu perlu berpatah balik kerana mengalami masalah enjin.“Pesawat terhempas ketika ia berpusing ke kanan untuk berpatah balik ke lapangan terbang,” katanya.

Pesawat itu berlepas pada jam 12:08 tengah hari waktu tempatan dari pangkalan tentera udara di Medan dan terhempas dan meletup dengan api menjulang kira-kira-kira dua minit kemudian, kira-kira lima kilometer dari pangkalan itu.

Ia adalah tragedi kedua dalam masa 10 tahun pesawat terhempas di Medan. Pada September 2005, pesawat Boeing 737 milik Mandala Airlines terhempas ke atas kawasan perumahan sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Polonia, Medan, membunuh 143 orang, termasuk 30 mangsa di darat.

Medan yang mempunyai 3.4 juta penduduk ialah bandar ketiga terbesar Indonesia selepas Jakarta dan Surabaya. - Agensi

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI