Jika tidak mengenangkan rayuan si bapa, gadis ini lebih suka tinggal di Lombok bersama suami dan mertuanya.
Umur anak gadis ini hanya 15 tahun ketika lari ke Lombok, Indonesia dan berkahwin dengan jejaka pilihan hatinya, Hafiz Amaq Sukma, 29.
Pelarian selama tujuh bulan ke daerah Bara Bali, Mataram itu turut menyaksikan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Muda, Batu Caves ini sanggup mengetepikan kasih sayang bapanya, Yunan Mat Ayat, 77, demi mengejar cinta sejati.
Tidak sampai dua minggu perkenalan, bibit cinta mula memutik di hati remaja ini.
Terpikat dengan karakter Hafiz yang digambarkan penyayang dan bertanggungjawab, hanya dua bulan diperlukan untuk menakluk hati Salsabila atau Bella dan membuatkan pelakon bertubuh kurus ini dengan rela hati mengikutnya ke Lombok.
Rindu suami
Ketika ditemui sehari selepas kepulangannya ke tanah air Selasa lalu, Bella mudah menumpahkan air mata apabila menyebut tentang suami dan kandungannya yang telah mencecah usia enam bulan.
“Saya sangat merindui suami. Kalau diikutkan, saya lebih suka tinggal di sana. Walaupun suami hanya bertani tapi hati saya lapang.
“Saya sangat berharap keluarga dapat memaafkan perbuatan saya dan menerima suami saya sebagai ahli keluarga ini. Restuilah perkahwinan kami kerana kami saling mencintai.
