Kahwin Lari Ke Lombok - Bella tidak menyesal

Tuesday, March 02, 2010

Jika tidak mengenangkan rayuan si bapa, gadis ini lebih suka tinggal di Lombok bersama suami dan mertuanya.

Umur anak gadis ini hanya 15 tahun ketika lari ke Lombok, Indonesia dan berkahwin dengan jejaka pilihan hatinya, Hafiz Amaq Sukma, 29.


Pelarian selama tujuh bulan ke daerah Bara Bali, Mataram itu turut menyaksikan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Muda, Batu Caves ini sanggup mengetepikan kasih sayang bapanya, Yunan Mat Ayat, 77, demi mengejar cinta sejati.

Tidak sampai dua minggu perkenalan, bibit cinta mula memutik di hati remaja ini.

Terpikat dengan karakter Hafiz yang digambarkan penyayang dan bertanggungjawab, hanya dua bulan diperlukan untuk menakluk hati Salsabila atau Bella dan membuatkan pelakon bertubuh kurus ini dengan rela hati mengikutnya ke Lombok.

Rindu suami

Ketika ditemui sehari selepas kepulangannya ke tanah air Selasa lalu, Bella mudah menumpahkan air mata apabila menyebut tentang suami dan kandungannya yang telah mencecah usia enam bulan.

“Saya sangat merindui suami. Kalau diikutkan, saya lebih suka tinggal di sana. Walaupun suami hanya bertani tapi hati saya lapang.

“Saya sangat berharap keluarga dapat memaafkan perbuatan saya dan menerima suami saya sebagai ahli keluarga ini. Restuilah perkahwinan kami kerana kami saling mencintai.

“Saya tidak mahu anak dalam kandungan ini membesar tanpa bapa dan saya sangat berharap suami ada di sisi apabila sudah sampai tempoh bersalin Jun nanti,” luah Bella.

Tidak pernah terbayang untuk berkahwin apatah lagi mengandung pada usia muda, anak bongsu daripada lapan beradik ini tidak menganggap status isteri dan ibu itu sebagai beban.

Sebaliknya, kehamilan tersebut telah banyak membantu mematang dirinya yang selama ini dimanjakan oleh bapanya, seorang bapa tunggal.

Malahan keluarganya turut terkesan dengan perubahan karakternya yang positif itu.

“Saya gembira dengan kehadiran anak ini kerana ia hasil perkongsian sah antara saya dan suami. Saya akui tempoh kehamilan ini amat sukar bagi remaja seperti saya, apatah lagi tanpa suami di sisi.


“Apabila disahkan hamil, saya mula dekat kepada Allah dan banyak panduan yang diberi oleh suami dan keluarga mertua di Indonesia.

“Saya tidak lagi liar dan malas. Dulu, ayah layan saya seperti puteri sampaikan saya sendiri tak pernah pegang penyapu di rumah ini. Semuanya ayah yang buat.

“Tetapi selepas berkahwin, tanggungjawab sebagai isteri banyak mendidik saya untuk memikirkan hal rumah tangga.

“Daripada seorang yang tak ambil peduli hal rumah dan dapur, sekarang saya rimas kalau rumah bersepah,” ujarnya.

Tambahnya, walaupun sedar ada risiko kesihatan apabila hamil pada usia belasan tahun, anak jati Kuala Lumpur ini tidak mahu menambahkan kusut fikirannya.

“Saya sayangkan anak ini dan jika berpeluang saya mahu membesarkannya bersama suami,” tuturnya.

Berdasarkan tinjauan Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO, sememangnya kebanyakan gadis yang dibawa lari ke Lombok masih di bawah umur.

“Malah jika diimbau kes-kes sebelum ini, ada remaja berumur 12 tahun dibawa ke sana dan berkahwin dengan lelaki seberang.

Eksploitasi

“Di pusat tahanan imigresen di Mataram memang ramai gadis bawah umur yang ditahan. Kebanyakannya menjadi pendatang haram kerana hendak berkahwin dengan pemuda di sana,” kata Pengerusi biro itu, Datuk Muhd. Khairun Aseh.

Mengulas lanjut tentang kehamilan remaja, Pakar Reproduktif Manusia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr. Hamizah Abu Hassan berkata, kehamilan remaja tidak boleh mengubah 100 peratus personaliti si ibu.

Jelasnya, remaja pada umur 15 tahun tidak mampu secara fizikal dan mental untuk menguruskan anak mereka sendiri.

“Jika mereka bertegas bahawa mereka yakin mampu menjaga anak dan menjadi isteri serta ibu yang baik, itu hanya perasaan mereka. Hakikatnya, mereka tidak berupaya.

“Mereka tidak faham apa makna tanggungjawab membesarkan anak walaupun perasaan ‘aku boleh buat’ itu ada.

“Sebab itu mereka memberontak apabila ada yang memperkecilkan kebolehan mereka menguruskan anak pada usia sementah itu,” jelasnya ketika dihubungi Jurnal.

Risiko kelahiran

Tambah Hamizah, pada usia belasan tahun, boleh dikatakan semua remaja hanya mengikut perasaan dan memikirkan keseronokan dan kepuasan sendiri tanpa memikirkan perasaan dan masalah orang lain.

“Dari satu sudut, mereka belum boleh berfikir secara matang dan rasional, jadi kita tidak boleh menyalahkan mereka sepenuhnya,” katanya.

Menyentuh aspek fizikal, beliau memberitahu kehamilan pada usia itu paling terdedah kepada komplikasi dan risiko sebelum, semasa dan selepas bersalin kerana perkembangan tubuh gadis belum sempurna.

“Pada usia 15 tahun, masih ada banyak ruang tumbesaran yang belum lengkap sepenuhnya.

“Pembesaran rahim dan tulang pinggul belum mencapai ukuran sesuai untuk seorang remaja itu mengandung apatah lagi melahirkan bayi.

“Kekurangan itu bukan sahaja mendatangkan risiko kepada bayi bahkan kepada ibu semasa proses kelahiran.

“Apabila perkara ini terjadi, pembedahan mungkin diperlukan untuk menyelamatkan nyawa bayi,” tambahnya.

Antara risiko lain yang boleh mengancam kehamilan di kalangan remaja termasuklah keadaan sakit mahu bersalin pramatang, anemia atau kekurangan zat besi dalam darah.

Mereka turut mengalami masalah air belebihan di dalam tisu, bengkak pergelangan kaki dan kehadiran protein dalam air kencing.

“Secara azalinya, seorang perempuan itu sesuai hamil selepas umurnya mencapai 20 tahun kerana perkembangan fizikalnya sudah sempurna,” ujarnya.

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI