Saya rasa semua orang setuju kalau saya katakan tidak seorang wanita yang waras otaknya bersedia untuk berkahwin dengan suami orang. Betul tak? Sanggup digelar perampas suami orang, rela dituduh gila jantan dan macam-macam lagi gelaran yang menyakitkan telinga sesiapa sahaja mendengarnya.
''Bukan setakat berkahwin, bercinta pun tidak ada wanita yang suka. Tetapi siapa yang boleh menghalang jika ia sudah ditakdirkan? Setiap gadis mahukan lelaki bujang. Tetapi persoalannya amat besar, pertama adakah lelaki bujang yang sesuai dibuat suami, kedua adakah umurnya sebaya. Kalau umur kita dah lebih 30 tahun takkan nak kahwin dengan lelaki yang baru berumur 22 tahun?
''Sedangkan lelaki sebaya itu sedang asyik bercinta dengan gadis sebaya atau yang lebih muda dari usianya? Inilah masalah yang sedang saya hadapi.'' Demikian Rosynaida dalam emelnya berkongsi masalahnya bercinta dengan suami orang.
''Akhirnya calon yang layak pasti yang sebaya atau berumur lebih 40 tahun. Sedangkan lelaki seusia itu biasanya sudah berkeluarga. Sanggupkah kita berpoligami atau bersedia dengan perisai, keris dan tombak menghadapi serangan bakal madu diiringi bom, roket, peluru berpandu dan sebagainya?
''Sebenarnya itulah masalah yang saya hadapi sepanjang tiga tahun bercinta dengan suami orang. Dia tidak kaya, jika itu yang pembaca dakwa. Malah gaji saya lebih besar daripadanya. Tetapi seperti yang saya katakan segalanya adalah ketentuan Allah juga.
''Jikalah saya diberi pilihan untuk memilih pasangan hidup sudah tentu suami orang tiada langsung dalam senarai saya. Tetapi bila kita minta dijauhi, semakin ia datang mendekati kita. Mungkin kak Mona tak percaya, saya pernah berikrar dengan kawan bahawa saya tidak akan jatuh cinta apa lagi berkahwin dengan suami orang tetapi dalam ramai lelaki, suami orang jugalah saya jumpa. Jadi salah siapa, adakah kerana saya bernasib malang?
''Dulu memang saya pernah bercinta dengan orang bujang, kami sebaya baru 25 tahun. Sedang asyik bercinta, tiba-tiba dia hilang setengah tahun. Waktu itu saya macam nak mati mencarinya, tau-tau dia kahwin senyap-senyap kerana dia sudah bertunang dengan gadis pilihan emaknya di kampung. Merananya saya tak boleh nak cerita.
''Empat tahun saya kecewa, menyepi diri. Diam tak diam umur pun semakin meningkat ketika itu saya bercinta pulak dengan seorang lagi jejaka tiga tahun muda daripada saya. Nasib malang menimpa lagi sedang asyik bercinta selama dua tahun.
"Tetapi siapa sangka ketika usia saya menjangkau 37 tahun saya jatuh cinta lagi kali ini memang parah, dengan suami orang. Orang yang tidak pernah saya fikirkan sebelum ini.
''Saya tahu Eddy dah berkeluarga, tapi dia baik sangat dengan saya. Saya cuba jauhi dia, tapi katanya tak salahkan berkawan! Itu janjinya, kami berkawan baik. Lagi pun kami satu pejabat. Nak elak macam mana bila bekerja kami saling berjumpa dan bertanya.
''Lama kelamaan persahabatan kami menjadi begitu erat dah jadi macam sedara. Saya pernah ke kampungnya dengan kawan-kawan bila musim buah. Pernah hadir majlis kenduri kahwin adiknya. Malah saya kenal dengan ramai keluarganya. Tapi saya tak pernah terfikir untuk berkahwin.
''Tiga tahun lamanya kami berkawan rapat. Akhirnya tanpa disedari yang rapat dah jadi erat, yang erat hendak diikat. Terus terang Eddy ajak saya kahwin. Apa salahnya kahwin dengan dia. Umur saya pun dah semakin tua. Tetapi saya tolak.
''Namun Eddy pandai memainkan hati dan perasaan saya, dia tahu di mana kelemahan saya, akhirnya saya akui saya jatuh cinta dengannya. Cuma bab berkahwin saja terpaksa fikir panjang. Sebab saya tak bersedia berpoligami lagi.
''Tetapi masa zaman bercinta rasanya kak Mona dan pembaca pun tahu. Bercinta dengan suami orang bukannya seronok sangat. Sebab kita sentiasa kesunyian dan keseorangan. Bila pergi jalan ke mana-mana cuma sebulan sekali baru boleh. Itupun terpaksa sorok-sorok sebab takut keluarga isterinya dan teman pejabat nampak.
''Bila berjalan atau makan malam berdua, hati saya sentiasa ketakutan. Pilih tempat yang jauh dari kawasan rumah dia ataupun rumah saya. Sayalah pandu kereta, dia akan letakkan keretanya di kawasan membeli belah supaya orang tak sangka.
teman sejati
''Nak hilangkan rasa sunyi kami guna telefon itu pun tak boleh selalu, sebab takut isterinya nampak. Akhirnya hidup saya kesunyian. TV menjadi teman sejati. Nak gembira pun ketika di pejabat. Itu pun tak boleh tunjuk sangat rapat dengannya. Bimbang teman pejabat lain perasan perubahan saya, maklum bercinta satu pejabat banyak risikonya.
''Nak betul-betul enjoy bila ada program percutian satu pejabat. Waktu itu memang seronok. Kami boleh bergurau, boleh makan bersama dengan gembira walaupun ada kawan-kawan lain. Sebab tak ada orang sangka. Kalau minum berdua pun tak kisah sebab masing-masing ada urusan sendiri.
''Tetapi dalam pada itu ada teman yang perasan perubahan kami berdua. Dia terus teka kami sedang bercinta walaupun dinafikan, tetapi dia tetap meneka dan menasihatkan kami, jika betul ada perasaan cinta antara satu sama lain, cepat padamkan itu bahaya apa kata kalau rahsia terbongkar padahnya kami terpaksa bertukar ke jabatan lain.
''Nasihatnya ikhlas dan kami cuba jauhi antara satu sama lain. Tetapi akhirnya kami gagal. Eddy sudah tak boleh berenggang lagi. Semakin saya cuba jauhi semakin dia memberontak. Katanya kalau macam ni lebih baik kami berkahwin saja. Poligami. Dia berjanji akan berlaku adil. Tapi bila saya tanya adakah isterinya boleh terima, dia terdiam.
''Kerana tahu sangat masalah orang berpoligami saya suruh Eddy lupakan saja niatnya. Namun saya sendiri tidak boleh melupakannya. Waktu itu saya terfikir jika ditakdirkan ada lelaki lain yang masih bujang yang bersedia menerima saya sebagai isteri saya akan segera kahwin. Saya akan melupakan Eddy. Sebab saya pun takut bermadu sebab saya tahu Eddy tidak akan berani menghadapi isterinya yang boleh dikatakan garang tu.
''Saya faham sangat perangai dan janji orang lelaki, berani buat janji, berani bertanggung jawab, berani menghadapi isteri dan berani segala-galanya ketika sebelum berkahwin lagi. Setelah berkahwin dia akan jadi manusia yang paling penakut. Kalau boleh dia mahu berdiri di belakang isterinya, kalau pun tak menyorok dalam kain isterinya. Dia takut bertindak dalam semua hal seperti yang dijanjikan sebelumnya.
''Itulah masalah besar lelaki selepas berpoligami. Segala-galanya berubah, sudah tidak ada cinta dan sayang lagi. Sebaliknya dia akan suruh isteri mudanya berdikari dan jangan ganggu dia lagi. Macam dia dipaksa kahwin dan membenci isteri barunya. Tak tahulah kenapa lelaki berpoligami ini jadi terlalu takut.
''Kerana memikirkan ini semualah saya belum bersedia untuk berkahwin lagi. Namun saya tidak berdaya lagi menanggung perasaan cinta ini semakin dipendam semakin parah. Sementara Eddy sentiasa mendesak agar kami segera kahwin. Sebabnya, dia terlalu marah apabila ditukarkan ke jabatan lain setelah kisah percintaan kami terbongkar. Dan isterinya datang membuat 'survey' ke pejabat kami tempoh hari dan 'menemuramah' bos kami dan mendakwa bos tidak pandai menjaga pegawai-pegawainya.'' Demikian cerita Rosynaida dalam emelnya yang mengaku masih belum berkahwin lagi.
Persoalan Rosynaida ini sebenarnya dia sendiri telah pun mendapat jawapannya. Dia faham masalah bercinta dengan suami orang. Dia juga kenal dengan perangai suami orang setelah dinikahi tidak mahu bertanggungjawab. Terlalu takut kepada isteri pertama. Jadi fikirkanlah apakah anda bersedia hidup bersendirian yang mungkin sakit di jiwa tetapi senang di hati.
~ Utusan
Bahaya mencintai suami orang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment