Pelajar pintar, Halimaton Abd Rashid, 15, yang dilaporkan hilang sejak enam hari lalu, mendakwa sudah berkahwin dipercayai dengan seorang pemuda berasal dari Langkawi berusia 19 tahun dan kini menetap di Kuala Krai, Kelantan.
Perkahwinan itu dimaklumkan sendiri Halimaton menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada ibunya, Normah Abd Mutalib, 46, di sini, semalam tetapi tidak menjelaskan siapa pemuda yang dikahwininya.
Bagaimanapun, menerusi siasatan yang dilakukan datuk saudaranya, Ahmad Omar, 43, nama Halimaton didapati tercatat dalam daftar perkahwinan di Golok, sempadan Kelantan-Thailand. Normah ketika ditemui turut menunjukkan SMS yang memaparkan kata-kata “Salam...dikton (Halimaton) minta maaf banyak-banyak kat mak dan ayah...ya, kami dah kahwin...”
Selain memaklumkan sudah berkahwin, Halimaton yang berasal dari Baling, turut meminta ibunya tidak risau kerana dia selamat.
Normah yang masih terkejut dengan SMS itu, sedih kerana usia anaknya baru mencecah 15 tahun dan bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.
“Saya sedih dan amat terkejut apabila membaca SMS berkenaan. Namun, saya berharap dia pulang ke pangkuan keluarga demi masa depannya,” katanya.
Sementara itu, Ahmad mendakwa Halimaton dilarikan pemuda yang dikenali sebagai Md Nor Abdullah atau Adam dari Langkawi, sebelum berkahwin di Golok.
Berdasarkan maklumat, katanya, Halimaton dilarikan Adam ke Golok dan kini menetap di sekitar Kuala Krai selepas berkahwin.
Katanya, maklumat itu diperoleh daripada rakannya yang membantunya, termasuk ke Golok dan mendakwa melihat nama Halimaton tersenarai dalam daftar perkahwinan.
“Saya harap dia pulang kerana keluarganya merinduinya, apatah lagi dia satu-satunya harapan keluarga untuk mengubah masa depan mereka.
“Dia pelajar yang pintar dan pada usianya yang muda, sepatutnya dipenuhi dengan ilmu yang berguna dan bukannya dirosakkan dengan kata-kata manis lelaki,” katanya.
Halimaton yang terpilih sebagai pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Kedah pada 2007, dilaporkan keluar dari rumah pada pagi Isnin lalu untuk mengulang kaji pelajaran bersama rakannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Parit Panjang (SMKPP), dekat sini.
Dia bagaimanapun, dikatakan menghubungi ibunya lewat malam berkenaan, untuk memaklumkan dia ke Langkawi menemui seorang kawan.
Bagaimanapun, keesokan harinya, Halimaton dikatakan pulang ke rumah kakaknya di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, sebelum disedari hilang dan gagal dikesan.
Oleh Safuri Kamarudin
Pelajar pintar,Halimaton sudah kahwin
Entri Lain
Permalink: Pelajar pintar,Halimaton sudah kahwin
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment