Usul Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, bahawa radio di negara ini menyiarkan lebih banyak lagu baru artis tempatan disambut baik ramai pihak khususnya anak seni.
Presiden Performers & Artistes Rights (M) Sdn Bhd (Prism), Datuk Aziz Bakar, juga antara pihak yang menyokong 100 peratus cadangan yang disuarakan Dr Rais itu dan menganggap ia akan dapat menyemarakkan lagi kemaraan lagu karya tempatan di radio.
Aziz ketika menghubungi Rap, baru-baru ini berkata pihaknya sedar radio mempunyai pengaruh yang sangat besar kepada industri muzik dan seharusnya lebih menyokong karya anak tempatan. Bagaimanapun, Aziz sedar pada masa yang sama karyawan muzik seharusnya mencipta lagu yang bermutu dan jangan sekali-kali menjadikan saranan itu sebagai ruang untuk menghasilkan lagu tangkap muat atau 'asalkan boleh'.
"Kita mestilah sama-sama menggembleng tenaga untuk memajukan dunia seni khususnya karya muzik. Semua pihak ada tugas masing-masing untuk memajukan dunia seni yang dibina sejak sekian lama.
"Salah satu badan yang mempunyai pengaruh yang sangat besar adalah radio kerana ia paling rapat dengan masyarakat. Jadi wajarlah stesen radio memutarkan lebih banyak lagu baru untuk diperkenalkan kepada pendengar.
"Saya sedar selama ini bukan stesen radio tidak menjalankan tugas mereka membantu industri hiburan, cuma kita harap ia akan dapat digandakan lagi kerana tiada siapa yang akan menolong karya muzik kita kalau tidak stesen radio kita sendiri. Kita bukan melenting tetapi kita hanya menyeru dan tetap berterima kasih kepada semua stesen radio tempatan.
"Cuma pada masa yang sama, saya amat berharap karyawan muzik kita kenalah berusaha menghasilkan lagu yang kreatif, 'catchy' dan menarik untuk diputarkan di stesen radio tempatan.
"Saya yakin kalau ada jaminan dan kesungguhan di pihak stesen radio untuk membantu, tentu karyawan seni akan lebih bersemangat menghasilkan karya muzik yang bermutu dari sekarang," katanya.
Dalam perbualan itu, penulis turut meminta pandangan beliau mengenai cara terbaik bagi artis indie tidak kira solo mahupun berkumpulan yang ingin memperkenalkan lagu mereka, tetapi tidak tahu saluran yang tepat mahupun cara paling sesuai untuk mengorak langkah.
"Mengenai perkara itu, saya sedar bahawa zaman sentiasa berubah. Dulu memang ada banyak syarikat rakaman yang menyelaraskan semua hal penerbitan, produksi, menguruskan artis malah mempunyai pro (Pegawai Perhubungan Awam). Semuanya dibuat dan disusun dengan teratur.
"Sekarang ramai bakat baru mula menghasilkan single sendiri dan bergerak secara indie. Sayang pula kalau lagu mereka hebat dan hanya dipromosikan melalui Internet dan YouTube semata-mata. Mereka seharusnya dibantu 'radio plugger' yakni pihak yang menyelaras lagu ke radio.
"Dalam hal ini, Prism sedia membantu artis indie yang berbakat dengan syarat, mereka menghasilkan karya yang original, menarik, berdaftar dengan badan muzik yang sah termasuk mana-mana 'music publishing' (pustaka muzik), MACP dan sebagainya.
"Prism boleh menyediakan platform kepada bakat baru untuk menyalurkan karya mereka yakni memperkenalkan lagu baru kepada stesen radio. Kita faham hari ini dengan iringan sebuah gitar mahupun nyanyian acapella, seseorang itu boleh memperkenalkan bakatnya di Internet. Namun, untuk membolehkan lagu dimainkan di radio, ia haruslah menepati mutu rakaman yang jelas dan berkualiti," katanya.
Bagi saya, saranan Dr Rais itu membuktikan kerajaan turut prihatin dengan masalah artis tempatan dan mahu menggalakkan rakyat Malaysia agar lebih meningkatkan jati diri melalui seni.
Aziz yang juga Presiden Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) juga berharap, mulai tahun ini, lebih banyak album termasuk single artis tempatan dilahirkan dan pada masa yang sama, menyeru orang ramai agar terus menyokong penjualan album original di pasaran.
Oleh Roslen Fadzil
Prism bantu artis indie
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment