Pertandingan Bintang Ai-Minnal 1Malaysia

Thursday, March 18, 2010

Menyanyikan lagu penyanyi popular dalam pertandingan nyanyian adalah normal.
Sebaliknya, jika peserta yang terbabit adalah keturunan Cina dan India yang perlu menyanyikan lagu Melayu, ia satu tarikan berbeza.

Itulah senario Pertandingan Bintang Ai-Minnal 1Malaysia yang dianjurkan dua stesen RTM, Ai FM (Mandarin) dan Minnal FM (Tamil). Pada saingan separuh akhir kedua yang diadakan di Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini, enam peserta bersaing untuk merebut dua tempat ke peringkat akhir yang akan diadakan pada 11 April nanti.

Saingan kali ini menyaksikan peserta Marian Shanti Danaraj Jackson dan Lee Kar Wei (Jess) berjaya melayakkan diri, sekali gus menewaskan peserta lain, Thandayuthabani Ponnambalam Dass (Bani), Stan Calvin Vethamoni Asirvatham (Stan), Khor Wei Shin (Vincent) dan Chung Ming Ming (Orange).

Marian yang berasal dari Melaka memikat juri menerusi persembahan lagu Di Persimpangan Dilema nyanyian asal Nora. Begitu juga, Jess menyerlah vokal sendiri ketika menyampaikan lagu Gemilang daripada Jaclyn Victor.


Semua persembahan peserta diadili tiga juri profesional iaitu Helen Yap, Asnawi Mutaal (Orkestra RTM) serta komposer Ajai selaku juri jemputan.


Produser, Mohd Yusri Mohamed Ali, berkata sambutan yang diterima daripada peserta pertandingan ini cukup menggalakkan sejak uji bakat selama sebulan yang dijalankan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Sebanyak 24 peserta terbaik yang layak dipilih bersaing untuk peringkat separuh akhir dan lapan peserta bertanding pada peringkat akhir.


"Saya melihat peserta terbabit berbakat dan juri yang mengadili di peringkat separuh akhir awal juga kagum dengan suara mereka.


"Aspek pemilihan lagu terpulang pada peserta, tetapi ia mesti ciptaan komposer tempatan. Memandangkan kita kekurangan penyanyi Cina dan India, saya percaya pertandingan sebegini dapat cungkil lebih ramai bakat baru," katanya.


Bagi Jess, latihan berulang kali sebelum ini membuahkan hasil apabila dia berjaya ke peringkat akhir. Katanya, lagu Gemilang mempunyai kekuatan dari aspek vokal yang mencabar dirinya untuk menyanyi dengan baik.


"Sebelum persembahan, saya turut mempunyai perasaan gemuruh namun apabila sudah menyanyi, saya bertambah yakin untuk berikan persembahan terbaik.


"Sebenarnya, minat saya dalam bidang nyanyian bermula sejak sekolah rendah. Hingga sekolah menengah dan universiti, saya menyanyikan pelbagai lagu Melayu seperti Seindah Biasa dan Dialah Di Hati (Datuk Siti Nurhaliza) dan Bunga-Bunga Cinta (Misha Omar)," katanya.


Jess, 22, pelajar tahun akhir Ijazah Sains Kimia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pernah mengikuti kelas vokal untuk memantapkan suara. Namun, dia menganggap nyanyian adalah hobi.


Untuk peringkat akhir, dia mencari lagu yang sesuai dan berasakan ingin memilih lagu penyanyi idolanya seperti Siti dan Faizal Tahir.


Marian, 24, pula berkata dia mengambil pengalaman menyertai pertandingan nyanyian sebelum ini sebagai pendorong semangat untuk mencapai impian sebagai penyanyi. Menariknya, dia pernah mencuba nasib dalam beberapa program realiti TV seperti Malaysian Idol, Mentor dan Akademi Fantasi (AF).

"Saya mula minat sertai pertandingan nyanyian sejak 2004. Walaupun tidak berjaya, saya tidak pernah putus asa.

"Pada saingan kali ini, perasaan saya jadi gemuruh bila lihat ramai penonton di depan pentas. Bagaimanapun, nasib baik saya tidak lupa lirik," katanya.

Meminati penyanyi seperti Siti, Datuk Sheila Majid, Aishah dan Nora, dia berharap dapat memberikan persembahan lebih baik pada peringkat final nanti.

Oleh Elrafaei Sapi

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI