Sultan Kelantan fail permohonan sahkan cerai talak tiga terhadap isteri kedua

Wednesday, March 10, 2010

Seorang peguam syarie, Zainul Rijal Abu Bakar telah memfailkan permohonan pengesahan cerai talak tiga terhadap isteri kedua Sultan Kelantan, Che Puan Elia Suhana Ahmad, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Dalam satu kenyataan kepada Bernama, Zainul berkata beliau telah dititahkan oleh Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Tuanku Yahya Petra supaya memfailkan permohonan pengesahan cerai antara Tuanku dan Che Puan Elia Suhana. "Kami telah dititahkan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra, Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan Darul Naim supaya memfailkan permohonan pengesahan cerai di antara Tuanku dan Elia Suhana Ahmad.

"Pada hari ini kami telah memfailkan suatu permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu untuk pengesahan cerai talak tiga yang dilafazkan sendiri oleh baginda Tuanku terhadap Elia Suhana Ahmad pada 12 Februari 2010 di hadapan beberapa orang saksi dan mahkamah telah mendaftarkan permohonan tersebut serta menetapkan hari Ahad, 21 Mac ini pukul 9 pagi bagi mendengar permohonan tersebut," katanya.

Zainul dan rakannya, Abdul Halim Bahari, merupakan peguam yang mewakili Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid bagi kes penyerahan saman kes induk hak lawatan bertarikh 4 Februari lepas, yang dipohon oleh Che Puan Elia Suhana dan perintah tunjuk sebab ex-parte perintah hak lawatan pada 21 Februari lepas.


Dua hari lepas, Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid mengemukakan bantahan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu terhadap arahan tunjuk sebab kerana ingkar perintah mahkamah membenarkan hak melawat baginda yang dikeluarkan kepada Elia Suhana.

Pada 4 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu membenarkan Elia Suhana, 31, melawat Sultan Kelantan yang ketika itu menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura bagi setiap Sabtu sehingga pagi Isnin setiap minggu.

Bagaimanapun Elia Suhana berkata beliau dihalang daripada bertemu suaminya dan pada 21 Februari lalu mahkamah telah mengarahkan Raja Perempuan Kelantan bersama dua pengawal peribadinya hadir untuk tunjuk sebab.

Mahkamah menetapkan 4 April sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Pada 4 Mac lalu, Sultan Kelantan telah berangkat pulang ke Kelantan setelah hampir 10 bulan dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura. - BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI