Nikmati hiburan dihalal agama

Wednesday, March 03, 2010

Imam al-Ghazali dalam kitab Ihyaa'nya berkata: "Pendengar dari masyarakat awam yang tiada unsur kecintaan kepada Allah, tetapi amat menggemari nyanyian dan dia tidak terpengaruh kepada sebarang unsur syahwat.

"Ketika ini nyanyian yang asalnya haram untuknya akan menjadi harus seperti mana perkara lain yang menyeronokkan. Namun apabila menjadikan nyanyian sebagai siulannya dan dia meninggalkan kewajipan yang lain (kemaruk), dia tergolong dari kalangan orang dungu yang ditolak persaksiannya."

Begitulah terjadinya apabila hiburan 'diangkat' ke darjat paling utama sehingga melupakan hak serta tanggungjawab kita sebenar sebagai manusia yang perlu bersikap sederhana.

Sifat ingin sentiasa berhibur adalah satu kesalahan dan jika terus dibiar sudah pasti dosa itu akan terus berganda. Benar sekali, hiburan memang dekat dengan masyarakat kita.

Malah, ada yang berpendapat dengan mendengar lagu kesukaan mereka, ia dapat membangkitkan ketenangan serta semangat.

Kebanyakan penggemar hiburan pula terdiri daripada golongan remaja. Kita runsing memikirkan bagaimana golongan ini mampu meneruskan adat dan budaya bangsa pada masa depan jika mereka terus 'disogok' dengan hiburan ala Barat yang nyata berlawanan dengan budaya Islam.

Menghukum muzik dan hiburan hari ini sebagai haram secara umum juga tidak memadai kerana hakikat fitrah semula jadi manusia memang memerlukan hiburan.



Apabila membincangkan soal fitrah sememangnya manusia tidak dapat lari daripadanya. Sama juga halnya dengan hiburan. Ia tergolong dalam perkara fitrah yang mana manusia memerlukan hiburan bagi tujuan berseronok.

Konsep hiburan dalam Islam itu sendiri adalah bagi mencapai kepuasan, ketenangan dan terlepas dari keresahan. Dalam ruang lingkup yang lebih luas, ia dapat memelihara diri dan merasa damai dengannya.

Maka, hiburan seeloknya disemarakkan dan dibangunkan dalam acuan yang bersandarkan kepada unsur yang positif, terkawal, sederhana dan mempunyai ciri bersifat mendidik.


Perdebatan mengenai hukum dan masalah ini masih terus berlanjutan dan ia memerlukan penyelesaian supaya hiburan dapat menjadi titik tolak dalam mendapatkan keredaan Allah s.w.t terutama dalam konteks memenuhi naluri manusia.

Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Badli Shah Alauddin, berkata Islam bukan agama yang statik sehingga menjadikan hidup manusia kaku dan tiada langsung diselang-seli dengan hiburan serta keseronokan.


"Namun ia perlu mengikut kadar dan tidak melampaui batas. Hiburan seperti nyanyian ini tidak semestinya berbentuk nasyid atau berirama padang pasir saja.

"Banyak lagu dan lirik yang iramanya bagus seperti mengajak masyarakat cintakan tanah air atau menghargai diri sendiri seperti Ilham Pujangga dendangan Ismail Haron, lagu kenegaraan nukilan Johar Bahar, lagu keramat perajurit tanah air, Inilah Barisan Kita dan Tanah Pusaka yang mampu memberi kesan psikologi mendalam menimbulkan keinsafan serta kesyukuran dalam jiwa.

"Begitu juga dengan lagu Kepadamu Kekasih dendangan M Nasir, Sesat Dalam Rindu ciptaan S Amin Sahab dan Kau Yang Satu dendangan Ramli Sarip sememangnya berjaya menghasilkan sajak serta doa yang puitis," katanya.


Beliau berkata, orang Arab jahiliah bebas berhibur dengan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan selain turut meminum arak.


"Mereka sememangnya begitu memuja arak sehingga dalam bahasa Arab saja terdapat lebih kurang 250 kalimah melambangkan arak. Hal ini ada disebutkan dalam Tafsir al-Azhar oleh Hamka," katanya.

Menurut Badli Shah, hiburan melampau merujuk kepada individu yang setiap masa dan ketika kehidupan mereka dipenuhi dengan hiburan.

"Hiburan tidak boleh dinikmati secara berlebihan. Imam Ali r.a mengibaratkan hiburan dalam hidup seseorang seperti garam dalam makanan; cukup dipergunakan sekadarnya saja. Apabila berlebihan, maka ia akan merosakkan.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang yang berlebihan." (Surah al-A'raaf ayat 31) Kata Badli Shah, seharusnya hiburan tidak dicemari dengan hal diharamkan syariat.

"Ini kerana hiburan yang pada dasarnya diharuskan syarak berubah menjadi haram akibat ternoda dengan perkara bertentangan dengan nilai agama dan sosial," katanya.


Beliau berkata faktor keruntuhan kebanyakan tamadun serta empayar Islam pada zaman dahulu juga adalah berpunca daripada masalah berkaitan dengan hiburan melampau.


"Jika ditinjau antara sebab keruntuhan khalifah Abbasiyyah adalah kerana mereka tidak pernah terlepas daripada gaya hidup hedonisme, berfoya-foya dan bermewah-mewahan," katanya.


Menurut Khatib al-Baghdadi, "Khalifah Abbasiyah bernama al-Muqtadir memiliki 11,000 pelayan dari Sicilia, Rom dan Ethiopia serta memiliki kemewahan yang tidak ada taranya dalam sejarah."

Sehubungan itu, hiburan perlu dinikmati secara baik yang jauh daripada perbuatan cela.

Ia adalah bentuk hiburan dinyatakan Rasulullah melalui sabdanya: "Seorang yang berakal tidak selayaknya menghabiskan waktu, kecuali untuk tiga perkara iaitu mencari bekalan akhirat, memperbaiki taraf hidup atau menikmati hiburan tidak diharamkan." (Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban).


Katanya, apa saja bentuk hiburan dibawa perlu kepada mesej yang berguna bertujuan menyedarkan masyarakat.


"Elemen ditegah seperti memfitnah, mengaibkan individu lain, mengganggu ketenteraman orang ramai, menyelitkan perlakuan maksiat, pemujaan, penyembahan serta permusuhan perlu dihindarkan," kata Badli Shah.


Situasi seumpama itu yang dimaksudkan dalam hadis Rasulullah yang diriwayatkan Ibnu Majah dan lain-lain bermaksud: "Umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan nama yang lain.

"Mereka dialunkan muzik dan penyanyi-penyanyi. Allah akan membinasakan mereka dan menjadikan sebahagian mereka beruk-beruk dan babi-babi."

Lebih mulia jika hiburan itu sendiri dapat membawa perubahan baik selain mampu menyalurkan nilai yang boleh memberi kesan positif dan berguna kepada pembangunan masyarakat.


Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. kepada Abdullah bin Amr bin al-As yang bermaksud: "Wahai Abdullah bin Amr, sesungguhnya ke atas kamu hak untuk Allah s.w.t dan ke atas kamu hak untuk tubuh kamu dan ke atas kamu hak untuk keluarga kamu. Maka berilah kepada yang memiliki hak tersebut."

Islam menggalakkan umatnya berhibur dengan cara tertentu dan ia bertentangan dengan konsep 'mencari' hiburan dalam memenuhi tuntutan nafsu tanpa batasan.

Kesan hiburan itu sendiri perlu berbalik kembali kepada Islam yang mana jelas membezakan perkara yang halal atau haram.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang jijik (keji, buruk)." (Surah al-A'raf, ayat 157)

Kita perlu mewujudkan jaringan hiburan yang sesuai dan terpisah daripada pengaruh barat. Hiburan yang diketengahkan barat terlalu sarat dengan tarian separuh bogel, meminum arak, lelaki berimej samseng yang ternyata jauh tersasar daripada peradaban manusia.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sebahagian dari penghuni neraka ialah perempuan yang memakai pakaian yang telanjang, pakaian yang sesat dan menyesatkan. Mereka tidak masuk ke syurga dan tidak mencium baunya." (Hadis riwayat Muslim).

Ia dilihat sebagai 'alat' yang menyelinap secara halus dalam misi untuk menghanyutkan umat Islam. Jika tidak dibendung maka dengan mudah umat Islam terjerumus ke lembah kefasikan.

Oleh Mohd Fadly Samsudin

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI