1UMNO untuk perpaduan

Sunday, August 02, 2009

Semua peringkat UMNO di seluruh negara perlu mengamalkan konsep 1UMNO yang merupakan salah satu dimensi daripada gagasan 1Malaysia bagi memperkukuhkan perpaduan di antara ahli parti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd.Najib Tun Razak berkata, konsep tersebut perlu dilaksanakan kerana punca utama UMNO lemah ialah tidak dapat mewujudkan perpaduan di peringkat bahagian sehingga ia meninggalkan kesan ketika menghadapi pilihan raya.

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, ahli-ahli juga perlu membuat perancangan pemulihan dalaman parti itu secepat mungkin kerana pilihan raya umum akan tiba tidak lama lagi.

''Saya melontarkan gagasan 1Malaysia dan ia boleh dilihat daripada pelbagai dimensi. Salah satu dimensinya ialah dalam konteks 1UMNO sebab kita telah mengkaji dan salah satu dari punca kelemahan kita apabila tidak dapat mewujudkan perpaduan terutama di peringkat bahagian.

''Apabila sampai pilihan raya kecil dan umum, kita dapat melihat bagaimana tidak wujud perpaduan yang kukuh yang boleh sebabkan kita tewas di beberapa kawasan. Apabila saingan hebat seperti di Manek Urai, satu undi pun amat penting bagi tentukan kejayaan kita.

''Saya telah menyarankan perkara ini dan diikuti dengan nasihat saya, kalau nak menang buat cara nak menang jangan sebut nak menang tetapi daripada segi perbuatan di sebaliknya," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu di Kompleks Sekolah Wakaf Mek Zainab di sini hari ini.

Najib berkata, 1UMNO bererti ahli perlu setia kepada parti dan berdisiplin bagi memastikan parti sentiasa utuh serta mendahului kehendak parti lebih daripada keperluan individu.

''Bila pilih calon, ada calon parti, ada calon ambo (saya), ada calon jawatankuasa bahagian dan ada calon rakyat, macam mana kita nak menang.

''Kita kena calon yang paling disukai rakyat, rakyat mesti suka, kalau rakyat tidak suka, letak ketua bahagian atau menteri sekali pun kita akan kalah," katanya.

Bagaimanapun katanya, tahap komitmen semua peringkat UMNO semakin bertambah tetapi masih ada ruang yang boleh diperbaiki.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI