Bangunan Sultan Abdul Samad siap dibina pada tahun 1897. Pada mula pembinaannya di kenali sebagai “Bangunan Baru Kerajaan” (the new Government Offices), kemudian sebagai “Sekretariat Persekutuan”, (Federal Secretariat), di guna bersama dengan Kerajaan Negeri Selangor sebelum berpindah ke Shah Alam pada tahun 1974. Asalnya hanya disebut sebagai “Bangunan” sebelum ditukar kepada nama Sultan Abdul Samad yang memerintah semenjak 1857 - 1898.
Pembinaan Bangunan ini adalah kemuncak pembangunan yang di dirikan di Kuala Lumpur pada akhir abad ke 19 malah berupa kejayaan program “Bangunan Tersergam” (Massive Building programme), di bawah pengendaliaan Maxwell/Spooner sebagai perancang dan akitek Bangunan Kerajaan di Kuala Lumpur ketika itu. Kos binaan setelah siap April 1897 berjumlah $152,824 (anggaran awal $152,000) memakan masa pembinaan selama 2 tahun 7 bulan selepas perletakan batu asas yang di lakukan oleh H.E. Sir Charles B.H. Mitchell K.C.M.G (Gabenor Negeri – negeri Selat) pada 6hb Oktober 1894. Antara faktor menarik disebalik sejarah pembinaan Bangunan Awam Kerajaan yang pertama di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri – Negeri Melayu Bersekutu (F.M.S) ini melibatkan penubuhan sebuah kilang bertempat di Brickfield bagi membekalkan bahan binaan seperti 4 juta batu bata, 2,500 tong simen, 18,000 pikul kapur, 5,000 lb tembaga, 50 tan besi keluli dan 30,000 kaki padu kayu.
Tujuan pembinaan awal adalah sebagai Bangunan Kerajaan Baru untuk menempatkan semua Jabatan pentadbiran Negeri – Negeri Melayu Bersekutu (F.M.S) di bawah satu Bangunan pentadbiran berpusat: menempatkan Sekretariat Kerajaan (G.S.O); bilik mesyuarat Majlis Negeri (Council Chamber); Pejabat Pos; Lembaga Kebersihan (Sanitary Board); Pejabat Kehakiman (Judicial Commissioner); Public Works Department (PWD); Audit dan Perbendaharaan; Pejabat Tanah; Jabatan Galian dan Pejabat Daerah Jabatan Kerja Raya (P.W.D. District Office).
Pemilihan stail senibina Islam ‘Moorish’ atau ‘Mahometan Style’ pengaruh bangunan awam di India menjadi pilihan kepada struktur senibina Bangunan Sultan Abdul Samad. Bangunan ini menonjolkan dua stail yang unik: kehebatan pembahagian (grand proportion) dan pertembungan simetri yang klasik (classical symmetry), gaya bangunan bersejarah Eropah dengan menitik berat aspek dekorasi yang berciri “the Raj style” mencerminkan fungsi utama pembinaanya di rantau ini.
Bangunan dua tingkat ini mempunyai keunikan struktur yang menonjol berupa Menara Jam setinggi 41.5m di tengah – tengah binaan berbentuk huruf ‘F’ penampilan identiti dan mercu tanda tersendiri. Ia juga merupakan Bangunan awam pertama yang berdiri megah di tapak berbentuk segi tiga terletak di antara Jalan Raja dan Jalan Belanda (Jalan Mahkamah Persekutuan) yang melengkari ke arah barat sepanjang Sungai Gombak dan Sungai Klang serta menghadap (Clarke St), Jalan Mahkamah Tinggi.
Sebagai Bangunan yang menjadi ‘pemula’ dalam waktu pembinaanya 1894 – 1897, hasil senibinanya pula lengkap dengan ciri – ciri keistimewaan dari aspek komposisi karektor seperti: stail, ragam hias dan pemilihan unsur – unsur Islam pada gerbang tingkap, bentuk separuh lengkong (arch), kubah potong bawang (dome) dan struktur berbentuk minaret yang kebiasaannya terdapat pada senibina Masjid. Kesemua elemen – elemen tersebut menambah nilai estetika yang hebat dan kemudian menjadi contoh ikutan dan penentu aliran kecenderungan dalam pembinaan bangunan awam (civic building).
Antara pegawai – pegawai yang bertanggungjawab terdiri dari Arthur Charles Alfred Norman selaku Akitek Kerajaan, Charles Edwin Spooner selaku Jurutera Negeri dan Pengarah PWD, R.A.J. Bidwell dan A.B. Hubback yang menyediakan pelan, dan lukisan, sehingga membolehkan Bangunan ini di rasmikan oleh Sir Frank Swettenham K.C.M.G. (Residen Jeneral) pada 4hb. April 1897.
Bangunan Sultan Abdul Samad
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment