Kajian Tabiat Membeli-Belah

Sunday, August 09, 2009

Sejak akhir-akhir ini, masalah tekanan hidup termasuk beban dunia pekerjaan mempengaruhi aktiviti manusia. Tidak hairanlah, kunjungan ke pusat beli-belah dilihat pendekatan popular menghilangkan fikiran berserabut. Berkunjung ke pusat beli belah tidak bermakna mahu berbelanja 'sakan' tetapi lebih kepada terapi diri dan melupakan segala kekusutan jiwa.

Charu berkata, kaji selidik Eye On Asia 2009 meninjau harapan dan impian penduduk di 16 negara rantau Asia Pasifik dalam mengharung kehidupan moden yang makin kompleks.

Selain Malaysia, negara lain yang terbabit dalam kajian berkenaan ialah Australia, Bangladesh, China, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Korea, New Zealand, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

Ikuti temu bual bersama Charu untuk melihat persepsi tekanan di kalangan rakyat Malaysia dan alternatif popular bagi meredakan ketenangan...

Boleh anda jelaskan hasil kajian ini dan maklum balas diperoleh dari responden Malaysia?

Mengikut hasil kajian Grey Group, didapati 82 peratus rakyat negara ini menganggap kehidupan moden sebagai sesuatu yang memberikan tekanan kepada diri. Jumlah itu lebih tinggi jika hendak dibandingkan dengan keadaan rakyat negara jiran, Singapura.

Kehidupan moden yang dianggap membebankan dan meningkatkan tekanan menyebabkan orang Asia dan rakyat negara ini mencari jalan untuk memperoleh ketenangan. Ini dilakukan dengan pelbagai cara termasuk bercuti hujung minggu atau cuti panjang untuk melancong bagi mendapat pengalaman baru.

Hendak tahu ke mana rakyat Malaysia pergi apabila diri tertekan? Mereka akan pergi ke pusat beli belah! Rakyat negara ini dan orang Asia secara puratanya meluangkan masa lebih dua jam di pusat beli belah setiap kali berkunjung ke gedung berkenaan.

Bagaimanapun, daripada jumlah berkenaan, hasil kajian mendapati 58 peratus rakyat negara ini secara purata meluangkan masa lebih dua jam setiap kali berkunjung ke pusat beli belah.

Apa agaknya pandangan rakyat Malaysia terhadap pusat beli belah?

Rakyat Malaysia meluangkan masa yang lama di pusat beli belah. Tetapi mereka melihatnya sebagai tempat yang boleh menceria dan menggembirakan lebih daripada tempat membeli barangan.

Sehubungan itu, gangguan jurujual yang mahu mempromosikan barangan terbaru kepada mereka yang mahu mencari keceriaan dan pengalaman baru di pusat beli belah mudah menjejaskan tumpuan mereka.

Ini kerana, hasil kajian mendapati lebih separuh daripada rakyat negara ini sekadar mahu melepaskan tekanan di pusat beli belah sebagai tempat tumpuan utama, bukannya mahu membeli belah.

Bagi seseorang yang berkunjung ke pusat beli belah, apa yang mereka fikirkan atau bayangkan sebelum membuat keputusan berkunjung ke kompleks beli-belah?

Ada beberapa perkara yang diberi perhatian rakyat Malaysia sebelum mengambil keputusan mengunjungi pusat beli belah. Antaranya faktor tempat letak kereta. Kebanyakan daripada pelanggan tidak suka tempat letak kereta yang leceh dan menyusahkan.

Oleh itu, faktor seperti ini juga menyumbang kepada situasi di mana seseorang itu memilih pusat beli belah untuk dikunjungi.

Ketika mengunjungi pusat beli belah, adakah rakyat Malaysia sanggup membeli produk baru atau unik?

Hasil kajian mendapati, 78 peratus pengunjung atau pembeli yang mengunjungi sesebuah pusat beli belah atau outlet mahu jurujual yang bersopan santun dan menghormati pelanggan. Ini berbanding 56 peratus daripada responden yang memilih jurujual mempunyai pengetahuan mengenai sesuatu produk.

Ini menunjukkan pelanggan mahu diri mereka dilayan dengan cara hormat dan tidak terlalu didesak untuk membeli barangan tertentu.

Mengenai kesanggupan membayar lebih untuk sesuatu produk baru dan unik, 55 peratus orang Asia menyatakan bahawa mereka sanggup berbuat demikian. Manakala keadaan di Malaysia pula, 57 peratus rakyat negara ini juga menyatakan kemampuan ke arah itu.

Ketika ini, di mana keadaan ekonomi kurang memberangsangkan, kebanyakan rakyat Malaysia tidak bersedia untuk membayar lebih hanya kerana produk itu baru dan unik. Pelanggan lebih tertarik kepada jenama dan barangan yang sudah biasa.

Ditanya soal apakah barangan luar negara lebih baik daripada produk tempatan, separuh daripada masyarakat Malaysia atau seramai 57 peratus rakyat negara ini bersetuju dengan kenyataan itu.

Boleh anda ulas mengenai hasil kajian gaya kepenggunaan orang Asia dan rakyat Malaysia untuk membeli barangan di internet berbanding kaedah biasa membeli di pusat pameran atau kedai?

Memang ada pelbagai pendekatan dilakukan pengguna atau pembeli untuk mendapatkan barangan tertentu. Dengan kecanggihan teknologi komunikasi maklumat (ICT), lebih ramai orang memilih membeli produk melalui internet.

Dalam kajian yang dilakukan ini, didapati 50 peratus rakyat Malaysia memilih membeli produk melalui internet kerana pada masa sama mereka dapat lebih banyak maklumat mengenai produk sebelum pembelian dibuat.

Angkatan baru orang Asia adalah bersifat 'pelbagai saluran' dalam aspek cara menyerap berita, maklumat dan hiburan selain boleh membuat perbandingan harga.

Keadaan itu menjadi pilihan kepada 50 peratus responden di Malaysia membeli belah melalui internet, Jepun dan Korea dengan masing-masing 92 peratus, manakala Australia mencatatkan 73 peratus.

Apa yang mendorong pembeli mendapatkan sesuatu barangan?

Gaya pameran yang kreatif akan mempengaruhi pengunjung membeli barangan. Ini diperkuatkan lagi dengan hasil kajian di mana 52 peratus daripada rakyat Malaysia berpendapat gaya pameran yang menarik adalah penting bagi memudahkan mereka memilih produk.

Selain itu, pembeli juga mahu supaya penerangan yang jelas mengenai sesuatu produk bagi membolehkan mereka membuat pilihan dan melakukan perbandingan mendapatkan nilai terbaik.

Selain gaya pembelian rakyat Malaysia, apakah kajian lain yang membabitkan masyarakat Malaysia?

Kajian juga mendapati hanya 55 peratus daripada rakyat Malaysia berpuas hati dengan kehidupan mereka manakala 91 peratus mahukan kehidupan ceria.

Malaysia mempunyai corak pasaran yang pelbagai kerana masyarakat penggunanya mempunyai gaya pemikiran pelbagai. Sesungguhnya, ini memberi cabaran besar untuk syarikat pemasaran menjenamakan produk dan perkhidmatan secara lebih jitu agar selari dengan keperluan pengguna di negara ini.

Boleh jelaskan mengenai keperluan golongan ibu untuk bekerja bagi meningkatkan pendapatan keluarga seperti yang terkandung dalam kajian Eye On Asia 2009 ini?

Grey Group Asia Pasifik mencipta istilah Ketua Pegawai Keluarga (CFO) untuk golongan ibu kerana kepelbagaian peranan mereka dalam keluarga.

Sebelum mempunyai anak, wanita banyak tertumpu kepada diri sendiri seperti fesyen, penampilan, janji temu sosial dan kerja. Bagaimanapun, keadaan berubah apabila wanita beralih serta merta kepada anak-anak selepas bersalin dan membelakangkan rancangan lain.

Tahap terbaru tekanan dan kerumitan cara kehidupan moden menjadikan rumah tangga perlu mempunyai dua pendapatan. Ini memaksa ramai ibu tidak berkerja mula bekerja. Hal ini melahirkan suatu keadaan di mana ibu bekerja membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.

Jika diberi pilihan, ramai ibu lebih suka duduk rumah dan melihat anak-anak membesar. Tetapi ada juga yang berpendapat memiliki kerjaya dapat membantu memelihara kewarasan mereka dan berehat dari alam ibu.

Perangkaan menunjukkan 94 peratus rakyat Malaysia berpendapat golongan ibu perlu bekerja bagi membantu meningkatkan pendapatan keluarga berbanding 89 peratus pendapat orang Asia.

Apakah golongan ibu berpuas hati dengan peranan mereka?

Hasil kaji selidik menunjukkan 62 peratus orang Asia berpendapat golongan ibu berpuas hati dengan peranan mereka. Perasaan itu paling tinggi di antara negara sedang membangun dan paling rendah di negara seperti Jepun, Korea dan Taiwan.

Di Malaysia, seramai 58 peratus golongan ibu berpuas hati dengan peranan masing-masing.

Fakta kajian Eye On Asia 2009


# Kaji selidik 'Eye On Asia' 2009 itu meneliti tiga bidang kehidupan orang Asia iaitu gaya hidup, aspirasi masa kini dan masa depan, kepenggunaan dan komunikasi.

# Sebanyak 16 negara terbabit dalam kajian itu, Australia, Bangladesh, China, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, New Zealand, Filipina, Sri Lanka, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

# Pengumpulan data membabitkan lebih 8,100 responden dijadikan sampel, 450 temuramah etnografik secara mendalam, lingkungan umur antara 18 hingga 65 tahun (lelaki perempuan), lebih 500 sampel bagi setiap negara, manakala cara persampelan pula adalah melalui internet dan bersemuka.

# Selain itu, kajian juga mendapati hanya 55 peratus rakyat negara ini berpuas hati dengan kehidupan mereka sementara 91 peratus mahu kehidupan yang ceria.

Tip beli belah

# Rancang terlebih dulu barangan yang ingin dibeli secara bertulis dan anggaran perbelanjaan.

# Buat perbandingan harga walaupun ada kedai menawarkan jualan hebat.

# Jangan berbelanja berlebihan walaupun baru mendapat bonus.

# Jangan terlalu memilih barangan berjenama sedangkan produk sama boleh didapati pada harga lebih murah.

# Pilih tempat berbelanja dengan cermat dan tentukan tujuan perbelanjaan.

# Jangan terlalu bergantung kepada kad kredit, gunakan wang tunai untuk setiap pembelian.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI