Papadom Filem Terbaik FFM22

Sunday, August 09, 2009


Filem Papadom arahan Afdlin Shauki yang akan ditayangkan pada 8 Oktober ini diumumkan Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke 22 (FFM22) di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini malam ini.

Kemenangan Papadom itu melayakkan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan hadiah RM100,000 berupa kemudahan penerbitan perfileman.

Selain anugerah utama itu, Papadom turut merangkul empat anugerah lain iaitu Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik yang masing-masing menjadi milik Afdlin Shauki dan Liyana Jasmay, Cerita Asal Terbaik (Afdlin Shauki) dan Skor Muzik Terbaik.

Afdlin juga turut menambah kemenangan peribadinya apabila sebuah lagi filem arahannya Los Dan Faun mengungguli Filem Komedi Terbaik yang membolehkannya membawa pulang wang tunai RM15,000 dan trofi.

Ini menunjukkan Afdlin Shauki memperoleh kemenangan berganda dalam FFM22 yang buat pertama kalinya diadakan di luar Semenanjung.

Sementara itu, Talentime yang memberi saingan sengit kepada Papadom menggondol lima daripada 11 kategori daripada pencalonan yang diterima.

Karya terakhir Allahyarham Yasmin Ahmad itu menobatkannya sebagai Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Filem itu juga turut menerima Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi kemenangan Mohd. Shafie Naswip, Pelakon Harapan Wanita (Jaclyn Victor) dan Anugerah Khas Juri.

Filem Setem arahan Kabir Bhatia tidak menghampakan apabila membawa pulang tiga anugerah iaitu Sinematografi Terbaik, Penyunting Terbaik dan Penataan Seni Terbaik.

Turut cemerlang filem Histeria arahan James Lee yang menobatkannya sebagai Pengarah Harapan, Poster Terbaik dan Anugerah Khas Juri.

Sementara itu bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menjadi milik pelakon Salina Saibi menerusi filem Bohsia.

Hadiah utama disampaikan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah.

Turut mengiringi ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun.

FFM22 yang bertemakan 'Filem Malaysia ke Persada Dunia' dianjurkan Finas dengan kerjasama Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM) dan kerajaan Negeri Sabah.

KOTA KINABALU 8 Ogos

Oleh NIEZAM ABDULLAH

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI