Risiko H1N1 kepada pesakit jantung

Sunday, August 09, 2009

Wabak Influenza A H1N1 diisytiharkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Jun lalu sebagai wabak pandemik.

Penyakit H1N1 pada mulanya disebabkan jangkitan virus secara langsung daripada babi yang dijangkiti kepada manusia dan mula dikesan di Mexico pada April lalu. Oleh kerana kemudahan pengangkutan udara, wabak ini merebak ke lebih 70 negara.

Jangkitan manusia ke manusia boleh berlaku secara langsung apabila rembesan cecair badan orang yang mendapat Influenza A H1N1 seperti air liur yang terpercik ketika bercakap, cecair mulut dan hidung sewaktu batuk dan bersin terkena terus kepada orang di sekeliling mereka. Jangkitan juga boleh berlaku apabila kita tersentuh bahan yang tercemar dengan virus seperti kertas tisu.

Bagi manusia, simptom jangkitan Influenza A H1N1 adalah demam, sakit tekak, sakit otot, sakit kepala, batuk, lemah badan dan rasa tidak selesa. Dalam kes lebih serius, ia boleh menyebabkan radang paru-paru yang boleh membawa kepada kematian.

Setakat ini, tiada kesan Influenza A H1N1 secara langsung kepada jantung yang sihat. Bagaimanapun, pesakit jantung lebih mudah mengalami masalah kerana penyakit selsema ini boleh mengakibatkan tekanan kepada sistem kardiovaskular.

Pesakit akan mengalami sesak nafas, perubahan tekanan darah dan denyutan jantung yang laju. Oleh itu, pesakit jantung mempunyai risiko lebih tinggi berbanding seorang yang tiada masalah jantung.

Antara langkah pencegahan yang perlu diambil oleh pesakit jantung yang ingin ke luar negara ialah:

# Buat pemeriksaan doktor sebelum pergi, terutama jika negara yang bakal dilawati ada kes A H1N1

# Bawa ubat rawatan jantung secukupnya. Bawa laporan perubatan terkini sebagai persediaan jika berlaku sebarang kemungkinan

# Ambil insurans perubatan perjalanan. Kos rawatan di negara lain adalah mahal

# Elak ada berdekatan orang demam dan tidak sihat

# Guna penutup muka untuk menutup hidung dan mulut di te mpat tertentu

# Amalkan selalu membasuh tangan selepas bersalaman atau menyentuh bahan dicemari

# Dapatkan tidur dan rehat yang cukup, makan makanan berkhasiat dan bersenam untuk memperkuatkan sistem pertahanan badan

# Elak tempat yang dikunjungi ramai orang. Rehat secukupnya dan minum air dengan banyak

# Jika demam dan ada simptom selesema, segera dapatkan rawatan doktor

# Berjumpa doktor sejurus pulang ke tanah air

Petikan artikel DR HAIZAL HARON KAMAR

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI