Suami curang simpan kekasih

Sunday, August 09, 2009

Saya seorang isteri dan ibu dua anak. Masalah yang saya tanggung ini sudah lama menghantui diri iaitu sikap curang suami yang seakan-akan tiada berkesudahan. Hampir semua teman wanitanya adalah janda.

Rahsianya terbongkar seawal tiga hari usia perkahwinan kami yang mana dia ketika itu kemaruk bercinta dengan janda beranak satu. Sejak itu, bermacam-macam perkara berlaku.

Saya hanya mampu bersabar, tetapi pernah bersuara supaya dia ceraikan saya selepas bersalin. Lebih menyedihkan, dia seperti tidak sukakan anak kami. Tuhan Maha Kaya, setiap kecurangannya pasti saya ketahui.

Suami juga agak lokek memberi duit dan jika saya minta, ada saja jawapannya. Anehnya, jika kekasihnya minta, tidak pernah ditolak malah dia sanggup menanggung pengajian kekasihnya setiap bulan.

Sejak hari itu, saya menjadi berkira dan pastikan duit suami cukup untuk menampung barangan dapur dan duit sekolah anak. Suami ternyata tidak berubah biarpun selepas mendapat anak kedua. Dia membawa pulang kekasihnya ke rumah sewaktu saya tiada.

Satu hari, saya terbaca SMS kiriman teman wanitanya yang memperincikan perbuatan maksiat mereka. Saya terpaksa mengadu ke pejabat agama kerana salah seorang kekasihnya berkata bahawa suami sudah menceraikan saya.

Kami juga sudah sekian lama tidak bersama, tiada mesra sebagai suami isteri.

Saya dahagakan kasih sayang, belaian yang tidak pernah langsung saya dapat sejak bergelar isteri. Alhamdulillah, iman saya masih kuat dan tidak pernah terfikir untuk curang. Apa harus saya lakukan?

Jeritan batinku

------------------------

Salam kesabaran buat isteri dahaga kasih sayang. Terima kasih kerana mampu meluahkan jeritan batin yang selama ini tersimpan dengan penuh sabar.

Puan, sabar bukan bermakna diam dan tidak berbuat apa-apa untuk melerai masalah yang dideritai. Sabar itu sikap menerima ujian dan cabaran dengan penuh sedar dan berusaha sekuat tenaga bagi melepaskan diri daripada masalah itu.

Apa yang puan alami selama ini adalah penderitaan batin yang berpanjangan kerana puan tidak mampu bertindak secara bijak untuk keluar daripada kemelut itu. Akibatnya suami berlagak juara seumur hidup, terbang melebarkan sayap keji dan menjadi-jadi melakukan maksiat. Dia bangga, malah tiada sekelumit rasa bersalah di atas apa yang dilakukannya terhadap anda.

Puan tidak wajar hidup seperti sekarang, kerana ia bukan saja memanjangkan dosa tetapi lebih parah lagi melanjutkan penderitaan jiwa yang puan alami. Lebih teruk lagi, ia boleh berakhir dengan sakit mental, tekanan dan kemurungan yang berpanjangan.

Oleh itu saya cadangkan agar puan berbincang secara terus terang, sama ada mahu meneruskan perkahwinan ini dalam bentuk yang sebenarnya atau sekadar mahu menutup mata orang saja. Apa gunanya sekadar rakan serumah tetapi bukan sebilik. Perbuatan sedemikian dalam tempoh yang lama boleh menimbulkan masalah tekanan dan penderaan emosi yang terdedah kepada tindakan ganas. Sama ada ganas fizikal seperti pukul dan penderaan fizikal yang lain atau penderaan emosi yang boleh mendorong orang jadi hilang pertimbangan malah dalam banyak kes mengheret kepada kes bunuh.

Kes sebegini sudah banyak terjadi, maka jangan dedahkan puan pada risiko bahaya bukan saja untuk puan tetapi untuk anak-anak. Suami boleh pada bila-bila masa saja menjadikan anak sebagai tebusan untuk mencapai hasrat memaksa puan tunduk kepada kemahuannya.

Oleh itu jangan bermain api, nanti terbakar tangan sendiri. Kalau sekarang tidak boleh sebilik lagi, apa maknanya perkahwinan yang tidak berfungsi dan tidak penting untuk dipertahankan. Rasa bahagia sudah terbang daripada hati dan konsep ‘Rumahku Syurgaku’ sudah tidak terlaksana lagi.

Andai kata puan ada alasan kuat untuk mempertahankan perkahwinan ini maka teruskanlah.

Namun, pada pandangan saya, lebih baik sediakan payung sebelum hujan.

Buatlah laporan sekali lagi ke jabatan agama dan jelaskan perkara sebenar dan jika perlu, mohonlah untuk berpisah.

Puan harus ingat, sikap suami yang suka meniduri ramai wanita menandakan dia tidak lagi sayangkan kita.

Untuk apa terus setia sebagai isteri jika hati kita sendiri sudah mati dan menderita akibat perbuatannya. Allah SWT tidak benarkan kita menderita kerana penderaan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang suami. Sebab itu Allah SWT memberi ruang untuk berbincang, kaunseling dan dibenarkan berpisah agar tidak berlaku kekejaman emosi dan fizikal secara berterusan. Jika keadaan puan berterusan anak-anak membesar dalam keadaan tidak sihat dan tidak ceria, pasti akan membantutkan kecerdasan mereka akibat rumah tangga yang tidak bahagia.

Apa yang paling saya bimbangkan, berdasarkan cerita puan, menunjukkan puan sudah pun mengalami kemurungan emosi yang pasti memberi kesan wajah dan kehidupan.

Jangan biarkan diri puan ditawan sakit emosi yang banyak mendorong kepada perkara negatif kerana di dunia ini saja sudah lebih 100 juta manusia yang mengalami kemurungan ini.

Penyakit ini menyerang siapa saja yang mengalami penderitaan panjang dalam hidup dan di negara Barat, bilangan kes bunuh diri sudah tidak terhitung banyaknya. Berbanding kita, umat Islam yang sama sekali dilarang bunuh diri atau membiarkan diri menjadi mangsa ke arah itu.

Untuk pengetahuan puan, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terkini mencatatkan 1 bagi setiap 10 orang di dunia ini menderita penyakit yang amat bahaya ini. Penyakit murung ini bukan saja mengancam orang dewasa, tetapi juga remaja dan anak-anak, bahkan ia boleh mengancam janin yang dikandung ibu. Masya Allah.

Oleh itu ingatlah ‘kemurungan adalah gerbang bunuh diri’ seperti ditegaskan dengan jelas dalam peringatan Allah menerusi al-Baqarah: ayat 195: “Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri dalam kebinasaan. Dan janganlah kamu membunuh dirimu sendiri." (QS An Nisa:29).

Oleh itu tepuklah dada dan tanyalah iman anda. Saya doakan agar Allah SWT menyelamatkan anda daripada pelbagai kesusahan.

Bersama Dr Rubiah K Hamzah

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI