Tamiflu cegah H1N1 ada kesan sampingan

Sunday, August 02, 2009

Lebih separuh kanak-kanak yang mengambil Tamiflu bagi mencegah selesema babi mengalami kesan sampingan termasuk loya, sukar tidur dan mimpi ngeri, dakwa penyelidik.

Ubat anti-viral yang diedarkan kepada ratusan ribu penduduk dunia itu, turut menyebabkan sakit perut, muntah dan cirit-birit.

Kajian mendapati hampir seorang bagi setiap lima orang muda mengalami kesan sampingan psikiatri saraf seperti kurang tumpuan, keliru dan masalah tidur.

Beribu murid sekolah diberi ubat itu sebagai pencegahan peringkat awal selesema babi di Britain.

Hanya mereka yang disyaki atau disahkan menghidap selesema babi diberi Tamiflu dan kira-kira 150,000 pek diedarkan oleh Perkhidmatan Pandemik Flu Nasional Britain minggu lalu.

Dua kajian pakar di Agensi Perlindungan Kesihatan (HPA) menunjukkan 'kadar tinggi' terhadap kanak-kanak di Britain menghadapi masalah selepas mengambil Tamiflu.

Data itu dikumpul daripada murid di tiga sekolah di London dan satu di barat daya England yang diberi Tamiflu awal tahun ini selepas rakan mereka dijangkiti.

Kajian terhadap 248 murid berusia 11 dan 12 tahun di sekolah barat daya England yang ditutup selepas muridnya dijangkiti virus itu, mendapati lebih separuh mengalami kesan sampingan Tamiflu.

Laporan itu berkata, 51 peratus mengalami tanda seperti tidak sihat (31.2 peratus), sakit kepala (24.3 peratus) dan sakit perut (21.1 peratus).

"Walaupun sesetengah kanak-kanak sakit akibat tanda seperti selesema, mereka yang diuji tidak dijangkiti virus Influenza A (H1N1)," kata penyelidik.

Menurut penyelidik, kesan sampingan mungkin perkara biasa, tetapi ia perlu dipertimbangkan apabila memberi Tamiflu kepada kanak-kanak bagi tujuan pencegahan. - Agensi

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI