Susu ibu penyelamat bayi

Sunday, August 02, 2009

Bayangkan situasi ini. Anda berada di tempat kejadian satu kemalangan yang mana melibatkan sebuah keluarga. Si ibu mengalami kecederaan parah, begitu juga dengan bapa dan ahli keluarga yang lain.

Kuasa Tuhan, bayi kecil dalam keluarga tersebut terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Bayi tadi menangis dengan kuat sekali, mungkin mencari ibunya atau mungkin juga kelaparan. Apa yang akan anda lakukan?

Situasi ini mungkin tepat untuk dikaitkan dengan tema sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia pada tahun ini yang disambut bermula semalam hingga 7 Ogos.

"Penyusuan Susu Ibu: Tindak balas penting ketika kecemasan. Sudahkah anda bersedia?" nampaknya memberi sudut pandangan yang berbeza berbanding tema-tema sebelumnya.

Menurut Prof Dr. Jamiyah Hassan, jika mengikut takrifan yang diberi oleh Perikatan Tindakan Penyusuan Susu Ibu Sedunia (WABA), ia lebih kepada tindak balas ketika bencana alam seperti kejadian gempa bumi, tsunami, tanah runtuh dan juga ketika perang.

Namun dalam konteks negara kita yang tidak dilanda musibah alam yang dahsyat, ia boleh diterjemahkan dengan maksud yang berbeza contohnya seperti situasi di atas.

"Lebih tepat kalau kita terjemahkan ia kepada kecemasan atau darurat," ujar beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Inisiatif Penyusuan Susu Ibu, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Selain itu katanya, kecemasan juga boleh dikaitkan dengan keadaan ibu-ibu yang mengalami masalah ketika menyusukan anak untuk kali pertama.

"Misalnya ibu mengalami masalah untuk menyusu di tengah malam dan bayinya menangis berterusan kerana kelaparan. Jadi bagaimana suami atau individu terdekat ibu ini boleh membantu mengatasi masalah tersebut. Ini juga merupakan satu situasi kecemasan yang perlu ditangani dengan tindakbalas yang bersesuaian," ujarnya yang juga merupakan Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi di Jabatan Obstetrik & Ginekologi, Universiti Malaya.

Sejajar dengan itu katanya, semua pihak terutama suami perlu dididik dengan pengetahuan mengenai kepentingan dan kebaikan penyusuan susu ibu terutama kepada bayi berusia di bawah enam bulan. Ini bagi membolehkan mereka bertindak dengan sewajarnya tatkala berlaku kecemasan atau bencana.

"Kami di PPUM sentiasa bersedia untuk berdepan dengan situasi sebegini. Boleh dikatakan hampir separuh daripada doktor dan kakitangan di sini dilatih dengan kemahiran serta pengetahuan mengenai penyusuan susu ibu," ujar beliau.

Bencana

Sementara itu, bila bercakap mengenai bencana katanya, antara yang biasa melanda negara ini pastinya banjir yang berlaku setiap tahun tidak kira di mana.

Ketika ini pastinya bekalan air bersih susah didapati. Bagi mereka yang menyusu bayi menggunakan susu formula, pasti akan berdepan dengan masalah untuk mendapatkan air bersih bagi membancuh susu dan juga mencuci perkakasan menyusu.

"Susu formula tidak menawarkan perlindungan imunisasi dan boleh membahayakan mekanisme pertahanan usus. bayi. Secara tidak langsung memudahkan jangkitan penyakit berlaku," katanya.

Bantuan susu ibu

Dalam situasi tertentu seperti ibu yang tidak dapat menyusu kerana masalah tertentu seperti sakit dan sebagainya kata Prof. Dr. Jamiyah, tindakan pantas seperti mendapatkan seorang ibu yang boleh menyusu mampu membantu menyelesaikan masalah ini.

"Di Malaysia kita belum ada bank susu seperti mana yang terdapat di beberapa negara maju. Namun jika berlaku kecemasan kita masih mempunyai pelan bantuan sampingan seperti mendapatkan seorang ibu yang sedang menyusu," katanya.

Ditanya mengenai sensitiviti masyarakat mengenai ibu susuan katanya, dalam waktu kecemasan pastinya kita akan ketepikan hal-hal lain.

"Apa yang penting adalah menyelamatkan bayi tersebut. Katakan anda seorang ibu yang boleh menyusu dan berada di tempat bencana, lalu ternampak seorang bayi kecil yang meraung, sanggupkah anda melihat bayi tersebut berterusan menangis tanpa memberi bantuan?" soal beliau.

Jelasnya lagi, dalam keadaan kecemasan pasti sesiapa saja akan menghulurkan bantuan tidak mengira kaum dan juga agama.

Dalam kes tertentu kata beliau, mungkin bantuan susu daripada ibu yang menyimpan stok dengan begitu banyak boleh membantu.

"Kita ada mengenali beberapa ibu yang mana berbuat demikian. Maka bila berlaku sesuatu kecemasan, kita akan meminta kebenaran ibu tadi dan juga suaminya untuk mendapatkan bekalan susu bagi membantu bayi kecil yang kelaparan," katanya.

Kesedaran

Ditanya mengenai kesedaran terhadap penyusuan susu ibu di Malaysia Prof. Dr. Jamiyah berkata, ia semakin meningkat terutama di kalangan ibu bapa muda.

"Kini kelibat wanita menyusukan anak dengan susu ibu boleh dilihat di mana-mana. Malah, kalau kita tengok di merata tempat misalnya kompleks membeli-belah, lapangan terbang dan hotel sudah mempunyai tempat khas penyusuan bayi. Ini memberi petunjuk yang baik tentang tahap kesedaran masyarakat mengenai kebaikan susu ibu," katanya.

Menurutnya, merujuk kepada data ibu-ibu yang melahirkan anak di PPUM, jumlah mereka yang memberi susu badan secara eksklusif (enam bulan pertama tanpa sebarang suplemen lain) melebihi 30 peratus.

Walaupun bilangan masih rendah kata beliau, ia sebenarnya sudah meningkat berbanding sebelumnya.

"Kita telah mengenalpasti beberapa kekangan penyusuan eksklusif terutama bagi wanita berkerja. Kerana itu kami menyeru kepada majikan agar memberi sedikit kelonggaran kepada ibu yang menyusu bagi membolehkan mereka memberi penyusuan eksklusif," katanya beliau.

Selain itu katanya, peranan suami dalam menjayakan penyusuan eksklusif amatlah penting.

"Dalam banyak aktiviti yang kami jalankan, saya menggalakkan suami untuk hadir bersama, supaya mereka faham dan tahu mengenai kepentingan serta kebaikan penyusuan susu ibu," katanya.

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI