Bienda aktif selepas dibedah

Sunday, August 02, 2009

Januari tahun lalu mungkin menjadi satu tarikh tidak dapat dilupakan gadis ini seumur hidupnya. Dia disahkan menghidap jantung berlubang berukuran 25 milimeter di dada kirinya .

Hatinya luluh menerima perkhabaran buruk itu. Namun, Tuhan masih memberi peluang kepada gadis berusia 24 tahun ini.

Peristiwa ini turut menjadi pembakar semangat Norrazlinda Razli atau lebih mesra dengan panggilan Bienda.

Setahun berlalu, Bienda kian pulih, malah semakin aktif meneruskan kerjaya seninya baik dalam bidang nyanyian mahupun lakonan.

Mengungkap kenangan tersebut, pada awalnya, Bienda tidak menyangka dadanya yang sering sakit petanda kepada penyakit serius.

Kesibukan dengan kerjaya, membuatkan anak muda ini tidak tahu bahawa ujian yang dihadapi ini begitu besar.

Mulanya dia menyangka ia sekadar sakit biasa sebaliknya Bienda terpaksa menerima hakikat dia menghidap sakit jantung berlubang.

Mujurlah ia dapat dikesan pada peringkat awal. Mungkin sudah takdir, terdapat lubang sedalam 25 milimeter pada bahagian kiri jantungnya. Dengan linangan air mata, dia pasrah menerima takdir tersebut.

Pada masa itu kata Bienda, dia bersama ibunya, Sheeda hanya mampu menangis kerana tidak percaya dengan apa yang diperkatakan doktor itu.

Lebih mengejutkan, pihak hospital memaklumkan peruntukan untuk melakukan pembedahan jantung itu memerlukan kos sekitar RM 50,000.

Hendak meminta malu tetapi jika tidak berbuat demikian bimbang penyakit itu akan melarat.

"Selepas dimaklumkan kos tersebut, Bienda dan mama tak boleh nak kata apa-apa lagi kerana kami mana ada simpanan sebanyak itu.

"Pertunjukan pentas pun bukannya ada sangat untuk menampung kos pembedahan," kata Bienda ketika ditemubual wartawan pada Januari tahun lalu.

Selepas mendapat bantuan pelbagai pihak termasuk daripada Persatuan Karyawan Malaysia, Pergerakan Pemuda UMNO dan Chef Wan, Bienda menjalani pembedahan dengan selamat.

diselamatkan

Dia berjaya diselamatkan melalui kaedah menampal lubang yang dijalani di Pusat Perubatan Islam (Pusrawi) pada 9 Januari tahun yang sama.

Kini, dia bersyukur kerana dapat menjalani aktiviti seperti biasa.

Keyakinan serta azam yang kuat menjadi asas kepadanya untuk tidak pernah mengenal erti putus asa.

Bahkan rezeki yang tidak putus-putus diterima menjadi galakan kepada Bienda.

Selepas Budak Kelantan, Bienda yang baru sahaja selesai penggambaran filem Empat Madu aktif dengan drama termasuk Cinta Bunian yang akan disiarkan di TV3.

"Alhamdulillah, kesihatan saya kini bertambah baik. Saya masih aktif berlakon dan menyanyi seperti dulu," jelasnya yang belum sempat mempromosi album barunya.

Mengakui tidur yang cukup dapat menjaga kesihatan, Bienda ingin berehat sementara dalam bidang lakonan pada bulan Ramadan yang akan menjelang tiba.

Baginya, kurang tidur sering mengganggu kesihatan selain penjagaan pemakanan dan aktiviti fizikal yang lain.

Walaupun sudah sihat, Bienda masih melakukan pemeriksaan kesihatan seperti biasa.

Walaupun pelbagai dugaan yang menimpa, Bienda masih bekerja kuat.

Sejak dulu lagi, Bienda memang seorang aktif dan tidak pernah duduk diam.

"Sebenarnya saya perlu membuat susulan selepas pembedahan saya. Saya terlalu aktif berlakon dan kadang-kadang saya ponteng berjumpa doktor. Namun, saya perlu memastikan kesihatan saya stabil kerana saya terlalu kuat bekerja," jelasnya yang turut muncul dalam drama komedi, Sebumbung siaran RTM.

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI