Seorang buruh, Suparwono yang makan telur 15 biji sehari menjadi lelaki paling tinggi di Indonesia.
Pada mulanya dia dianggap sebagai lelaki paling tinggi di dunia apabila pihak hospital membuat ukuran mendapati ketinggiannya 2.71 meter mengatasi lelaki tertinggi di dunia milik rakyat Turki, Sultan Kosen.
Namun, ukuran yang dibuat oleh Muzium Rekod Indonesia semalam mendapati tinggi Suparwono yang berumur 25 tahun ialah 2.42 meter.
Ketinggian itu menyebabkan dia menjadi lelaki paling tinggi di Indonesia.
"Kami menerima laporan pada waktu pagi bahawa keputusan ukuran dari sebuah hospital ialah 2.71 meter. Namun, kami perlu kekal dengan ukuran ketinggian kami (2.42 meter)," kata Pengurus Muzium Rekod Indonesia, Ngadri.
Suparwono menjadi terkenal pada minggu ini selepas salah seorang saudaranya di kampung Tri Tunggal Jaya, Lampung, Sumatera menjemput beberapa jiran untuk bergambar dengan lelaki tertinggi itu.
Dalam tempoh beberapa hari, dia muncul dalam beberapa program bual bicara di sini dan mendapat gelaran Gergasi Lampung.
Menurut Suparwono, dia mula mengetahui tubuhnya tinggi semasa berumur 10 tahun.
"Ketika itu, saya sudah pun menjadi orang paling tinggi di sekolah dan kampung saya.
"Saya makan tiga kilogram nasi pada setiap hari dan sekurang-kurangnya 15 biji telur," katanya.
Menurutnya, dia mengalami masalah untuk menaiki bas dan mencari pakaian yang sesuai ekoran ketinggiannya itu.
Bekas jurulatih olahraga Suparwono, Willy Winoto, berkata, selepas dua tahun lelaki itu menjalani latihan, dia didapati tidak sesuai untuk menjadi atlet kebangsaan kerana tubuhnya tidak mempunyai daya ketahanan tinggi selain mengalami masalah tulang.
Dia kini tinggal bersama keluarga dan melakukan kerja-kerja kampung untuk mendapatkan wang.
Gabenor Lampung, Sjachroedin Zainal berjanji dia akan diberikan kerja yang bersesuaian selain menjadikannya sebagai duta untuk wilayah tersebut.
"Pada 2010, kami akan menamakannya sebagai ikon Tahun Melawat Lampung," katanya. - Agensi
0 Komen:
Post a Comment