Walau empat tahun menyepi, nama Hijjaz tetap tidak lekang di bibir peminat seni nasyid. Malah, ramai menantikan produk terbaru kumpulan ini selepas album Damai yang dipasarkan pertengahan 2006 serta album istimewa Selawat Nabi — ‘Live Percussions’ pada 2008.
Menerusi Permata Hijjaz 1431, album penuh yang diiringi muzik orkestra, menjadi perantara buat mereka dengan peminat. Malah Hijjaz menyatakan, keinginan untuk tampil dengan album sebegini sudah lama dipendam.
Dek kerana kekangan bajet, hasrat itu terpaksa ditangguh. Namun Hijjaz kini berbangga dengan pencapaian album berkenaan, lebih-lebih lagi ia menjadi produk pertama artis nasyid yang diterbitkan 100 peratus menggunakan orkestra ‘live strings’.
Menurut ahli kumpulan, Isman Nadim Isam, kebanyakan lagu dihasilkan oleh anggota Hijjaz di samping beberapa lagu komposer ternama, termasuk dua lagu lama yang dinyanyikan kembali menerusi susunan muzik lebih segar.
“Album ini membawa impian seluruh anggota Hijjaz dan kami tidak mahu ia dipandang remeh. Jadi, sedaya upaya kami cuba mendapatkan khidmat pemuzik orkestra yang terbaik.
“Akhirnya kami mendapatkan khidmat pengarah muzik yang tidak asing lagi di negara kita, Belle Fatah.
“Selain itu, dia mengetuai sekumpulan pemuzik orkestra dan antara yang terbabit ialah Ujang Exists, Gary Gideon (dram), Sham Kamikaze, Eddie Marzuki (gitar), Kelly, Jay Jay (bass), S Atan (akordian), Mohar (seruling), Gan (erhu), Zul (gambus), Arif Yusof (saksofon) manakala strings dimainkan Zameelah, Zaleelah, Aidil Akmar dan Aidil Khaizir (MiimQuartet),” katanya.
Antara 11 karya yang dimuatkan ialah Kalimah Utama, Embun Hidayah, Iman Islam Ehsan, Alabaladi, Gurindam Berkasih, Satu Amanah, Syukur Pada MU, Ratu Nil (Yukabid), Neraca Diri, Engkau Insan Sempurna dan Kekasih Agung 1400.
Tambah Isman, Hijjaz masih mengekalkan irama mereka seperti kebanyakan album sebelum ini. Bagaimanapun, elemen orkestra itu diwujudkan untuk menjadikannya lebih menarik.
“Sebab itu kami menambah elemen strings orkestra bagi memantapkan lagi album ini. Selain itu ia selari dengan pengalaman kami dalam industri muzik ini dan dalam masa sama mengetengahkan kematangan Hijjaz.
“Kami juga meminta maaf kepada peminat Hijjaz yang mungkin menunggu terlalu lama album baru kami. Untuk melahirkan sebuah album terbaik, kami harus mengumpulkan pengalaman selama 13 tahun dalam bidang seni. Alhamdulillah, Permata Hijjaz 1431 sudah dipasarkan,” katanya.
“Album ini juga boleh didapati di setiap lokasi gerai jualan barangan Permata Hijrah. Di sana mereka boleh membelinya dengan harga istimewa, selain berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik,” katanya.
Oleh FIRDAUS SAHAT
Album Permata Hijjaz 1431
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment