Hampir setiap hari gempa bumi berlaku di negara ini dan kira-kira 300 gegaran dalam setahun pula adalah bersaiz sederhana serta kadangkala besar, namun penerangan ringkas pemandu pelancong kami yang menimbulkan kebimbangan seketika tidak mematahkan semangat untuk meneroka keindahan bandar Taipei di Taiwan ini.
Menurut Michelle yang fasih berbahasa Inggeris, kebanyakan gegaran yang berlaku setiap hari adalah kecil, mungkin sekadar 1 hingga 2 skala Ritcher, dan sukar dirasai kerana berlaku di kawasan pedalaman, malah tidak menyebabkan kerosakan.
Taiwan yang terletak berhampiran pertemuan dua lapisan kerak bumi kerap dilanda gempa bumi dan kajian seismologi menunjukkan pergerakan itu berpunca daripada satu garisan rosak di antara Plet Filipina serta Plet Eurasia yang selari dengan Taiwan dan Jepun, hingga menyebabkan gegaran di bawah kerak bumi.
Gempa bumi paling buruk pernah melanda negara itu yang memiliki 23 juta penduduk berlaku pada September 1999, berukuran 7.6 pada skala Richter dan menyebabkan 2,400 maut, manakala kali terakhir Taiwan dikejutkan dengan gempa bumi berukuran 6.4 skala Richter yang melanda selatan negara itu, pada Mac 2010.
Bagaimanapun, anda tidak perlu bimbang untuk berkunjung ke Taiwan yang juga pulau kecil dengan keluasan 36,000 kilometer persegi itu meskipun didedahkan dengan fakta sebenar kerana hampir setiap bangunan atau jambatan yang menghubungkan jalan raya di bandar Taipei dibina khusus untuk menghadapi gegaran gempa bumi.
Kesempatan menaiki lif terpantas di dunia yang diiktiraf Guinness World Book of Records pada 2004 iaitu Menara Taipei 101 setinggi 101 tingkat atau 508 meter itu, membuktikan kecanggihan teknologi pembinaan bangunan mampu berdepan bencana alam mendatang.
Struktur bangunan yang terletak di Hsin Yi Road itu direka bentuk untuk menampung gegaran gempa bumi paling kuat bagi tempoh 2,500 tahun dan mampu menahan tiupan angin sehingga 60 meter sesaat, malah sebuah bola besi (damper) berwarna emas seberat 660 metrik tan diletakkan di tingkat 88 bangunan yang berfungsi menahan gegaran ketika berlaku gempa bumi.
Bola besi sebesar dua kereta Perodua Kancil itu yang memiliki saiz diameter 5.5 meter, diperbuat daripada 41 lapisan besi setebal 12.5 sentimeter (sm) adalah yang terbesar di dunia dengan kos pembinaannya NT$132 juta (Taiwan Dolar).
Selepas membayar harga tiket NT$400 iaitu bersamaan RM40, saya menaiki lif Taipei 101 yang hanya mengambil masa 37 saat dari tingkat lima hingga tingkat 89 dan melihat paparan grafik digital di sebelah kanan yang menunjukkan pergerakan lif berserta tempoh untuk tiba di ruang tinjau.
Mereka yang mahu menghirup udara atau merasai angin kuat di paras lebih tinggi, boleh menaiki tangga ke tingkat 91 dan merakam gambar keindahan bandar Taipei di semua sudut, selain terpegun melihat ketinggian menara telekomunikasi yang mencakar langit.
Selepas puas meneroka menara tertinggi di Taiwan itu, saya berkunjung ke lokasi tumpuan pelancong iaitu di pasar malam Shilin yang terletak 20 minit perjalanan menggunakan teksi dari Hotel Ambassador iaitu penginapan rombongan media Malaysia yang menerima jemputan pengeluar komputer nombor satu di Taiwan, AsusTek Computer Inc (Asus).
Yang menarik di pasar malam yang dibuka setiap hari umpama Petaling Street di Kuala Lumpur ialah selain menjual barangan cenderahati, pelbagai fesyen pakaian atau makanan, Shilin menawarkan pengunjung aktiviti hiburan seakan-akan `fun fair' kecil seperti menembak belon dan membaling dart, malah tidak ketinggalan melihat aksi orang ramai cuba mendirikan botol kaca kosong dengan gelung besi yang diikat dengan tali.
Pasar malam di celah bangunan dan tepi jalan raya itu yang dibuka sehingga jam 1 pagi, turut menjual pelbagai aneka makanan, termasuk jenis eksotik seperti darah ular, biawak dan lidah anjing, malah ada gerai menjual telur katak, menyebabkan kawasan itu berbau dengan pelbagai jenis masakan.
Paling tak tahan ialah ketika saya melalui kawasan menjual tauhu busuk yang meloyakan tekak, namun suasana di Shilin ini sungguh berbeza berbanding ketika saya berkunjung ke sebuah pasar malam di bandar Taipei iaitu pasar Shida yang lebih teratur dan tidak sesak.
Bagaimanapun, untuk tiba di pasar Shida dengan menaiki tren MRT, saya perlu membayar NT$20 (RM2) dan bersama rakan media lain terpaksa menukar tren lain untuk tiba di stesen Taipower Building sebelum berjalan kaki 10 minit untuk menikmati hidangan makan malam di sebuah restoran India.
Sebenarnya tidak sukar mencari makanan halal di bandar raya ini kerana ada beberapa restoran sama ada dikendalikan golongan Cina Muslim atau peniaga India yang mempunyai status halal, namun masalahnya kebanyakan restoran ini tutup awal iaitu sekitar jam 9.30 malam selain anda perlu tahu lokasinya yang tersorok.
Adalah lebih baik meminta bantuan pemandu pelancong menulis nama kedai dalam tulisan Cina pada sekeping kertas untuk diserahkan kepada pemandu teksi yang tidak fasih berbahasa Inggeris dan jangan lupa membawa kad hotel yang tertera alamat bagi memudahkan anda pulang ke hotel.
Harga dua keping roti nan tanpa ayam tandoori di restoran Taj Indian di Fuxing Road, Taipei misalnya NT$80 (RM8) manakala nasi beriani ayam NT$250 (RM25) sepinggan dan minuman seperti teh-o pada harga NT$25 (RM2.50) memang mahal tetapi apabila sudah lapar, soal harga diketepikan.
Yang unik ialah restoran berkenaan dihiasi pelbagai jenis ukiran mahupun lukisan menggambarkan budaya golongan India sambil pengunjung dihiburkan dengan tayangan klip video lagu Hindustan, manakala pelayannya adalah rakyat Taiwan.
Bagi yang gemar membeli-belah, pasar Shilin perlu menjadi tempat persinggahan wajib kerana sepanjang laluan itu, pelbagai jenis fesyen baju tidak kira kemeja-T, kasut sukan gaya terkini dengan jenama terkenal mahupun aksesori bagi wanita ditawarkan malah watak permainan maya yang menjadi kegilaan ramai iaitu Angry Birds paling banyak boleh ditemui.
Namun, agak kelakar juga ketika saya sedang sibuk mencari saiz baju dengan seorang peniaga wanita, tiba-tiba dia bersama rakannya yang menggunakan kereta roda bertempiaran lari kerana mendapat `info' bahawa penguat kuasa sedang menjalankan operasi.
Sudahnya, saya terpaksa mengekorinya sambil memegang baju yang dipilih di tepi lorong sunyi untuk membayarnya dan situasi itu dapat dilihat berlaku hampir sepanjang malam berada di pasar penuh sesak itu apabila peniaga berkenaan menyorong kereta masing-masing secara tiba-tiba dan kembali semula berniaga di tempat asal.
Bagi mereka yang fasih berbahasa Mandarin menjadi satu kelebihan kerana kebanyakan peniaga akan memberi diskaun istimewa banyak kepada mereka yang boleh berkomunikasi dalam bahasa itu dan kesempatan ini digunakan saya dengan meminta bantuan wakil Asus dari Malaysia, Chua Chong Hwee untuk menjadi jurubahasa.
Harga pakaian misalnya kemeja-T boleh diperoleh pada kadar serendah NT$100 (RM10) sehelai manakala kasut sukan berjenama terkenal dengan fesyen terkini pula berharga NT$1300 (RM130) sepasang. Mata wang Taiwan dolar didatangkan dalam nota 100, 500 dan 1,000 manakala syiling bermula daripada nilai 1, 10, 20 dan 50.
Bandar Taipei yang memiliki kepadatan penduduk kira-kira dua juta itu memiliki sistem pengangkutan awam cekap termasuk tren kereta api laju dan tren MRT yang memiliki stesen henti luas serta selesa manakala kawasan tanah di sepanjang sungai digunakan sepenuhnya untuk mewujudkan tempat beriadah kepada penduduknya.
Metro Ahad
Oleh Badrila Jamlus