Statistik Demam Tinggi (21 - 27 Ogos)

Friday, September 02, 2011

Sebanyak 302 kes demam denggi dengan satu kematian dilaporkan bagi tempoh 21 sehingga 27 Ogos lepas berbanding 365 kes tanpa kematian pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman berkata, kes demam denggi pada minggu ke-34 menurun 63 kes atau 17 peratus, namun terdapat tiga buah negeri yang menunjukkan peningkatan.

"Berbanding minggu lepas, Negeri Sembilan mencatat peningkatan tujuh kes, Sarawak lima kes dan Perlis menunjukkan peningkatan sebanyak dua kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Hasan berkata, terdapat satu kematian demam denggi dilaporkan di Negeri Sembilan melibatkan seorang wanita berusia 26 tahun yang bekerja sebagai penoreh getah.

"Beliau mula demam pada 7 Ogos dan mendapat rawatan di klinik swasta tetapi telah dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Jempol pada 9 Ogos dan mendapati masih tidak pulih,” katanya.

Beliau berkata, wanita itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi pada 11 Ogos dan meninggal dunia akibat ”Dengue Shock Syndrome” pada 21 Ogos lalu. – Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI