Larian Media NPC-Ambank-Milo 2011 , 18 September

Sunday, September 11, 2011

Kelab Wartawan Kebangsaan Malaysia (NPC) dengan kerjasama Kumpulan Ambank dan Milo bakal mengadakan larian Media NPC-Ambank-Milo 2011 pada 18 September ini.

Larian sejauh lima kilometer itu akan diadakan di Taman Tasik Perdana apabila lima kategori bakal dipertandingkan antaranya kategori media lelaki dan wanita, kategori veteran media (lelaki dan wanita), kategori terbuka (lelaki dan wanita), kategori veteran terbuka (lelaki dan wanita) dan kategori bawah 18 tahun (lelaki dan wanita).

Pada acara itu juga, peserta yang mendaftarkan diri dengan membayar RM10 setiap penyertaan layak memenangi hadiah cabutan bertuah.

Selain itu, tiga pemenang teratas bakal memenangi hadiah wang tunai manakala 10 pemenang teratas layak menerima trofi.

Naib Presiden NPC, Muharyani Othman berkata, kesudian syarikat korporat menaja program berkenaan diharap dapat memberi manfaat kepada semua pihak.

"Larian ini dianjurkan bertujuan mengeratkan hubungan antara syarikat korporat dan pengamal media di samping dapat berkongsi amalan gaya hidup sihat dengan masyarakat.

"Seperti semua maklum, rakyat Malaysia gemarkan aktiviti sukan yang boleh disertai semua golongan, dengan adanya larian seperti ini saya berharap negara dapat melahirkan lebih ramai lagi warga yang sihat dan kuat," katanya di sini, semalam.

Hadir pada perasmian program berkenaan, Pengarah Perhubungan Awam Ambank, Syed Anuar Syed Ali yang turut menyerahkan replika cek tajaan kepada Muharyani disaksikan beberapa wakil Ambank dan NPC yang lain.

Sementara itu, Syed Anuar, ketika ditemui berkata, pihaknya berbesar hati menaja program sedemikian kerana ia juga satu tanggungjawab sosial korporat yang menyihatkan dapat dilakukan bersama masyarakat.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI