Hayati Rukun Negara pelihara perpaduan

Thursday, September 01, 2011

Lima prinsip Rukun Negara (Kepercayaan Kepada Tuhan; Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-undang; dan Kesopanan dan Kesusilaan) seharusnya tertanam dalam jiwa generasi muda kita yang bakal menjadi pemimpin pada masa depan.

Rukun Negara adalah panduan bagi pembinaan negara dan ia perlu dihormati semua. Ia adalah visi bersama ke arah perpaduan negara.

Ia juga harus sentiasa dipelihara dan diamalkan agar kita tidak mengambil mudah mengenai kestabilan, keamanan dan keharmonian yang kita kecapi selama ini.

Namun apa yang menyedihkan selepas 41 tahun Rukun Negara diisytihar, ramai yang lupa mengenai lima prinsipnya, malah masih ramai perlu diingatkan mengenai falsafah negara itu.

Berikutan itu, ada yang masih mengungkit isu perkauman demi agenda peribadi masing-masing. Ini bukanlah satu perkembangan yang sihat terutama dalam sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia. Semua rakyat Malaysia mestilah berusaha secara berterusan untuk memupuk dan memperkukuhkan perpaduan.

Rakyat Malaysia mestilah bersedia mengurangkan semangat perkauman untuk mencapai 'Bangsa Malaysia'. Kita perlu mula menerima antara satu sama lain sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama dan tidak seharusnya terlalu memikirkan isu perkauman.

Saya percaya dengan menjadi rakyat Malaysia, tidak sedikit pun menjejas diri kita sebagai kaum Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya.

Semua pelan pertumbuhan ekonomi negara dan langkah penambahbaikan untuk menangani ketidakseimbangan sosial akan terlaksana hanya jika perpaduan negara diutamakan.

Kita mesti bersuara dengan satu nada. Marilah kita bersama-sama komited mempromosikan dan menjayakan 1 Malaysia tanpa mengira kaum, warna kulit ataupun kepercayaan.

TAN SRI LEE LAM THYE,
Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia.

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI