Planet Zuhrah : Memahami Cakerawala

Thursday, March 08, 2012

Memahami Cakerawala

Zuhrah adalah planet yang mempunyai beberapa sifat ataupun unsur yang membuatkannya menjadi salah sebuah daripada planet yang paling penting kepada manusia dalam sistem suria.

Zuhrah adalah planet yang paling hampir dengan bumi dan juga planet yang paling cerah apabila dilihat dari bumi.

Jarak paling hampir zuhrah dari bumi adalah 0.3UA (unit astronomi). 1.0UA bersamaan dengan jarak di antara bumi dan matahari iaitu 1.5 x 10 - km atau 1.5E9 km.

Ini bermakna jarak paling pendek di antara zuhrah dan bumi adalah 0.5 x 10 - km. Jarak ini dicapai apabila matahari, zuhrah dan bumi berada pada kedudukan sebaris dengan zuhrah berada di antara matahari dan bumi.

Kecerahan zuhrah sudah menjadi legenda kepada manusia selama beribu-ribu tahun. Malah sehingga kini planet yang cerah ini kerap dinamakan dengan nama bintang kejora.

Planet ini juga kerap dikenali dengan nama "bintang pagi dan bintang petang"disebabkan kecerahannya dan kemunculannya pada waktu awal pagi dan lewat petang berhampiran ufuk langit, iaitu tidak lebih daripada 48 darjah.

Nama Inggeris bagi zuhrah adalah 'venus' yang bermaksud 'dewi cinta.'

Nama ini dipercayai berpunca daripada kecerahan zuhrah yang sentiasa menarik perhatian manusia termasuklah saintis dan sasterawan yang kerap menghasilkan bahan sastera berkaitan cinta. Daya tarikan zuhrah ini sebenarnya tidak menghairankan kerana objek lain yang lebih cerah daripadanya hanyalah matahari dan bulan.

Faktor istimewa zurah adalah kedudukan dalam turutan planet sistem suria iaitu planet kedua paling hampir dengan matahari. Kedudukannya yang secara relatif amat hampir dengan matahari berbanding dengan planet-planet lain menyebabkan planet ini menerima jumlah cahaya matahari yang amat banyak.

Zuhrah juga mempunyai persamaan dengan bumi dari segi saiz. Planet ini mempunyai diameter berukuran 12,104 km iaitu kira-kira 600 km sahaja lebih kecil daripada diameter bumi. Ini bermakna saiz zuhrah hanyalah 5 peratus lebih kecil daripada saiz bumi.

Zuhrah tidak mempunyai bulan, tidak seperti kebanyakan planet sistem suria lain yang mempunyai beberapa buah bulan.

Walau bagaimanapun keadaan ini adalah sifat biasa bagi planet yang terletak hampir dengan matahari di mana utarid yang lebih hampir dengan matahari juga tidak mempunyai bulan, sementara bumi pula hanya mempunyai sebuah bulan.

Teras bumi

Zuhrah juga mempunyai beberapa persamaan yang kritikal dengan bumi iaitu jisim dan ketumpatan pukalnya. Jisim zuhrah bernilai 4.9 x 10 - kg iaitu 82 peratus daripada nilai jisim bumi, sementara ketumpatan pukalnya pula bernilai5,200 kg/m-, iaitu hampir sama dengan nilai ketumpatan pukal bumi.


Persamaan saiz, jisim dan ketumpatan pukal di antara zuhrah dan bumi membuktikan bahawa zuhrah dan bumi mempunyai keadaan geologi dalaman yang sama. Walau bagaimanapun, disebabkan zuhrah mempunyai ketumpatan yang rendah sedikit daripada bumi, maka bolehlah dirumuskan bahawa zuhrah mempunyai kandungan teras yang sama, tetapi saiz teras yang lebih kecil daripada teras bumi.



Antara perkara yang paling menarik di segi sains angkasa berkenaan zuhrah adalah atmosferanya. Zuhrah mempunyai atmosfera yang tebal dengan kandungannya terdiri daripada 96 peratus karbon dioksida, 3 peratus nitrogen, wap air, oksigen, sebatian-sebatian hidrogen, sulfur, helium dan karbon monoksida. Atmosfera planet ini juga mempunyai tekanan permukaan bernilai 95atm dan suhu permukaan bernilai 740K.

Suhu atmosfera yang tinggi di zuhrah adalah disebabkan oleh "kesan rumah hijau" (green house effect) yang dialaminya. Kandungan karbon dioksida yang tinggi dalam atmosfera planet ini menyerap gelombang inframerah cahaya matahari dan memerangkap haba.


Sungguhpun zuhrah mengalami kesan rumah hijau yang melampau, atmosferanya mempunyai suhu yang stabil kerana angin sentiasa bertiup dari kawasan siang ke kawasan malam dan dari kawasan khatulistiwa ke kawasan kutub. Kesan tiupan angin ini menyebabkan planet ini mempunyai perbezaan suhu atmosfera yang rendah iaitu 10 darjah ataupun kurang.

Atmosfera zuhrah menarik perhatian saintis angkasa kerana mengandungi awan yang tebal. Awan ini terbahagi kepada dua lapisan utama. Lapisan awan atas berada pada paras 65 km dan setebal 5 km. Lapisan awan bawah juga didapati lebih tumpat daripada lapisan awan atas dan kedua-dua lapisan ini terdiri daripada larutan dengan kandungan 90 peratus asid sulfurik bercampur air.

Zuhrah planet yang mempunyai permukaan yang rata. Perbezaan paras permukaan adalah di antara 2 hingga 3 km sahaja, kecuali di beberapa kawasan tinggi yang mencapai perbezaan paras sehingga 12 km. Secara relatif perbezaan paras permukaan di zuhrah amat kecil berbanding dengan bumi (20 km) dan marikh (25 km).


Hemisfera utara dan hemisfera selatan permukaan zuhrah mempunyai perbezaan yang ketara. Hemisfera utara mempunyai permukaan yang bergunung-ganang dengan dataran tinggi. Hemisfera selatan pula mempunyai permukaan yang rata dengan beberapa dataran rendah yang berkawah.

Kawah di permukaan zuhrah hanya wujud dalam saiz yang besar, iaitu mempunyai diameter yang kurang daripada 1 km. Ia sukar didapati di planet ini kerana atmosferanya yang tebal memusnahkan semua meteor (tahi bintang) yang kecil sebelum ia sempat sampai ke permukaan dan mewujudkan kawah.

Gunung yang paling tinggi di zuhrah adalah setinggi 12 km dan merupakan gunung berapi. Terdapat beberapa gunung berapi di planet ini. Antaranya sebuah gunung berapi yang setinggi 5 km dengan diameter berukuran 820 km, iaitu lebih lebar daripada pulau gunung berapi Hawaii di bumi (200 km) dan juga gunung Olympus di marikh (550 km).

Berdasarkan fakta-fakta saintifik zuhrah, planet ini didapati telah mengalami evolusi geologi menyerupai evolusi geologi bumi. Planet ini juga akan terus berevolusi sepertimana bumi pada masa akan datang sekiranya tiada kesan fenomena astronomi utama seperti hentaman asteroid ataupun perubahan kritikal aktiviti suria.

Disebabkan pertalian zuhrah yang rapat dengan tamadun dan kebudayaan manusia, planet ini sentiasa menarik perhatian golongan yang bercita-cita untuk membuat perubahan fizikal ke atasnya. Pada hari ini memang terdapat perbincangan di kalangan saintis planet berkenaan rancangan mengurangkan kesan rumah hijau yang dialami oleh zuhrah.

Tahap kesan rumah hijau ini dapat direndahkan sekiranya kandungan karbon dioksida dapat dikurangkan. Ini boleh dilakukan sekiranya alga yang memproses karbon dioksida kepada oksida dapat dibiakkan di zuhrah.

Sekiranya ini boleh dilakukan, mungkin planet ini sesuai dikoloni oleh manusia pada suatu ketika nanti.

Pengkolonian zuhrah mungkin lebih menguntungkan berbanding dengan pengkolonian planet lain kerana planet ini lebih hampir jaraknya dari bumi berbanding dengan planet lain. Di samping itu, zuhrah juga mempunyai nilai graviti permukaan yang hampir sama dengan bumi. Oleh itu kesan graviti ke atas fisiologi manusia pengkoloni zuhrah juga adalah minimum secara relatif.



0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI