Islam di Korea Selatan

Sunday, March 18, 2012

Kedudukan Masjid Seoul di atas bukit menyerlahkan kewujudannya di kawasan Itaewon, daerah Yongsan-gu, Korea Selatan.

Dibina pada 1976, ia satu-satunya masjid di Seoul yang tercatat sebagai bukti perkembangan Islam di negara itu.

Selepas pembinaan Masjid Seoul, semakin banyak masjid lain dan surau dibina di seluruh negara, antaranya di daerah Pusan, Anyang, Jeonju, Ansan dan Incheon Bupyong.

Masjid Seoul

Masjid Seoul dibina di kawasan seluas 5,000 meter persegi dan mampu menampung sehingga 1,500 jemaah.

Kos pembinaan dan operasinya ditanggung kerajaan Korea selain mendapat dana daripada Arab Saudi serta beberapa negara Islam lain.

Masjid tiga tingkat itu menempatkan pejabat Persekutuan Muslim Korea, bilik mesyuarat serta dewan sembahyang yang selesa untuk lelaki dan wanita.

Terdapat juga bangunan yang menempatkan sekolah, institusi pendidikan untuk kanak-kanak beragama Islam mempelajari agama, Pusat Penyelidikan Kebudayaan Islam dan beberapa organisasi Islam.

Masjid itu dibuka kepada umat Islam di Korea dan pelancong Islam untuk menunaikan solat.

Khutbah pada Jumaat disampaikan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Inggeris, bahasa Arab dan Korea dan setiap sesi berdoa berlangsung selama 10 hingga 15 minit.

Malah, berdoa pada setiap sesi berbeza dari hari ke hari kerana ia bergantung kepada masa matahari terbit.

Lantai di ruang solat utama dihamparkan permaidani berwarna merah terang dengan lukisan halus di atasnya.

Setiap minggu, Masjid Seoul sentiasa menerima ramai jemaah, malah kadang kala terpaksa bersolat di luar masjid.

Masjid Seoul juga menjadi destinasi pelancongan bagi orang bukan Islam yang mahu belajar mengenai Islam pada Sabtu dan Ahad.

Kehadiran umat Islam dari Malaysia, Turki, Pakistan, Bangladesh, Arab dan Indonesia memeriahkan setiap solat di masjid itu.

Walaupun umat Islam di Korea adalah minoriti, ketaatan mereka kepada agama amat mengagumkan.

Malah, setiap minggu ada sahaja rakyat Korea yang datang ke masjid untuk menawarkan diri memeluk Islam.

Kini, Persekutuan Muslim Korea (KMF) memainkan peranan sebagai badan yang menjaga kebajikan dan dakwah masyarakat Islam kepada rakyat Korea dan memilih Masjid Seoul sebagai pusat dakwah dan pendidikan kepada penduduk setempat di sana.

Oleh Mohd Fadly Samsudin

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI