Sheryl Kara Sandberg, Ketua Pegawai Operasi (COO) Facebook

Tuesday, March 27, 2012

Sheryl Kara Sandberg, Ketua Pegawai Operasi (COO) Facebook berjaya mengendalikan syarikat yang mengubah sesebuah persahabatan menjadi kata kerja paling popular di dunia.

Dalam kes Sheryl ini, ia lebih kepada kata kerja tindakan. Dia berupaya mengingati tarikh lahir pekerjanya. Dia juga sentiasa menghantar teks pesanan ringkas kepada sesiapa yang akan melakukan pembentangan besar-besaran ("Senyum. Bercakap dengan mikrofon. Semoga berjaya").


Dia juga mempunyai sistem khas untuk membalas e-mel. Suaminya, Dave Goldberg berkata, ramai pekerja Facebook kerap bermalam di rumah mereka hinggakan kediaman mereka ibarat hotel kecil.

"Tiada lagi hidangan makan malam untuk enam orang. Sheryl juga merasakan meja makan kami terlalu kecil (yang boleh menempatkan 14 orang)," katanya.

Dengan adanya Sheryl, mesyuarat di meja makan itu berjalan lancar - yang sebahagiannya menjelaskan bagaimana, ketika pentadbiran Bill Clinton di mana dia ketika itu berusia 29 tahun serta baru tamat perkhidmatan di Bank Dunia dan menyelesaikan pengajiannya di Harvard, berjaya menjawat posisi ketua staf di Jabatan Perbendaharaan.

Selain itu, pada petang Khamis selepas waktu kerja, Sheryl menerima kunjungan 40 wanita dan menikmati makan malam di rumahnya. Sebelum tetamunya tiba, dia memastikan kedua-dua anak kecilnya membersihkan diri dan tidur, kemudian bersiap-siap dalam 10 minit dan menyediakan hidangan di atas meja.

Sheryl menggelarkan pertemuan tidak formal ini - gabungan rakan kapitalis, teman eksekutif syarikat teknologi, ibu-ibu, "Saya akan-rakan kelab buku dan adiknya, Michelle - Wanita Lembah Silikon dan mereka bertemu sebulan sekali untuk mendengar dan berkongsi pendapat dengan barisan speaker ternama antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Steve Ballmer; Carly Fiorina, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Hewlett-Packard yang menjadi calon senator California juga ahli aktivis hak asasi wanita, Eve Ensler.

Tujuannya mengadakan pertemuan itu sebenarnya untuk memberi peluang menambah rangkaian kepada eksekutif wanita kerana golongan ini dilihat cenderung diketepikan terutama di saat mereka berusaha keras mendaki tangga ke dunia pentadbiran korporat.

Namun bagi Emily White, yang menggantikan posisi Sheryl sebagai ketua jualan dalam talian di Google sejurus wanita itu berhijrah ke Facebook, merasakan pertemuan ilmiah seperti itu banyak membantunya meneruskan rangkaian dengan bekas majikan, sekali gus mewujudkan satu lagi usaha sama korporat antara mereka.

"Tiada soalan. Saya dapat bertemu rakan-rakan dalam satu majlis, sekali gus! Saya teringin berbual dan menikmati makan malam dengan mereka semua secara berasingan tapi saya langsung tiada masa untuk melakukannya," ujar Sheryl mengenai rasionalnya menganjurkan pertemuan itu.

Rakan-rakannya juga tidak membantah malah menyokong usaha seperti itu berikutan mereka turut sibuk dan kebanyakan urusan saling berkait antara satu sama lain.

Dalam gambar, wanita berusia 42 tahun itu tampak comel dan menarik namun tafsiran daripada foto semata-mata tidak dapat membayangkan tenaga dan semangat yang dimilikinya.

Rakan-rakannya di universiti sering menekankan bahawa Sheryl tidak betah duduk diam. Dengan mengenakan sarung kaki lebar yang popular pada lewat 1980-an dan dipadankan bersama pembayang mata rona biru, Sheryl sendirian menganjurkan program aerobik di Harvard.

Sheryl juga disifatkan wanita pantas dan sentiasa yakin dengan apa yang dilakukannya.

"Dia bijak berdiplomasi tapi desakannya yang dilakukan secara berlembut itu biasanya berjaya," ujar teman rapatnya di Harvard.

Rakan perniagaannya juga menyatakan perkara sama yang membuatkan Sheryl berbeza daripada wanita korporat lain. Menurut Chamath Palihapitiya, Naib Presiden of Growth, Mobile and International di Facebook, kebanyakan yang menyertai mesyuarat perniagaan cuba mengelak daripada bertanyakan soalan rumit.

"Tapi Sheryl sebaliknya. Dia pasti bertanyakan soalan yang tidak selesa untuk dijawab. Dia berani membentangkan topik berat dalam mesyuarat dan bertegas mahukan jawapan sebelum sesi tamat," katanya.

Michelle, adiknya, tidak ketinggalan menceritakan perkara hampir sama.

"Apabila bersama rakan atau ahli keluarga, lebih mudah untuk memberitahu mereka apa yang mereka mahukan. Tapi Sheryl sentiasa berterus-terang walaupun sukar untuknya menjelaskan satu-satu perkara itu.

"Dia sama sekali tidak akan memberitahu perkara yang ingin kita dengar tapi situasi itu sebenarnya lebih banyak membantu kita menyelesaikan masalah, meskipun kadangkala kita kecil hati dengan apa yang dikatakannya.

"Dia sanggup mengambil risiko dan menanggung kesusahan asalkan dapat membantu orang lain," jelas Michelle.

Mark Zuckerberg, pengasas Facebook, serta-merta mengesan ciri-ciri itu. Dia sedar dengan reputasi Sheryl terutama ketika wanita itu menyelesaikan isu sumber hasil awal Google dengan membina pasukan pengiklanan daripada empat ke 4,000 pekerja sepanjang tempohnya di sana dari 2001 hingga 2008.

"Ketika saya bertemu Sheryl pada 2007, dalam perjalanan ke majlis sambutan Krismas yang dianjurkan Dan Rosensweig (bekas Ketua Pegawai Operasi Yahoo!), saya hampir putus asa mencari orang paling sesuai untuk jawatan COO.

"Tapi semuanya berubah selepas menerima jawapannya dan dengan tegas dia mengatakan mampu melakukan tugasan itu," ujar Zuckerberg.

Setengah jam selepas itu, Sheryl dan Zuckerberg langsung tidak berganjak dari tepi pintu.

"Saya baru masuk ke majlis itu bersama seorang rakan, Sheryl pula berdiri di situ bersama suaminya, Dave, dan orang lain berterusan menghala ke arah kami dan bertanyakan soalan-soalan dangkal.

"Kami pula sekadar menjawab, 'Oh, ya, Ok, bagus.' Saya lebih kurang bersosial berbanding Sheryl," katanya.

Selepas pertemuan itu, mereka bersetuju bertemu buat kali kedua untuk berbincang lebih lanjut. Memandangkan Zuckerberg figura popular dan sukar berbincang mengenai urusan pentadbiran di tempat umum, mereka mengambil keputusan bertemu secara rahsia di rumah Sheryl sekurang-kurangnya dua kali seminggu selama beberapa bulan.

Di saat Sheryl meninggalkan Google, tiada lagi keraguan mengenai kemampuan syarikat itu mengubah laman sesawang kepada lombong emas.

Jelas sekali mengapa Zuckerberg benar-benar memerlukan khidmatnya. Sejurus Sheryl menduduki kerusi jawatan itu pada 2008, jumlah keahlian Facebook mengatasi MySpace.

"Kehadirannya dalam bilik mesyuarat seperti seorang ibu yang cuba mententeramkan anak-anak lelakinya yang nakal.

"Kami tidak betah duduk diam dan keadaan jadi huru-hara sebelum Sheryl masuk. Dia tegas tapi penuh hemah.

"Kami sememangnya `kanak-kanak' yang riang," tambah Zuckerberg.

Pada Februari 2010, laman sosial itu mengesahkan penyertaan 400 juta pengguna - jumlahnya sama seperti satu pertiga populasi di Amerika Syarikat.

Facebook kini mencipta rekod dengan jumlah muat turun gambar mencecah 2.5 juta sebulan dan purata pengguna menghabiskan 50 peratus masa melayar Internet dengan melakukan aktiviti di facebook.

Susunan Nor Faizah Mohamed

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI