Album Suara Kita - Jinbara

Monday, October 13, 2008

Tatkala negara dilanda kelesuan produktiviti muzik, tidak ramai komposer mahupun pemuzik tempatan yang berani mengambil risiko menghasilkan produk-produk terbaru mereka.

Tidak sanggup bersaing dengan pelbagai produk muzik dari dalam dan luar negara, para penggiat muzik lebih rela bersandarkan kepada elemen nostalgia yang terkandung dalam album-album kompilasi.

Dalam kepayahan menarik perhatian para peminat muzik terhadap lagu-lagu tempatan, kumpulan rock yang cukup popular dengan lagu Kasihnya Laila dan Farhana (Puteri Kenyalang) tetap optimis dengan penerimaan peminat serta muzik yang mereka perjuangkan.

Yakin dengan kemampuan diri, kuota 90:10 yang diutarakan oleh Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), bukanlah satu masalah besar bagi kumpulan yang dianggotai oleh lima anak muda ini.

Walaupun banyak pihak cuba memberi pendapat tentang isu tersebut, namun mereka lebih gemar mengambil sikap menyerahkan segala keputusan kepada persatuan tersebut.

“Sebenarnya, tentang kuota 90:10 itu Freddie Fernandez baru memberi cadangan. Bagi kami, kemasukan lagu-lagu luar ada bagusnya sebab sebagai pemuzik kami rasakan ia sangat penting. Kemasukan lagu-lagu luar bukan bermaksud menenggelamkan muzik kita, sebaliknya sebagai cabaran kepada penggiat muzik tempatan untuk menghasilkan karya-karya yang lebih berkualiti.

“Cuma apa yang kami perasan, kebanyakan artis tempatan agak susah nak tembusi pasaran luar. Mungkin sebab orang luar lihat kita bagus, jadi mereka tutup laluan untuk para artis tempatan ke pasaran mereka. Bagi kami, lebih baik ambil perkara tersebut sebagai satu saingan yang sihat.

“Setakat ini, Alhamdulillah kumpulan-kumpulan indie di negara ini pun sudah mampu bersaing ,” kata gitaris kumpulan itu, Cepot, mewakili rakan-rakannya pada pertemuan baru-baru ini.

Selesa dengan imej Melayu

Meneruskan bicara, Jinbara yang berani menongkah arus, tampil dengan album terbaru yang memuatkan 11 buah lagu. Album Suara Kita yang masih lagi kekal bernuansakan elemen-elemen muzik tradisional telah pun berada di pasaran bermula Ogos lalu.

“Pasaran untuk lagu-lagu Melayu memang ada cita rasa yang tersendiri. Jadi, tidak perlu rasa takut untuk bersaing dengan mana-mana muzik dari kumpulan-kumpulan lain.

“Ada di kalangan pemuzik tempatan yang mungkin rasa malu nak bawakan imej Melayu dalam kumpulan mereka, sebab itu kalau kita tengok ada kumpulan yang seperti terikut-ikut dengan imej kumpulan-kumpulan dari luar.

“Seperti Jinbara, Alhamdulillah kami belajar sedikit demi sedikit. Sebab itu kami masukkan elemen kemelayuan dalam beberapa album kami yang lepas, ternyata ia menjadi. Bagaimanapun, kami tidak boleh cepat berpuas hati, malah, perlu teruskan muzik yang kami bawa,” ujar Cepot.

Antara lagu-lagu yang dimuatkan dalam album Suara Kita ialah Tahu Tak Tahu Joget, Keringat (bersama Daly Ahli Fiqir), Patri, Cinta Kita, Subuh dan Cermin Diri.

Tidak mahu statik bersandarkan kekuatan elemen rock dan tradisional semata-mata, mereka mencari kelainan berkolaborasi dengan kumpulan yang begitu kreatif iaitu Ahli Fiqir menerusi rakaman semula lagu Zakiah yang pernah dipopularkan oleh Sweet Charity dalam Zakiah 2.

Kekok tanpa Andi Rahman

Tidak seperti album-album mereka yang lalu, album kelima Jinbara kali ini tidak lagi menerima sentuhan komposer Andi Rahman yang telah kembali ke rahmatullah pada Mac, tahun 2007.

Walaupun sesekali terbit rasa kekok tanpa campur tangan komposer terkenal itu, namun, kepuasan jelas terpancar di wajah mereka kerana selain lagu-lagu, proses penyiapan album tersebut dilakukan sendiri oleh mereka.

“Secara jujurnya, kami memang berasa kekok menyiapkan album Suara Kita ini sebab selama ini Allahyarham Andi Rahman yang banyak membantu.

“Memang agak menguji juga apabila tiada bantuan daripada Allahyarham. Bagaimanapun, kami ambil segalanya sebagai satu cabaran dan secara tidak langsung, kerjasama kami sekumpulan mengeratkan lagi silaturahim antara kami.

“Apa yang membuatkan kami mahu menghasilkan album ialah kuasa pembeli itu sendiri. Biarpun pada peringkat awal jualan tidak berapa baik tetapi pembeli tetap punya kuasa membeli yang original,” kata Cepot lagi.

Dalam album tersebut, mereka turut merakamkan lagu ciptaan dan lirik oleh Allahyarham Andi Rahman iaitu Subuh.

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI