“Ustaz (Akhil Hayy) pernah buat pengakuan mengenai hubungannya dengan penyanyi wanita itu dan meminta izin untuk berkahwin dengannya.
“Saya izinkan mereka berkahwin dan sedia menerimanya sebagai madu, namun kini saya tak tahu sama ada mereka sudah berkahwin atau belum,” kata isteri Akhil Hayy, Maizawati Zainal, 33, mengulas isu hubungan suaminya dengan penyanyi Norwahidah Abdul Wahab, 31, atau Waheeda yang sedang hangat diperkatakan.
Menurut Maizawati, secara peribadi dia tidak mengenali Waheeda, tetapi mengetahui gosip hubungan suaminya dengan penyanyi itu melalui media.
Menurutnya, dia tekadkan hati untuk tidak mempercayai apa yang dipaparkan di media kerana diajar untuk tidak mengambil tahu perkara seumpama itu serta meletakkan sepenuh kepercayaan kepada suami.
“Kesabaran saya sudah sampai ke penghujung apabila ustaz tidak pulang ke rumah dan anak pula terpaksa bertukar sekolah kerana menjadi mangsa perli rakan mengatakan mereka mempunyai ibu tiri,” katanya yang mempunyai enam anak hasil perkahwinan dengan Akhil Hayy.
Hati Maizawati terguris apabila Akhil tidak memaklumkan di mana dia tinggal, malah tidak memberitahu apa yang dilakukan menyebabkannya tertanya-tanyakan haknya sebagai isteri.
Menurutnya, kali terakhir suaminya pulang ke rumah Februari lalu dan selepas itu, dia hanya mengetahui perkembangannya melalui media.
“Saya tetapkan dalam hati bahawa ustaz keluar bekerja mencari rezeki untuk kami sekeluarga dan tidak pernah menyimpan prasangka buruk terhadapnya,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O di TV9, semalam.
Dia berkata, walaupun ada pihak terkejut dengan keputusannya mengizinkan Akhil berkahwin lagi, namun dia menganggap itu cara terbaik untuk menjaga nama baik suaminya.
Sebagai isteri, dia tidak mahu nama suami tercemar disebabkan cerita kurang enak yang menjadi buah mulut orang.
“Kerana itu saya mengizinkannya berkahwin dengan penyanyi wanita berkenaan. Saya rasa tidak salah membenarkan suami saya berkahwin lagi kerana dia mampu serta boleh berlaku adil.
“Tambahan pula, ia langkah terbaik untuk menyelamatkan mereka daripada melakukan perkara tidak elok.
“Bagaimanapun, sehingga kini, saya tak tahu apa yang terjadi kerana tidak dimaklumkan apa-apa. Mungkin pihak di sana (Waheeda) tidak sudi menerima saya sebagai madu, jadi biarlah saya mengundur diri dan mendoakan yang terbaik untuk mereka,” katanya.
Yang membuatkannya hairan adalah sikap Waheeda bermati-matian menafikan hubungannya dengan Akhil hingga pernah membuat kenyataan media untuk menepis gosip itu.
Apapun Maizawati mengetahui apa yang berlaku dan dengan hati terbuka membenarkan suaminya mengambil Waheeda sebagai isteri.
“Tapi, saya hairan kenapa dia (Waheeda) seolah-olah enggan menerima saya sedangkan saya sudah mengizinkan dia hadir dalam keluarga kami, malah tampil membuat kenyataan dia dan suami saya tidak mempunyai hubungan,” katanya.
Menurut Maizawati, dia mengambil keputusan memohon perceraian untuk membina kehidupan baru.
“Saya sering mengingatkan anak supaya jangan ambil peduli apa orang kata. Yang penting, saya terima hakikat bahawa jodoh kami sampai sini saja dan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk ustaz dan wanita itu,” katanya.
Harian Metro cuba mendapatkan reaksi Akhil, namun dia gagal dihubungi.
Waheeda pula enggan mengulas apabila dihubungi satu laman berita online.
Akhil Hayy, Waheeda ada hubungan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment